Pages

Monday, May 31, 2010

Islam Fobia dan Palestin Siapa Peduli?


AIR hujan pada bumbung langit turun menjamah manja tanah gersang. Derapan kaki di dada bumi pula perlu dibesarkan mengimbangi kepantasan air hujan yang terjun mencuram, sebelum pakaian yang melekat di badan basah. Beburung tidak lagi kelihatan bermain di ruangan angkasa. Anak-anak berlari kecil memenuhi setiap ruang di ‘pinggiran’ tembok bangunan usang. Malam pula menyingsing di kala senja mengantikan siang.

Indah sungguh skrip yang terlakar pada hari tu. Hanya Allah Taala sahaja tahu dan mengerti cerita hati yang tersirat di sebalik babak ke babak silih berganti ini. Inilah sunnatullah, perjalanannya sudah ditulis.

Saya tidak pandai membaca tulisan alam, apatah lagi menggarap dalam tulisan manusia unik ini. Permainan ini akan tetap diteruskan sama ada manusia itu sedar atau tidak, berjalan seperti biasa, tidak menunggu pada yang terlambat.

Manusia berjalan tidak sesekali sama dengan manusia berlari, dan jauh pula untuk dibandingkan dengan manusia menderai kuda. Tiada persamaan di antara satu sama lain. Destinasi utama dijadikan idaman. Ada yang lalai dan masih lagi alpa dibuai ulikan dunia. Persiapannya hanya berbekalkan pertualan hidup sia-sia.

Benar siang tidak selama-lamanya, akan sampai jua masanya digantikan malam.

Usaha ke arah kebaikan bukan sahaja bergantung pada ingin dan tahu, malah pada pengalaman yang memandu. Pengetahuan isi luaran, bermain bersama persekitaran, membedah warna-warni isi alam, jatuh bangun bersama semangat ingin membaiki kelemahan. Inilah pengalaman yang berfungsi.

Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)” an-Naba’ (78:40)

Keadaan ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah Taala dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Kesedaran seseorang hamba juga terletak pada proses menyampai. Terpulang sama ada ianya datang daripada diri sendiri, atau orang lain.

Kita perlu merasai terlebih dahulu, kita terlebih memakan buah-buah (ilmu, pengalaman, dan buah fikiran) tersebut, bimbang kita memberi kulit buah sahaja kepada orang-orang yang mendambakan.

Biar kita merasai kemanisan dalam beribadat, ketenangan dalam melihat makhluk ciptaan-Nya, kelazatan ketika menyebut nama-Nya, perendahan diri secara mutlak tatkala sujud di hadapan-Nya. Tenggelam dan asyik dalam melihat-Nya. Jangan pula kita tenggelam dalam ego dan kemasyhuran yang menyebabkan kita terdinding dari orang yang diberi akan ilmu hikmah.

Berilah dengan ikhlas, dan terimalah dengan penuh redha.

Hikmah pula lahir dari proses mengeluarkan kesimpulan baik dari mehnah. Tersurat di sebalik tersirat. Ujian dunia didepani dengan bijak, dan disalurkan pada kebun nurani lembut. Bertahan di atas kesulitan.

DAMAI HILANG

Tanpa kita sedari dari fikiran datangnya perasaan, dan dari perasaan akan lahirnya tindakan. Umat yang malas berfikir tidak akan mampu untuk melahirkan apa-apa perasaan apatah lagi tindakan yang mampu mengubah dunia, hatta lagi diri sendiri tidak pernah terurus.

Harakah Islamiyyah juga wajar bersedia untuk menjawab persoalan besar ini, jangan hanya matlamat sahaja yang besar untuk menegakkan daulah Islam dan membangunkan khilafah, namun berjiwa, beridea dan berfikiran yang tidak akan menyampaikan umat ke sana. Strategi harus dirancang dan sejarah perlu dijejaki, bagaimana umat ini satu ketika dahulu sanggup untuk menguasai satu per-tiga dunia, membangunkan tamadun dan melahirkan manusia-manusia hebat, sehebat Tariq Bin Ziyad, Sultan Muhammad al-Fatih serta mendirikan bangunan sehebat Masjid Cordova, dan Masjid al-Azhar.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan bahawa dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa…” an Nur (24:55)

Kita diberikan akal untuk memilih yang terbaik. Tidak layak dipanggil manusia kalau tidak digunakan akal itu ke tempat yang diperlukan. Tidak layak untuk beragama kalau asyik mengenepikan fungsi akal. Lihat semua rukun-rukun wajib melaksanakan ibadah semuanya memerlukan seorang yang berakal, tidak gila, tidak mabuk- sama ada sengaja memilih untuk mabuk atau dipengaruhi untuk mabuk. Sekiranya tiada kewarasan semasa menjalankan ibadah, maka jadilah semuanya ritual seperti analogi tindak balas spontan lembu yang lapar lari ke arah rumput untuk memenuhi perutnya dengan makanan.

