Pages

Saturday, April 11, 2009

Hazrat Khadijah r.anha

bismillahirrahmanirrahim..Dipetik dari Kitab Fadhilat Amal (Kisah-kisah para Sahabat m/s 192.
Para muhaddithin dan para sejarawan telah sepakat mengatakan bahawa pernikahan Rasulullah s.a.w ialah dengan sebelas orang wanita. Bilangan isteri yang lebih daripada itulah yang diperselisihkan. Perkara lain yang disepakati oleh mereka ialah Hazrat khadijah r.anha yang merupakan seorang janda ialah wanita pertama yang dinikahi oleh Baginda s.a.w. Umur Baginda s.a.w ketika itu ialah 25 tahun dan Hazrat Khadijah r.anha pula berumur 40 tahun. Semua puteri-puteri Rasulullah merupakan hasil dari perkongsian hidup dengan Hazrat Khadijah r.anha kecuali Hazrat Ibrahim r.anhuma. Pada mulanya Hazrat Khadijah r.anha dirancang untuk dikahwinkan dengan Waraqah bin Naufal tetapi pernikahan itu tdak jadi. Selepas itu beliau telah bernikah dengan 2 lelaki lain. Ahli sejarah berselisih pendapat tentang orang yang mula-mula berkahwin dengan Hazrat Khadijah r.anha antara mereka berdua. Kebanyakan mereka berpendapat bahawa pernikahan pertama Hazrat Khadijah r.anha ialah dengan 'Atiq bin 'Aaiz yang menghasilkan seorang puteri yang bernama Hind. Setelah dewasa, Hind telah memeluk Islam dan mendapat beberapa orang anak. Sebahagian ahli sejarah juga menulis bahawa dengan 'Atiq, Hazrat Khadijah r.anha juga mendapat seorang putera yang bernama 'Abdullah atau 'Abdul Manaf. Selepas 'Atiq, Hazrat Khadijah r.anha berkahwin pula dengan Abu Halah. Melalui Abu Halah telah lahir anak-anak yang bernama Halah dan Hind. Kebanyakan ahli sejarah mengatakan kedua-dua mereka ialah lelaki tetapi ada juga yang mengatakan bahawa Hind ialah lelaki dan Halah ialah perempuan. Hind telah hidup sehingga zaman pemeritahan Hazrat 'Ali r.anhuma. Setelah Abu Halah meninggal dunia, Hazrat Khadijah r.anha telah berkahwin dengan Nabi s.a.w. Pada masa itu beliau berusia 40 tahun. Setelah berkahwin beliau terus hidup bersama Nabi s.a.w selama 25 tahun. Beliau telah meninggal dunia pada bulan Ramadhan 3 tahun sebelum hijrah ketika berusia 65 tahun. Baginda s.a.w amat mencintai beliau dan Baginda s.a.w tidak bernikah dengan mana-mana wanita lain semasa beliau masih hidup. Sejak sebelum Islam lagi beliau dikenali dengan gelaran 'tohirah' yang bermaksud wanita yang suci. Oleh sebab itu anak-anak beliau dengan suami yang lain dinamakan Bani Tohirah. Kelebihan-kelebihan beliau banyak didapati dalam kitab-kitab hadith. Sewaktu beliau meninggal dunia, Baginda s.a.w sendiri yang turun ke dalam kubur untuk mengebumikan beliau. Pada masa itu solah jenazah masih belum disyariatkan lagi.