Pages

Thursday, April 21, 2011

Waris jari hantu!


Bismillahirahmanirahim

Alhamdulillah, sekali lagi diberi peluang nikmat iman dan ketenangan untuk mencoretkan sesuatu buat 'bidadari' kesayangan saya ini. Sesungguhnya pada tika ini, waktu terlalu mencemburui saya. Bebanan kerja yang semakin bertambah beserta bebanan pemikiran membuatkan saya sedikit hampir melupakan bidadari saya ini. Namun kepadatan waktu itu TIDAK BOLEH sama sekali saya jadikan alasan untuk berhenti berkongsi sesuatu bersama kalian yang sudi menjadi pengunjung istimewa bidadari saya ini. Tidak ada isu menarik yang ingin diceritakan cuma secebis kisah perjalanan hidup saya yang bernama Asiah Yusro. Seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa saya bukanlah seorang penulis yang hebat, cuma yang saya harapkan agar tulisan saya bisa membawa kembali hati hati pembacanya kepada pemilik yang sebenar iaitu ALLAH SWT.

Dakwah adalah kecintaan dan kegilaan

Mungkin kalian terasa pelik dengan tajuk entri kali ini. Sebenarnya bukan cerita seram yang ingin saya kongsikan di sini. Namun, ada sesuatu kisah istimewa yang ingin dilakar bersama bidadari apatahlagi cerita ini sedikit sebanyak memberi impak dalam perjalanan saya mentarbiyah dan ditarbiyah bersama sama adik adik usrah saya. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, buat tahun ini saya menggalas dua bidadari jelita di bahu saya. Kekadang diri saya ini berasa tidak mampu kerana saya bukanlah orang yang hebat untuk mentarbiyah. Diri saya ini juga baru mengenal erti tarbiyah apabila saya mengalami proses transformasi hidup mengenal ALLAH beberapa tika yang lalu. Cuma seringkali saya diingatkan bahawa jika saya tidak sanggup memikul beban dakwah ini maka diri saya yang bernama Asiah Yusro ini juga pasti tidak akan wujud dan bercoretan bersama bidadari ini. Terasa begitu indah sekali tatkala diri ini dikunjungi lamaran dakwah. Dakwah jugalah yang telah mengenalkan diri ini dengan hakikat perjuangan. Jadi, sudah tentu tidak salah jika saya katakan bahawa dakwah adalah satu kecintaan dan kegilaan yang begitu nikmat sekali. Kerana dakwah dan tarbiyah itu bisa memusing seseorang itu sebanyak 360 darjah dan contoh yang paling mudah adalah diri saya sendiri. Maka, atas kecintaan dan kegilaan pada gerak kerja dakwah yang mengubah diri saya itu, saya bersedia menggalas amanah untuk menjadi 'ibu' kepada barisan bidadari harapan ummah.

Saya bersama BALKIS

Saya bersyukur kerana dikurniakan adik adik bidadari yang begitu bersemangat untuk memajukan ISLAM. BALKIS adalah nama kepada sekumpulan bidadari ini. Setelah hampir setengah tahun saya bersama BALKIS, saya begitu bersyukur kerana ALLAH memberi saya peluang berharga untuk menggilap permata yang amat dirindukan ummah. Pelbagai kisah suka dan duka saya bersama BALKIS. Perasaan bersalah sering kali menyirap di pembuluh darah saya apabila mendapat mesej daripada adik adik yang mengatakan rindu untuk berusrah dengan saya. Adakalanya saya berasa saya tidak mampu untuk memberi layanan yang sewajarnya buat adik adik usrah saya. Maka, seringkali saya berpesan kepada mereka bahawa, ikutilah sesuatu usrah itu kerana ALLAH dan agama, bukan kerana kakak naqibah. Ingatlah bahawa tarbiyah itu datang daripada ALLAH SWT, bukannya dari manusia yang hina seperti saya. Apatahlagi diri saya ini adalah insan yang banyak melakukan kesilapan silam dan cetek ilmu pengetahuannya =)

Hyperactive =)

