Pages

Thursday, February 3, 2011

Bilakah waktu rehat itu??


Tatkala diri terasa ingin beradu kerana keletihan melayari kehidupan sebagai seorang jururawat, telefon bimbit kesayangan saya bergetar. Terasa di hati ingin membiarkan sahaja kerana sesungguhnya tenaga tubuh perlu di top up akibat kesibukan hospital pada waktu pagi yang amat memerlukan ketangkasan mental dan fizikal. Namun saya menggagahi juga tangan kurniaan ALLAH untuk mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja.

1 Message Received

Layyinul Harir:
Assalamualaikum kak Asiah, Hana sekarang berada di Bandar ******, katanya ingin bertemu dengan kakak sebelum berangkat ke Sandakan. Kalau kakak free, boleh pergi jumpa dia? ;)

Terbayang wajah manis Layyinul Harir, anak usrah saya yang kini Alhamdulillah telah mula mengorak langkah dalam perjuangan. Senyuman manis Hana juga bermain main pada anak mata saya. Sejujurnya saya mengatakan bahawa tika itu diri saya ini begitu berat untuk bangkit dari tempat pembaringan. Dalam hati sedikit merungut kerana waktu rehat saya diganggu. Apatahlagi pada waktu waktu ini diri saya juga diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi dalam perjuangan dakwah. Terasa ALLAH SWT memberikan peringatan kepada saya bahawa kerja kerja meneruskan perjuangan para nabi dan Rasul bukan satu kerja mudah. Seorang yang bergelar daie itu sudah pasti memahami bahawa tuntutan yang perlu dipenuhi adalah melebihi masa yang dia miliki.

Langkah demi langkah yang diatur dalam perjuangan mendidik ummah untuk menegakkan ISLAM ini kadang kadang saya rasakan terlalu berliku. Apatahlagi dengan keterbatasan pergerakan saya buat masa kini kerana nenda saya yang sakit dan memerlukan perjagaan rapi. Malah saya terpaksa membatalkan beberapa kehadiran ke program program penting kerana ada tanggungjawab yang lebih aula menanti saya. Kerisauan ibubapa kepada kesihatan saya juga menyebabkan mereka agak kurang membenarkan saya bergerak ke sana kemari kerana mereka mengatakn bahawa diri saya ini seolah olah tidak ada waktu rehatnya. Saya memahami kerisauan dan kebimbangan mereka yang sangat berasas. Cuma bagi diri saya, saya berasa sebenar benarnya tidak sihat apabila saya hanya duduk diam tanpa berfikir atau berbuat apa apa tentang perjuangan. Itulah sakit kronik yang paling perlu dirawat!

Saya mengakui kadang kadang bahawa diri saya ini juga berasa penat sehingga terasa ingin bercuti sekejap dari jalan dakwah dan tarbiyah ini. Apatahlagi kesempitan dan kepayahan sentiasa membayangi hari hari yang dilalui. Setiap kalinya saya berfikir sedemikian, setiap kali jugalah imbasan memori bersama gadis yang saya rindui dalam artikel ALLAH always save the best for the last bermain di fikiran saya. Saya menyedari bahawa gadis yang saya rindui itu tidak akan wujud tanpa ada insan insan yang tika itu juga berusaha untuk mentarbiyah dirinya. Dan jika difikirkan fikirkan, mungkin juga tanpa usaha insan insan yang mentarbiyah diri saya tanpa pernah kenal erti penat lelah, saya tidak akan mampu mencoretkan sesuatu pada 'bidadari' kesayangan saya ini.

Malu rasanya untuk bertentang mata dengan Rasulullah SAW di padang Masyar kelak kerana merungut hanya semata mata kepenatan yang sedikit itu tidak mampu di atasi. Malahan diri ini cukup takut sekiranya Rasulullah SAW tidak mengakui bahawa diri ini adalah sebahagian daripada penyambung mata rantai perjuangan Baginda. Apalah sangat langkah yang dihayun oleh diriku yang kerdil dan lemah ini berbanding perjuangan Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalahnya. Perjuangan baginda dan sahabat sahabat sehingga ke titisan darah yang terakhir sedangkan pada zaman kini rungutan demi rungutan diberikan hanya kerana titisan peluh yang sedikit.

Selain itu saya juga menginsafi perjuangan umat ISLAM pada masa kini. Apatahlagi tika ini, saudara seagama di Mesir sedang berjuang menentang kebatilan. Belum lagi dicampur dengan perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah mengenal erti penat. Sesungguhnya perjuangan sebegini yang memotivasikan saya. Dunia hanya dilihat sebagai satu padang bola. Akhirat dikejar tanpa menoleh kebelakang melihat dunia. Teringat pesanan yang dikongsikan sahabat saya yang mengatakan bahawa jangan biarkan anak anak akhirat tertawa melihat anak anak dunia yang berlari hanya kerana mengejar sebiji bola! Terpulanglah sama ada kita mahu menjadi anak dunia ataupun anak anak akhirat.

Akhir akhir ini saya sering bermuhasabah diri. Saya memohon keredhaan ALLAH swt dalam setiap langkah yang diatur pada pentas perjuangan yang terlalu panjang ini. Istilah cuti atau rehat untuk seorang kader dakwah hanya apabila dia bertemu dengan janji ALLAH swt di syurgaNya kelak. Yang lebih baik untuk seorang daie itu adalah kerehatan yang sedikit tetapi mampu memulihkan tenaganya untuk melangkah dan kerehatan sebenar di dunia ini paling bisa ditemui tatkala kita bersujud dan menangis padaNYA di sepertiga malam.

Akhirnya setelah pertemuan singkat saya dan Hana, cukup bisa memulihkan tenaga saya yang telah hilang dan saya lebih bersemangat untuk bermujahadah pada keesokan harinya. Perjumpaan singkat itu bagi saya sebagai peringatan ALLAH SWT bahawa diri saya ini masih punya tanggungjawab untuk membawa galian galian berharga yang ALLAH hadiahkan buat saya ini sehingga beroleh kefahaman dan mudah mudahan generasi inilah yang akan menjadi murobiah, wanita pendidik ummah suatu hari nanti. Tulisan ini bukan untuk bertujuan riak atau menunjuk nunjuk tetapi cukup sebagai peringatan diri saya yang seringkali berasa letih dalam meneruskan amanah ALLAH SWT. Semoga DIA mengampunkan dosa dosa saya...

Dan telefon bimbit merah jambu kesayangan saya bergetar lagi....


2 Messages Received:

019XXXXXXX:
Assalamualaikum Kak Asiah, ingat lagi saya? Kita jumpa masa Rehlah Nisa' Sepanggar hari itu. Rindu dengan akak. Boleh saya add FB akak?

Aisyah:
Kak Asiah... lama tidak bertemu, bila akak ada kelapangan, rindu berusrah bersama....

Saya tahu bahawa ALLAH menghadiahkan galian berharga untuk saya lagi ;)


Asiah Yusro
Murobbiah to be?
InshaALLAH ^^,

0 comments:

Post a Comment