Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang- orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Surah Al Furqah ayat 74)
Bismillahirahmanirahim
Sesungguhnya doa seorang ayah adalah yang paling makbul
Baru baru ini ibu bercerita kepada saya, ketika kedua ibubapa saya menghadiri walimah sahabat kepada ayah saya, mereka bertemu dengan bekas rakan sekerja ayah. Rakan sekerja ayah sempat bertanya tentang saya, bagaimana perkembangan saya dalam pekerjaan sebagai jururawat. Sempat juga rakan ayah menitipkan pesanan kepada saya supaya mengambil bidang gynecology(perawatan wanita) kerana kurangnya wanita muslimah dalam bidang tersebut. Kata ibu, ayah hanya tersenyum dan meminta rakannya untuk mendoakan saya supaya berjaya dunia dan akhirat.
Pada waktu itu, saya tidak terfikir pun akan kata kata rakan ayah itu, Apatahlagi saya bekerja di wad perubatan dan pembedahan. Saya sendiri tidak pernah terdedah kepada bidang perawatan wanita semenjak bekerja. Alhamdulillah, rezeki kita sudah ditetapkan ALLAH. Tawaran dari Puan untuk memindahkan saya ke wad bersalin dan wanita saya sahut sebagai suatu cabaran. Saya berfikir inilah peluang dakwah yang terbaik untuk saya. Saya teringat pesanan ulama tersohor Tuan Guru Hasan Al Banna, hendaklah dakwah itu disampaikan sehingga ke janin dalam perut ibunya.
Hari pertama saya melangkah ke wad itu, hati saya begitu berdebar. Sebelum ini saya berhadapan dengan pesakit pesakit dewasa tetapi kini saya berhadapan dengan ibu ibu yang meletakkan harapan besar kepada saya. MasyaALLAH, rasa itu terlalu payah digambarkan. Emosi saya juga perlu diuruskan dengan sebaiknya. Sebelum ini emosi saya lebih kepada empati tetapi kali ini saya perlu lebih persuasif. Saya ingin memberi keyakinan kepada ibu ibu ini untuk mendidik anak anak mereka sebaiknya.
Alhamdulillah, setakat ini saya masih sedang berusaha membiasakan diri dengan suasana baru ini. Cuma saya sedikit segan apabila perlu memberi pendidikan kepada pasangan suami isteri yang baru menimang cahaya mata kerana perlu berbincang berkenaan soal rumahtangga tetapi rakan rakan senior memberi sokongan kepada saya dan saya hanya membayangkan pasangan pasangan itu sebagai mad'u saya.
InsyaALLAH, saya lebih bersemangat selepas ini untuk bekerja kerana ALLAH. Semoga ALLAH sentiasa menjaga saya dan kedua ibubapa saya dalam kehidupan dunia yang fana ini.
Oh ya, baru baru ini ada gambar tersebar di laman sosial berkenaan bayi yang lengannya berdarah kerana tidak diperdulikan oleh jururawat. Saya cuma berharap berita ini tidak dijadikan bahan untuk memfitnah antara satu sama lain. Buat jururawat jururawat di luar sana, bersabarlah. Inilah ujian untuk kita, buktikan kita boleh memberikan yang terbaik kerana ALLAH terutama apabila kita seorang mukmin. Buat kalian yang bukan jururawat, kami sebagai jururawat memohon sebarang kekurangan kerja kami, kami juga manusia biasa dan insyaALLAH kami akan sentiasa memperbaiki diri.
Mohon doakan kami,
Nadrah Yusra
Seorang jururawat biasa
0 comments:
Post a Comment