Teringat ketika lawatan adik adik BALKIS ke SMK Tebobon dan juga PERPIS. PERPIS merupakan suatu pertubuhan ISLAM di sekolah tersebut. Adik adik BALKIS begitu kagum melihat muslimat PERPIS yang begitu beradab sopan dan beragama. Alhamdulillah, sudah tentu ini adalah hasil didikan muslimat muslimat hebat sebagai naqibah mereka iaitu Adik Yuyu dan juga Adik Suhaila. Namun diri ini terasa sungguh lucu apabila adik adik BALKIS mengatakan mereka terdiri daripada golongan yang hyperactive kerana naqibahnya juga seorang yang hyperactive! Inilah yang saya katakan sebagai waris jari hantu. Adik adik usrah akan mewarisi tabiat dan perangai kakak naqibahnya. Jika kakak naqibah seorang yang serius, mereka pasti akan menjadi serius tetapi kalau kakak naqibahnya jenis yang hyperactive, mereka pasti akan mewarisi tradisi tersebut. Malahan, tradisi tersebut bisa diwariskan turun temurun ibarat sebentuk cincin pusaka. Sesungguhnya saya berasa amat bersalah sekiranya menunjukkan pengaruh yang kurang baik buat adik adik usrah saya. Dalam masa yang sama juga, saya tidak menafikan bahawa diri saya sememangnya adalah diri saya. Saya tidak pernah cuba atau berpura pura menjadi orang lain. Cuma, diri saya tersenyum kembali apabila adik adik BALKIS mengatakan bahawa mereka juga seorang yang hyperactive seperti saya tetapi masih ingin bergelar seorang srikandi pejuang agama. Hyperactive bukanlah satu halangan untuk bergerak kerja dalam perjuangan tetapi juga boleh dijadikan satu kelebihan untuk memperkenalkan ISLAM dan meniup semangat perjuang insan lain. Biarpun batang hidung ini sendiri terasa, namun saya ingin menjadi seorang yang qanaah. Saya ingin bersyukur atas kurniaan ALLAH SWT ke atas diri saya =)

Ketam mengajar anaknya berjalan?

Betapa saya merisaukan bahawa diri saya ini menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan senget. Saya berdoa kepada ALLAH SWT agar setiap pesanan yang saya titipkan buat adik adik BALKIS adalah untuk kebaikan namun kebaikan itu biarlah ditujukan pula buat insan insan yang mentarbiyah diri saya dan menerima saya ketika saya berasa dalam kejahilan iaitu naqibah dan cermin cermin ajaib saya. Hal ini menjadikan saya bangkit dari mimpi yang lena bahawa tanggungjawab menjadi seorang naqibah bukanlah sesuatu yang mudah kerana kita menggalas amanah sebagai seorang pemimpin kepada kumpulan usrah kita. Bagi saya, seorang naqibah yang baik itu pasti berusaha melahirkan naqibah lain yang lebih hebat. Ini bermakna, kita mengharapkan kehadiran adik adik ke dalam usrah bukan sekadar untuk menambahkan atau memperbanyakkan bilangan ahli, tetapi apa yang kita inginkan adalah penerapan nilai nilai ISLAM dalam diri mereka. Seringkali saya mendengar luahan ahli usrah yang kecewa dengan sikap naqibah yang terlalu tegas sehingga memaksa adik adik usrahnya berubah seperti yang dikehendakinya. Untuk diri saya, saya ingin menjadi seorang naqibah yang dekat di hati adik adik BALKIS kesayangan saya. Jika dizinkan, ingin saya menatang mereka dengan kasih sayang agar mereka memahami bahawa ajaran ISLAM itu adalah ajaran kasih sayang. Walaubagaimanapun, saya tidak mahu mereka terlalu terikat dengan saya. Gerakan dan perjuangan dakwah harus fleksibel. Mereka haruslah sentiasa bersedia untuk menerima pentarbiyahan dari sesiapapun asalkan disandarkan kerana ALLAH SWT.

Naqibah yang bagaimana pilihanmu?

Teringat suatu persoalan yang dilontarkan kepada adik adik BALKIS iaitu naqibah yang bagaimana pilihan mereka, yang suka buat lawak tetapi sedikit inputnya ataupun yang membosankan tetapi memberi pengisian yang hebat inputnya. Sekiranya saya yang diberi pilihan, saya mahu kedua duanya. Bukan bermakna saya seorang yang tamak tetapi bagi saya seorang naqibah yang hebat adalah naqibah yang bisa menyelami hati dan kehendak mad'unya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, pandanglah seseorang atau sesuatu itu dengan kaca mata dakwah. Carilah potensi dakwah yang ada dalam diri mereka. Sekiranya adik usrah kita jenis yang suka berfesyen, perkenalkan mereka dengan cara pemakaian yang begitu indah dalam ISLAM, jika adik usrah kita pula jenis yang couple, pujuk dan didik mereka dengan kasih sayang hakiki dari ALLAH SWT. Katakan kepada mereka, hatimu milik TUHAN, untuk apa diserahkan kepada yang tidak berhak selagi belum tiba masanya.

