Pages

Sunday, October 7, 2012

Ubat kecemburuanku

Bismillahirahmanirahim, terima kasih ustazah Noraslina kerana mengeluarkan artikel ini pada tarikh ketika ulang tahun keputerianku yang lalu, seolah hadiah ALLAH untuk diriku sentiasa memperbaiki diri. Ingin saya kongsikan bersama sahabat sekalian. 


CELIKKAN KECEMBURUANMU....

Semilir petang yang berhembus begitu mendamaikan. Rumput-rumput hijau yang memenuhi taman kecil di tengah-tengah kawasan perumahan Taman Sentosa turut meliang lintuk dihembus bayu. Sesekali terdengar kicauan burung. Pulang ke sarang setelah seharian mencari rezeki buat menyambung kehidupan.

Cukup mengasyikkan.

Akan tetapi kecamuk rasa di hati Ahyana sedikit pun tidak berkurang dengan keindahan ciptaan TUHAN yang terpapar di depan mata. Hanya tubuhnya menikmati sapaan lembut alam, sedang jiwanya tenggelam dalam gelombang perasaan.
Satu keluhan dilepaskan. Berat!

“Mengapa kau lakukan begitu?” Solehah, teman karib yang menemaninya menghirup udara petang itu tiba-tiba melempar tanya. Agak menyentak rasa.
Ahyana memalingkan kepala sambil menatap dalam anak mata Solehah. Kelihatan sahabatnya itu serius. Namun, riak ketenangan dari wajah keibuannya itu, seperti selalu, tidak terganggu.
“Lakukan apa? Merajuk dengan suami sendiri sehingga berhari-hari. Itu maksudmu?” Ahyana membalas sinis.

Entah mengapa mimpinya dua hari lalu melihat suami yang dikasihi sedang berbalas pandang penuh cinta dengan seorang wanita jelita sangat kuat mengganggu jaganya. Ditambah pula penemuan sampul-sampul berwarna merah jambu dari kotak barang-barang lama suaminya ketika dia mengemas stor bawah tangga menjadikan perasaannya begitu sengsara. Kebetulan dia mahu mengemas rumah yang didiaminya bersama suami sejak setahun dulu yang telah lebih dulu dihuni suaminya bersama beberapa rakan bujangnya sebelum mereka disatukan.
Jelas tergambar baris-baris ceria dan mesra berisi nasihat dan kata-kata semangat yang dicoret seseorang bergelar wanita yang menjadi rakan pena kepada suaminya dalam surat-surat bersampul merah jambu tersebut.

Walaupun ia berlaku sebelum ikatan perkahwinan antara mereka, penemuan itu agak menjeruk rasa. Sakit di hatinya masih belum hilang. Sekali hatinya terluka, memang lambat untuk sembuh semula. Hanya kepada Solehah, sahabat baik yang telah lama mengenali hati budinya tempat dia meluahkan rasa.

“Buat apa surat-surat itu masih disimpan? Itu menandakan perempuan tu sangat bermakna dalam hidupnya!” Ahyana mengertap bibir. Geram.
Kali ini Solehah pula menatap muka Ahyana. Renungannya sedikit meredup. Belas bercampur simpati dengan amukan cemburu yang sedang melanda jiwa sahabat baiknya itu.
“Kau tak rasa bersalahkah? Membiarkan suamimu bagai ayam berak kapur…termangu-mangu tanpa belaian sambil menatap isteri di rumah berwajah masam? Pedih tau…”
Ahyana hanya menyambut dengan ketawa kecil. Mungkin dibuat-buat. Mungkin juga geli hati mendengar peribahasa dari bibir Solehah yang terkenal suka menyakat.
Namun, di sebalik itu, dia tahu, Solehah sangat memaksudkan setiap patah bicaranya. Tanda ambil berat seorang sahabat. Tambahan pula, Solehah ‘lebih dulu makan garam berbanding dirinya’ yang baru setahun jagung di alam rumahtangga.

