"staff nurse, ada staff staff kita yang tengah berusaha belajar mengaji sekarang, kebanyakkan mereka yang dari golongan mualaf. Biarpun usia sebegini, sibuk dengan anak anak dan keluarga, tetapi semangat untuk belajar masih ada. Sebenarnya, saya sendiri pun sudah lama berminat tentang ISLAM tetapi saya tidak tahu nak bertanya pada siapa"
Dialog dari seorang TAN (trained assistant nurse) yang bukan beragama ISLAM amat meninggalkan kesan di hati saya. Sebab pertama adalah saya mengkagumi ruh ISLAM yang mekar subur dalam golongan mualaf yang tidak mendapat bimbingan sepenuhnya tetapi masih berusaha mencari sinar ISLAM. Sebab kedua adalah saya amat merisaukan masyarakat di bumi kelahiran saya iaitu Sabah yang sangat dahagakan tarbiyah yang berpanjangan. Saya meyakini bahawa wujudnya keinginan kepada ISLAM yang membuak buak buat masyarakat di bumi kelahiran saya. Cuma kadang kala terdapat asbab yang menyebabkan terhijabnya saluran untuk memberi kefahaman ISLAM kepada masyarakat sehingga mereka masih terus tercari cari.
Keadaan di bumi kelahiran saya ini membuatkan saya terus terusan bermuhasabah diri. Apa yang telah saya lakukan demi memberikan kefahaman ISLAM? Mungkin saya antara generasi 'bertuah' kerana mempunyai sedikit kefahaman tetapi bagaimana pula dengan saudara saudara seakidah saya yang terus ketandusan sinar ISLAM. Sampai bila saya perlu terus duduk berehat dan bermalas malasan sedangkan penduduk di tanah kelahiran saya sedang berhadapan dengan satu penyakit yang berbahaya.
Kekuatan semangat rakan sekerja saya yang sudah berusia untuk terus belajar mengaji dan juga anak anak usrah saya yang juga menyuarakan hasrat yang sama membuatkan saya terpukul dengan sesuatu hambatan bahawa kurangnya penerapan kepentingan membaca Al Quran pada masyarakat di bumi kelahiran saya.
Dialog tersebut juga mengingatkan saya kepada adik adik usrah di bawah jagaan saya. Alhamdulillah, kebanyakkan mereka sudah punya kefahaman ISLAM yang cukup dan mampu menjaga syariat. Namun, rata rata mereka mengalami masalah yang sama iaitu tidak lancar membaca Al quran. Hal ini cukup merunsingkan saya kerana Al Quran itu merupakan 'sahabat karib' kepada seorang muslim. Hampir menitiskan air mata ketika mengingati pesanan kekasih agung bernama MUHAMMAD SAW:
Aku tinggalkan kalian dua perkara dan kalian tidak akan sesat selagi berpegangan kepadanya iaitu Al Quran dan Sunnah
(Hadith Riwayat Muslim)
Situasi begini membawa memori saya kembali kepada seorang wanita yang saya kongsikan dalam ALLAH always save the best for the last. Betapa ketika dia mula belajar membaca Al Quran dan tika itu ALLAH mempermudahkan dia menerima hidayah dan petunjukNYA. Saya mengakui bahawa diri saya ini juga tidak hebat dalam ilmu Al Quran tetapi saya cukup bersyukur kerana diberi peluang untuk mengenal kalam ALLAH SWT itu. Malah saya sendiri sudah merasakan keajaiban Al Quran yang mengubah hidup saya 360 darjah. Benarlah firmanNYA dalam Surah Al Baqarah ayat dua:
Kitab Al Quran ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.
Pengalaman bergaul dengan sahabat sahabat dari Kelantan semasa di kampus memberi mutiara yang bisa dijadikan panduan dalam hidup saya. Ada antara sahabat yang kelihatan biasa, segalanya sederhana dan biasa sahaja. Namun apabila mendengar dia membaca Al Quran, hati pasti tersentuh. Saya begitu mengkagumi didikan masyarakat Kelantan kepada anak anak mereka yang amat menitik beratkan Al Quran. Saya tidak mengatakan bahawa perlu mewajibkan kita mengajar anak anak kita bertaranum atau membaca Al Quran dengan penuh berirama dan lagu tetapi itu adalah yang terbaik. Namun apa yang perlu kita fokus adalah memastikan anak anak di bumi Sabah kenal dan boleh membaca Al Quran. InshaALLAH, kenal Al Quran, hatinya lebih suci dan mudah untuk mengenali ALLAH SWT. Kefahaman kepada ISLAM adalah juga lebih mudah untuk diterima dan sekaligus bisa melahirkan generasi yang membawa evolusi kepada perjuangan ISLAM di bumi bawah bayu ini.