Berkongsilah!

Saya sangat suka berkongsi cerita bersama adik adik BALKIS kesayangan saya. Pengalaman penghijrahan dalam hidup saya, pengalaman dan cabaran saya berkerja sebagai seorang jururawat (termasuk cerita seorang jururawat berbaju hijau yang berada di belakang saya ketika bekerja waktu malam), perjalanan dakwah saya dan juga kehidupan seharian saya. Saya ingin adik adik usrah saya mengetahui bahawa saya bukanlah Asiah Yusro yang sempurna. Saya juga seperti mereka. Alhamdulillah, saya masih punya dua pasang tangan, dua pasang telinga, dua pasang mata dan sepasang hidung dan mulut. Cuma yang selalu saya titipkan buat mereka, PELAJARAN TETAP NOMBOR SATU TETAPI ALLAH DAN AGAMANYA BUKAN NOMBOR DUA. Saya bukanlah seorang yang pandai dalam pelajaran tetapi saya percaya bahawa ALLAH meninggikan darjat mereka yang berilmu. Selain itu dengan ilmu, inshaALLAH ISLAM bisa dimartabatkan dan redha ALLAH pasti bersama.

Kisah Asiah Yusro

Ini adalah secebis kisah diri saya yang kerdil ini. Sesungguhnya saya masih ingin banyak belajar dan meneguk ilmu agama kerana saya rasa saya telah mensia siakan suatu masa yang panjang dalam hidup saya. Saya bermohon kepada ALLAH SWT agar sentiasa meletakkan saya dalam naungan kasih sayang hidayah dan taufiqNYA. Saya rela menderita dan kesakitan asalkan tarbiyah ALLAH sentiasa bersama saya. Saya tidak sanggup lagi berjauhan dengan hidayah dan taufiq dari ALLAH SWT kerana saya berasakan itu adalah tika waktu yang sangat menderita dalam hidup saya. Dan sudah tentu saat yang paling indah adalah ketika mendapat petunjuk kasih sayang dariNYA.

Ku ingin menjadi bidadari syurga!

Terima kasih yang tidak terhingga buat pengunjung layakkah aku menjadi bidadari syurga. Mohon doa kalian apabila singgah di bidadari saya ini, mendoakan agar impian saya untuk menjadi bidadarinya terlaksana. Untuk menjadi bidadari syurga pasti tidak mudah namun saya percaya rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk hamba hambaNYA. Mohon maaf juga atas pertukaran lagu di blog saya ini. Saya mendapat banyak respon agar mengembalikan lagu bidadari pada bidadari ini. Maka terimalah lagu bidadari ini sebagai hadiah daripada saya buat semua pengunjung layakkah aku menjadi bidadari syurga ini. Kalian adalah bidadari saya =)

Bidadari 2x
Temanilah resahku
Bidadari 2x
Tenangkanlah jiwaku
Sumpah setia hidup mati
Semuanya kerana kau isteriku
Isteriku tercinta pelengkap rusuk kiriku

Bidadari 2x
Jadilah pedampingku
Bidadari 2x
Jadilah sang setia
Kerna cinta cinta suci
Buktinya tidak pernah sepi
Sepi daripada cubaan yang tak terduga

Chorus *

Kau umpama bintang utara
Penunjuk jalan yang terang
Kau beri harapan saat ku jatuh
Bangun semula
Dan berikan sakti cintamu
Penawar racun berbisa
Dan ikatan kita cinta abadi hanya disyurga....


Ya ALLAH, aku ingin sekali bersama Asiah, Maryam, Fatimah dan Saidatina Khadijah bergembira di syurgaMU... AMEEN ^_^

Asiah Yusro

p/s: Bakal menjadi burung hantu selama tiga malam.... doakan saya kuat =)

0 comments:

Post a Comment