WANITA DAN CEMBURU
Memang aneh memikirkan sikap cemburu orang perempuan. Kecemburuan,disebut dalam bahasa Arab sebagai ‘ghirah’ dan dalam bahasa Inggeris diatasnamakan sebagai ‘jealousy’merupakan suatu fitrah dalam diri wanita. Puncanya pelbagai, dan ada ketikanya ia datang dari sebab yang terlalu remeh. Setiap seorang dengan ciri kecemburuannya yang tersendiri. Keadaan-keadaan di bawah ini antara sebab yang membangkitkan kecemburuan di hati seorang isteri terhadap suami :


  • ·  Foto artis/model/rakan perempuan cantik yang sedang ditatap suami.

  • · Senyuman manis suami kepada wanita lain juga boleh menghadirkan resah di hati isteri.

  • · Kecantikan rupa paras dan bakat istimewa pada wanita lain yang dipuji-puji suami.

  • · Dan tidak sedikit, isteri yang menderita cemburu bila melihat kemanjaan dan perhatian suami kepada wanita bergelar ibu yang melahirkannya ke dunia ini.

Tidak dinafikan ia dugaan dan ujian perasaan yang bukan mudah untuk ditatang. Tanpa kawalan emosi dan keimanan yang tuntas, cetusan cemburu itu mampu memusnahkan bila nyalaannya menjadi api yang menjulang!
Kerana itu, bukan sedikit rumahtangga yang hancur kerananya.

Saya pasti setiap wanita bernama isteri tidak dapat lari dari perasaan cemburu. Senario di atas, adalah salah satu dari sekian banyak situasi yang selalu dialami oleh wanita ketika cemburu menguasai diri. Saya tidak menafikan bahawa cemburu itu lahir dari perasaan cinta kepada suami, bak kata orang dahulu kala, cemburu itu tanda sayang, lambang cinta yang sedang mekar berkembang.

Tambahan lagi pada saya, sebagai individu muslim yang digesa oleh ALLAH SWT agar memelihara diri dan keluarga dari menjadi bahan api neraka, cemburu adalah salah satu ‘penjaga’ yang perlu dimiliki oleh wanita dalam memastikan gesaan itu terlaksana. Firman-NYA:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”( Surah At-Tahrim ayat 6 )
Cuma, ia harus dibatasi dengan keimanan yang ampuh beriring pemikiran yang jernih lagi adil agar kecemburuan itu menjadi pemangkin yang mencambah kasih sayang dalam perhubungan bukan menjadi punca perbalahan sehingga menatijahkan perpisahan.

TANDA ARAS
Bukankah kita pernah dihidangkan dengan kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah yang meluahkan perasaan cemburunya?

Diriwayatkan tentang satu peristiwa di zaman Nabi SAW :
قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.
Maksudnya : Berkata Sa’ad bin Ubadah r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan aku pukul dia dengan pedangku!” Lalu, disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi membalas: "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi." ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Inilah tanda aras yang telah digariskan oleh Islam berkenaan cemburu yang dibolehkan dan sebaliknya. Cemburu bila melihat pasangan melakukan kemaksiatan kepada ALLAH adalah cemburu yang mesti ada supaya dengannya dapat mempastikan kehidupan berumahtangga jauh dari unsur-unsur maksiat yang boleh merosakkan keharmonian seperti pergaulan tanpa batas suami dengan saudara mara, sepupu sepapat dan rakan-rakan sekerja berlainan jantina dan seumpamanya. Demikian juga suami terhadap isteri, ibu ayah terhadap anak-anak dan lain-lainnya.