Sepanjang perjalanan hidup saya di bumi Sabah ini, saya memerhatikan bahawa ajaran Al Quran seolah olah dijadikan sebagai soal kedua dalam mendidik anak anak. Ada ibu bapa yang berhabis habisan menghantar anak ke tempat tuisyen semata mata untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan seterusnya mendapat gred A dalam mata pelajaran. Saya mengakui bahawa saya dahulunya antara pelajar yang begitu mengidam idamkan A tersebut. Setelah melalui transisi dalam kehidupan, saya merasakan bahawa A itu tidak punya makna apa apa jika tidak ada A dalam Al Quran.
Ibu bapa sering menggunakan alasan bahawa merisaukan anak anak terbeban dan tidak dapat menampung untuk belajar dua perkara sekaligus iaitu pelajaran di sekolah biasa dan belajar mengaji. Saya ingin mengajak para ibu bapa menyoroti kisah di sebalik insan insan hebat yang pernah dilahirkan. Masih ingatkah kita pada Imam Nawawi, ulama tersohor dan meninggalkan mutiara buat kita melalui kitab tinggalannya sudah khatam Al Quran sejak kecil lagi. Atau mungkin kita sudah melupakan Imam Hasan Al Banna, fikrahnya jernih menggegar dunia dan didapati didikan awalnya adalah Al quran. Paling tidak ambil contoh masa kini iaitu seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) suatu ketika dulu yang juga merupakan seorang pelajar aliran agama. Maka tiada alasan untuk mengatakan bahawa pelajaran Al Quran itu menjadi beban. Terpulang sama ada kita 'mahu' atau tidak.
Saya begitu tertarik dengan silibus yang disediakan di PASTI (Pusat Asuhan Tunas ISLAM) dan saya meyakini bahawa PASTI adalah satu wadah untuk mendidik anak anak kita mengenali Al Quran. Malah penubuhan Sekolah Rendah ISLAM Al Hafidz di bandar Sierra juga sebagai salah satu usaha murni untuk melahirkan generasi yang celik Al quran di bumi Sabah ini. Setiap kali melihat wajah wajah comel si kecil menimbulkan perasaan hebat yang sukar digambarkan dalam diri saya. Betapa saya merindukan kelahiran seorang ulama di bumi Sabah ini yang bisa menjadi penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah. Sering kali saya diusik oleh sahabat sahabat yang menyatakan bahawa saya ini sudah mendapat 'seru' dan sebagainya tetapi bagi saya matlamat utama kita semua adalah untuk merealisasikan impian 'ISLAM UNTUK SEMUA' di bumi Sabah. Saya tidak mahu anak anak pada masa hadapan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh generasi kini dengan meninggalkan Al Quran. Jika saya tidak mampu menjadi srikandi Salahudin Al Ayubi tetapi biarlah saya berusaha melahirkan dan mendidik generasi muda menjadi pejuang ISLAM yang seterusnya. Sekurang kurangnya saya ada sedikit jawapan yang bisa diberi ketika ditanya oleh ALLAH SWT di akhirat nanti, apakah usaha saya untuk menegakkan agamaNYA.
Sedikit titipan buat insan insan yang ALLAH sentuh hatinya untuk mengenali Al Quran:
Alhamdulillah, ALLAH telah menyentuh hati kalian. Saya juga seperti kalian. Saya mengakui pada mulanya terasa begitu susah untuk membiasakan diri membacanya. Tetapi peganglah sesuatu bahawa untuk mendekati ALLAH itu bukan jalan mudah kerana pasti ada proses tapisannya tetapi tidak juga ada jalan buntu kerana ALLAH pasti membantu hamba hambaNYA. Bersabarlah dan jangan terlalu gopoh. Teringat pengalaman ustazah Noraslina yang sering saya jadikan rujukan. Bagi ustazah, biar lambat asalkan benar. Beliau begitu tegas dalam mendidik anak anak membaca bacaan Al Quran sehingga 'selagi belum lancar, selagi itu tidak boleh beralih bacaan'. Kita tidak mahu bahawa kita dilaknat oleh Al Quran sendiri kerana gopoh untuk mengkhatamkan sehingga lupa hukum dan tidak mengamalkan perintah ALLAH dalam Al Quran.
Daripada Abu Hurairah r.a juga meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
ALLAH mengalakkan kepada hambaNYA sebagaimana ALLAH memerintahkan Rasulullah SAW supaya memperelok dan mengangkat suara ketika membaca Al Quran.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hamba yang kerdil,
merindui kelahiran ulama generasi Al Quran di bumi bawah bayu...
Asiah Yusro..