Pages

Wednesday, April 6, 2011

Penghijrahan itu





Teringat suatu perbualan bersama seorang rakan pelajar non muslim ketika masih bergelar seorang 'student nurse'. Ketika itu, kami berdua bertugas
pada waktu petang dan diberikan sedikit masa rehat setelah selesai menyediakan ubat untuk para pesakit. Rakan non muslim ini juga merupakan seorang yang aktif dalam agamanya.

"Asiah, masa kamu berubah dulu, saya amat meyakini bahawa perubahan kamu sekejap saja dan sekadar main main. Saya tak sangka kamu akan bertahan selama ini. What make you change DRASTICALLY?"

Terasa makanan yang masuk ke dalam organ penghadaman saya ingin keluar begitu sahaja apabila ditanyakan soalan sedemikian. Saya tidak menyangka bahawa dia mengikuti perkembangan diri saya dan saya juga tidak menyangka dia berminat untuk mengetahui apa dan kenapa saya melakukan penghijrahan dalam diri saya. Terus terang saya katakan bahawa sebelum ini saya belum cukup kuat untuk berhadapan dengan dia. Apatahlagi dia seorang yang sangat kuat berpegang kepada agamanya. Dalam hati saya berdoa kepada ALLAH SWT agar diberi kelancaran lidah untuk mengatur bicara. Sengaja juga saya meng'highlight'kan perkataan drastic. Saya tidak tahu bahagian mana diri saya berubah secara drastik. Bagi saya, perubahan saya adalah perubahan biasa. Penghijrahan seorang manusia yang jahil kembali mencari jalan kebenaran. Sudah menjadi lumrah buat kita seorang manusia untuk mencari kebaikan. Fitrah semula jadi yang tidak dapat dinafikan. Malah hal ini diperkuatkan lagi dengan Firman ALLAH dalam surah As Syams ayat 8 hingga 10:

"Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaan. Sungguh beruntung orang orang menyucikan (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya"


Ayat ini juga merupakan ayat Al Quran pertama yang diberikan oleh seorang adik junior yang ketika itu berusaha mentarbiyah diri saya. Malah ayat ini begitu sebati dengan kehidupan saya sehingga kini apatahlagi berhadapan dengan godaan nafsu yang melemahkan langkah perjuangan saya.

"Shu mei, Alhamdulillah, ALLAH SWT memilih saya untuk mencari cintaNYA. Selama ini saya selalu mencari kesempurnaan dalam hidup tetapi saya tidak pernah puas. Saya tidak tahu apa lagi yang saya ingin cari. Hati saya terasa kosong. Ada sesuatu kekurangan yang tidak dapat saya isi. Setelah sekian lama, akhirnya saya mengerti bahawa kekosongan itu dapat diisi dengan rahmat dan limpahan kasih sayang merasai hidayah dan taufiq dariNYA"

" I thought your chance because of human. Sometimes I cannot believe that you can wear like this. I feel like Im dreaming or what..."

" Shu mei, percayalah, ini adalah diri saya. Asiah Yusro. Saya masih Asiah Yusro yang sama, rakan rakan kamu semua. Cumanya cara saya berpakaian ini adalah saya mengikuti perintah wajib dalam agama kami".

"Tidakkah kamu berasa rugi? Kecantikan kamu terhalang. Adakah ISLAM tidak menghargai wanita wanitanya dengan menghalang mereka untuk kelihatan cantik?"

"Segala puji untuk ALLAH SWT. Alhamdulillah, betapa beruntungnya kami sebagai wanita ISLAM. ALLAH swt sangat menghargai wanita. Maka dengan itu, wanita yang indah itu dilindungi maruah dan harga diri. Sekiranya kita menyayangi sesuatu contohnya buku kesayangan kita, kita pasti akan membalut buku itu sebaik baiknya dan menyimpannya secara rapi. Begitu juga dengan makanan yang dimasak, kita pasti melindungi makanan tersebut daripada tercemar. Begitulah caranya wanita ISLAM dilindungi. Wanita ISLAM percaya bahawa kecantikan hakiki adalah apabila taat pada perintah kepada ALLAH SWT, dan jika benar seseorang itu taat pada agama, dia juga akan menilai kecantikan berdasarkan agama."

Dalam hati saya sebenarnya sudah bersedia dengan jawapan kerana saya amat meyakini bahawa Shu Mei pasti bertanya saya berkaitan pemakaian wanita ISLAM. Inilah mungkin yang dikatakan drastik oleh Shu Mei apabila saya mengubah cara berpakaian saya. Apatahlagi kegusaran Shu Mei yang mengatakan bahawa ISLAM menghalang wanita untuk kelihatan cantik. Teringat saya tentang satu hadith yang cukup indah:


ALLAH itu indah dan sukakan keindahan. (Sahih Muslim 131)

Islam tidak pernah melarang seseorang wanita itu untuk kelihatan cantik malahan lebih bertuah dan beruntung wanita ISLAM yang kelihatan cantik itu mendapat ganjaran pahala dari ALLAH SWT. Namun, AWAS, takut apabila terlalu obses cantik, mendapat kemurkaan dari ALLAH SWT pula. Maka, hijabkanlah kecantikanmu buat mereka yang berhak =)

"I want to know more about ISLAM but I dont know. One more question, why ada certain muslim yang sembahyang dan ada yang tak sembahyang. Ada yang pakai tudung dan ada yang tak pakai tudung. Macam kami, kami boleh sembahyang bila bila masa, tapi muslim macam ada certain time yang perlu sembahyang."