Manusia yang beragama tanpa Tuhan juga menganut satu fahaman lain, fahaman materialisme. Sesuatu yang dilihat itu sesuatu yang ditafsir dan dipercayai. Sesuatu yang boleh disentuh dan diperlihatkan. Sesuatu yang boleh dinikmati dan distatuskan. Manusia yang memahamkan bahawa dunia ini untuk dipergunakan bagi memperolehi kemewahan.

Pemimpin yang memahamkan bahawa manusia lain untuk diperalatkan bagi memperolehi kesenangan. Fahaman materialisme semakin menular dan diperturunkan dari generasi ke generasi.

Dalam Islam ada demokrasi, dalam Islam ada hadharah, dalam Islam ada persaudaraan, dalam Islam ada pembebasan, dalam Islam ada nasionalisme. Orang Islam yang pertama mencipta itu dan ini, bukan Barat. Barat mencedok idea Islam, sebab itu mereka maju.

Itali tidak pernah mengungkit kemegahan tamadun Rome. Iran tidak pernah mengungkit kehebatan empayar Parsi. Benar dalam Islam ada semua yang disebutkan itu tapi segala-galanya hanya dalam bentuk teks. Hadharah dalam Islam hanyalah teks sejarah, fraternity, liberty, dan equality, semuanya hanyalah teks. Hakikatnya kita ialah Islam dengan teori. Berubahlah, jangan terlalu mengagungkan sesuatu yang telah berlaku tanpa sebarang tindakan untuk mencipta pembaharuan atau sejarah baru dalam pemikiran Ummah.

Sebagai Muslim kita seharusnya menjadi manusia yang sentiasa melihat kepada Sunnah Allah dan mempelajari apa yang Allah tarbiahkan kepada kita melalui alam semulajadi. Sangat sedih jadinya, ada yang mempertahankan gagasan pembelajaran akidah melalui Ilmu Kalam, tetapi sebahagian mereka turut bermusuh dengan seruan akal. Ini membuktikan kerapuhan kepercayaan membuta tuli terhadap teks yang diangkat sebagai subjek sembahan.

Muslim seharusnya memahami roh beribadah, sekiranya betul-betul mahu menolak materialisme semata-mata. Ia bukan soal Sufi Tasawwuf atau falsafah putar belit, tapi ia adalah maksud beragama sebagai jalan berhubung dengan Tuhan dengan memahami cara kerja-Nya membentuk Alam (sunnahtullah)

Orang-orang bertakwa adalah orang-orang yang sebenar-benar takut kepada Allah Taala dengan mematuhi syariat (al-Quran dan as-Sunnah) dan Sunnah (ayat-ayat Alam). Orang-orang bertakwa tidak berani membiarkan sunnah Allah (yang menerangkan cara kerja Allah) dikaji oleh orang bukan Islam dan hanya menunggu hasil dari kajian yang dibuat oleh bukan Islam.

Apa yang dapat kita lihat pada hari ini, kemunduran Muslim disebabkan tidak memberikan keseimbangan dalam mematuhi syariat dan sunnah Allah. Segala pelajaran dari alam hanya diperolehi dari kajian teliti bukan Muslim. Keizinan Allah untuk manusia dapat melaksanakan kerja dengan berteknologi di bumi, merupakan tanda arifnya kaum tersebut dengan cara kerja alam kepunyaan Allah. Tanpa keizinan Allah Taala di dunia, keredhaan di akhirat tidak mungkin tercapai kerana kesalahan meninggalkan dunia kepada bukan Muslim.

Belajarlah daripada mereka, jangan terlalu egoisme andai diri tidak mahu mengubah.

DUNIA ISLAM

Sebahagian umat Islam mempunyai pandangan bahawa apabila seseorang muslim komited atau berpegang teguh pada ajaran Islam, bererti dia tidak boleh menjalani kehidupan yang biasa dilalui oleh orang lain kerana dikhuatiri bertentangan dengan hukum-hukum Islam. Mereka berpendapat bahawa Islam komited tidak boleh menyertai sebarang bentuk gejala-gejala tidak sihat seperti konsert hiburan melalaikan, tidak dibenarkan menyertai bidang sukan yang melibatkan pendedahan aurat, wanita Islam tidak boleh terlibat dalam bidang yang diceburi oleh golongan lelaki khususnya pekerjaan berbentuk ketahanan fizikal, dan banyak lagi isu-isu yang seolah-olah menyukarkan orang Islam untuk maju dan berdaya saing, dengan erti kata lain Islam itu jumud tidak mengikut peredaran arus perdana.