Oleh itu, dalam mengurus kecemburuan yang berlaku dalam cinta antara suami isteri ini agar tidak menatijahkan kesengsaraan dan dukacita di masa depan, Imam Ibnul Qayyim dalam kitabnya, Raudhatul Muhibbin, menganjurkan para wanita muslimah untuk meneladani sifat dan ciri bidadari syurga sebagaimana firman ALLAH SWT :
Maksudnya : “…dan untuk mereka di dalamnya terdapat isteri-isteri yang suci.”( Surah Al Baqarah ayat 25 )
Perkara pokok yang diketengahkan dari ayat di atas adalah dari aspek membangun kejiwaan yang bersih dari perasaan cemburu yang bukan pada tempatnya, menjauhi tingkah dan sikap yang menyakiti hati suami, dan menyahbuang dari benak mereka perbuatan membandingkan suami dengan lelaki lain dalam hal kebaikan dan kebajikan rumahtangga.

CELIKKAN KECEMBURUANMU...

“Yana, cara paling indah untuk berdamai dengan kecemburuan adalah dengan muhasabah diri bukan menambah benci dan sakit hati kepada suami…” Solehah melontarkan patah kata setelah suasana sunyi beberapa ketika.
Ahyana berpaling. Tertarik mendengar saranan dari sahabat baiknya itu. Dahinya berkerut, bagai ada tanda soal yang besar di kepalanya.
“Muhasabah diri? Kenapa pula aku yang kena bermuhasabah…bukan aku yang bersalah!” Ahyana menyanggah, masih larut dalam ego diri dan gundah di hati.
“Jadi, kau maksudkan suamimu yang bersalah? Sedangkan cemburumu itu sendiri hanya berpunca dari sangkaan dirimu semata, belum dipastikan duduk perkara sebenarnya lagi. Mungkin suamimu sendiri sudah lama tidak berhubung dengan wanita itu. Dan surat-surat itu, kemungkinan juga sudah lama dilupakannya. Bukankah ia tersimpan di dalam kotak di stor yang telah bertahun tidak dikemaskan?“ Solehah membayangkan kemungkinan buat Ahyana menjernihkan fikiran.
Ahyana tunduk menekur kepalanya ke lantai. Bagai ada kebenaran dari butir bicara sahabatnya. Dia diam. Mahu terus mendengar. Melihat itu, Solehah menambah…
“Ahyana… setiap perkara dalam hidup kita ini berlaku atas pilihan kita sendiri. Bukan semata takdir ILAHI yang telah menentukan begitu. Sama juga dengan rasa cemburu. Kita sendiri yang memilih sama ada rasa cemburu itu penghujungnya mendorong diri kita menjadi insan lebih baik atau hanyut diselubungi perasaan negatif hingga membawa kepada benci, hasad dan sakit hati. Itu semua lumrah kehidupan. Sebab itu, rasa cemburu jika tidak dibendung lebih awal, lama kelamaan perasaan negatif yang bertunas di hati boleh meledak api emosi. Andai tidak dikawal, ia mampu mencetuskan perbalahan lebih besar. Ibarat gunung berapi yang menanti waktu untuk meletus…busss!” Tambah Solehah sambil memuncungkan mulutnya dalam raut wajah serius.
“Jadi sebelum api cemburu bertukar tragedi cinta…sebelum takdir TUHAN dijadikan alasan perpisahan, baik buang segala prasangka dan duduk bersemuka dari jiwa ke jiwa. Celikkan kecemburuan itu, bukan membiarkannya terus ‘buta’, sahabat!” Solehah masih gigih berfalsafah.
Memujuk rawan hati seorang perempuan memang memerlukan kesenian.
Ahyana menarik nafas dalam. Kolam matanya mulai hangat dengan genangan air jernih.
Wajah Solehah dipandangnya sekilas lalu dengan pantas dia menekupkan kedua tangan ke wajahnya yang mulai cerah bak siang hari baharu disimbahi hujan pagi dengan cahaya matahari mulai memancar di sebalik awan mendung yang berarak pergi. Kolam air matanya melimpah juga.
Terdengar esakannya. Solehah simpati….namun, di dalam hatinya, dia sudah boleh tersenyum lega.
Hati wanita….bagai kerak nasi. Direndam dalam air, maka lembutlah ia.
Alhamdulillah…..

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Ustazah Noraslina Jusin 

0 comments:

Post a Comment