"Sesungguhnya segala suruhan agama itu MESTI dilakukan.TIDAK ada alasan untuk tidak melakukan suruhan agama. Tetapi ingatlah tidak semua manusia itu sempurna. Pilihan terletak di tangan kita sama ada untuk melakukan kebaikan atau meninggalkannya. Agama TIDAK BOLEH SEKALI KALI disalahkan apabila berlakunya kejahatan dalam diri seseorang kerana individu itu sendiri yang melakukan kejahatan itu." (Perkataan yang dihuruf besarkan menandakan saya menekankan dan menegaskan suara saya.)

"So, orang yang tak sembahyang dan tak pakai tudung jahat?" katanya selamba.

Tersentap saya mendengar pernyataan sedemikian. Siapalah kita manusia untuk menilai buruk baik seseorang. Tugas kita yang paling utama adalah untuk memberi peringatan. Kita juga manusia biasa. Adakah sehingga akhir hayat kita, kita masih mendapat limpahan dan hidayah taufiq dariNYA? Teringat sebuah hadith yang cukup dipegang diri ini iaitu hadith ke 4 dalam hadith Arbain Imam Nawawi bahawa:

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata, Rasulullah yang jujur dan dipercayai ucapannya memberitahu kami, ' Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaanya dalam rahim ibunya selama empat puluh hari berupa nuftah (sperma) kemudian menjadi alaqah (segumpal darah yang menggantung) selama waktu itu juga menjadi mudghah (segumpal daging) selama waktu itu pula, kemudian diutuslah malaikat untuk meniupkan roh kepadanya dan menyampaikan empat perkara iaitu: menulis rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan akan menjadi orang sengsara atau bahagia. Demi ALLAH yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selainNYA, sesungguhnya ada seorang di antara kamu yang sentiasa beramal dengan amalan penghuni syurga, hingga jarak keduanya tinggal sehasta, namun ketetapan (ALLAH) mendahuluinya, lalu ia melakukan amalan penghuni neraka sehingga masuk ke dalamnya, dan sesungguhnya ada seseorang di antara kamu yang sentiasa beramal dengan amalan penghuni neraka, hingga jarak keduanya tinggal sehasta, namun ketetapan (ALLAH) mendahuluinya, lalu ia melakukan amalan penghuni syurga sehingga masuk ke dalamnya. (HR. Bukhari dan Muslim)

Apabila berasa diri sudah melakukan amalan kebaikan, sebaiknya segera dilupakan. Takut kerana kesombongan kita, ALLAH menhantar kita menghuni nerakaNYA, nauzubillah. Seharusnya kita merasa tidak cukup dengan amalan yang dilakukan kerana kita tidak tahu di tahap mana penerimaan amalan kita. Malah, hidayah dan taufiq adalah milik ALLAH SWT, dalam sekelip mata apabila ALLAH sudah memegang hati seseorang itu, dia pasti boleh berubah ke arah kebaikan. Maka jawapan yang saya berikan untuk Shu Mei;

"Kita hanya manusia biasa. Dalam ISLAM sendiri, kami di ajar untuk tidak terus melabel seseorang itu jahat atau baik. Kami percaya ALLAH SWT sahaja yang berhak menentukannya dan kami yakin seseorang itu pasti boleh berubaha kerana kebaikan jika sentiasa dekat dengan ALLAH SWT. Cuma, apa yang saya ingin tegaskan di sini, YANG BAIK ITU, pasti BERSOLAT dan BERTUDUNG kerana yang baik itu pasti berusaha untuk mengikut perintah ALLAH, wallahualam."

Perbualan kami terhenti tatkala kami masa untuk rehat telah tamat. Kami perlu meneruskan kerja kerja di hospital. Namun, perbualan petang itu cukup melekat di kotak pemikiran saya biarpun sudah setahun berlalu dan kini saya sudah bergelar staff nurse. Alhamdulillah, ALLAH beri kekuatan untuk saya menyusun butir butir bicara pada bidadari kesayangan saya ini. Seperti yang saya katakan pada entri sebelum ini, seolah olah diri saya ini sudah tidak mampu memberi. Hati saya bermonolog sendiri bahawa mungkin diri aku ini tidak punya apa apa sehingga tidak dapat memberi. Mungkin juga hati saya ini dipenuhi maksiat yang menghijabkan diri saya dari terus menyampaikan. Sesungguhnya bertaubat saya kepada ALLAH SWT atas segala kelalaian dan kekhilafan diri saya. Semoga saya sentiasa kekal dalam pemeliharaan ALLAH dan semoga diri ini sentiasa bermuhasabah diri. Teringat pesanan yang sering saya titipkan buat anak anak usrah dan sahabat sahabat saya bahawa sekiranya seruan kita itu tidak dapat diterima, maka muhasabahlah diri kita, mungkin ada dosa dosa kita sebelum ini yang BELUM DISUCIKAN. Dan kini, kata kata tersebut sewajarnya saya tujukan buat diri saya sendiri....


Wallahualam
Hanya hati yang suci dapat menyucikan hati hati yang lain......

‎"Ya Allah, jika mati adalah terbaik buat diriku, maka matikan laa aku dalam keimanan terhadapMu..Jika hidup adalah terbaik buat diriku, maka hidupkan la aku dalam penuh rasa kehambaan kepadaMu.."

Asiah Yusro

0 comments:

Post a Comment