Benarkah tanggapan tersebut?

Rasulullah s.a.w dan para sahabat adalah golongan yang benar-benar komited terhadap ajaran Islam hingga tidak menjual agama dengan kepentingan dunia. Malah dengan kesungguhan mereka beramal dengan Islam dan kandungan isi al-Quran dan Hadith baginda s.a.w, ramai di kalangan manusia pada era tersebut tertarik untuk berjinak-jinak dengan ajaran Islam yang dianggap menakutkan pada zaman jahiliyah oleh kaum kafir Quraisy. Semua ini didorong oleh komitmen dan kesungguhan mereka untuk menjiwai Islam dan tidak terpesona dengan habuan dan janji-janji dunia yang melalaikan.

Sebagai contoh, adakah seorang muslimah bekerjaya yang memakai jilbab boleh menggugat keutuhan sosio-ekonomi, semata-mata kerana untuk mempertahankan haknya untuk menutup aurat dan beramal dengannya. Namun ramai juga perempuan-perempuan yang tidak berjilbab gagal dan kecundang dalam bidang yang diceburi. Sehubungan itu, adalah tidak adil seorang muslim menuduh saudara seIslam yang lain sebagai penyebab kegagalan hanya kerana ingin melaksanakan tuntutan fardhu ‘ain atau amalan-amalan sunat yang lain.

Perlu diingat dan dikenang, bahawa masyarakat di masa lampau yang disebut oleh Allah Taala di dalam al-Quran, golongan yang paling hampir dengan Nabi Muhammad s.a.w dari sudut tindakan dan gerak kerja ialah golongan yang berjaya melaksanakan tugas amar makruf dan nahi munkar.

Hal ini disebut di dalam al-Quran;

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Hendaklah ada dikalangan kamu (orang-orang Islam) menyuruh pada perkara kebaikan (makruf), dan mencegah perkara yang mungkar dan keji dilakukan, sesungguhnya mereka itu golongan yang berjaya”Ali-Imran (3:104)

Sesungguhnya ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Taala secara responsif menjelaskan kepada manusia khususnya kepada orang-orang beriman, supaya komited dengan kerjaya-kerjaya dakwah (menyeru) kepada Islam atau menyatakan pandangan baik tentang Islam kepada golongan bukan Islam, kerana bukan semua orang Islam yang berani dan sanggup melaksanakan tugas ini sepenuh masa, apatah lagi sebahagian dari rasa tanggungjawab yang perlu dipikul. Apabila usaha dakwah dilakukan sebahagian, maka orang Islam yang enggan melakukan atau tidak mampu melakukannya tidak lagi berdosa, kerana telah digugurkan oleh mereka yang sanggup.

Kesedaran dalam melaksanakan konsep ini, hendaklah berterusan dalam semua aspek dan tindakan seperti rasa sensetiviti terhadap perkara-perkara yang menjatuhkan maruah Islam itu sendiri. Kesucian dalaman Islam perlu dipertahankan daripada didoktrin dan dinodai oleh golongan yang tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri sendiri, dan untuk melagakan umat Islam tentang sesuatu perkara yang pernah berlaku dalam dunia Islam dari persepsi negatif tanpa membuat sebarang kajian sejarah dan asal pada sesuatu kejadian tersebut.

Mereka begitu senang untuk melihat kecelaruan tercetus dalam kekuatan peganggan umat Islam, dan mengganggap ianya suatu kejayaan terbesar selepas mereka melihat kegagalan demi kegagalan yang berlaku di puak mereka. Banyak hal kita lihat sekarang, fitnah demi fitnah dilontarkan oleh golongan anti-Islam ini kepada orang Islam seperti mengadakan cerita untuk memburukan Islam... artikel-artikel dalam laman blog dan seumpama dengannya yang mana menyerang keperibadian umat Islam terutama Dzat-dzat agung, melukiskan karikatur dzat suci dan sebagainya. Maka di sini, tahap kesedaran umat Islam diuji. Apakah kita perlu berdiam diri? Bak kata pepatah Melayu; hanya berpeluk tubuh dan melihat angkara tangan-tangan Iblis ini berleluasa.

GEERT WILDERS: FITNA

FITNA, merupakan sebuah filem yang digarap oleh seorang anggota parlimen Belanda, Geert Wilders, menarik perhatian masyarakat dunia khususnya kondisi dan sensitiviti umat Islam. Pelbagai kecaman muncul bukan hanya dari masyarakat Islam yang merasa terhina oleh gambaran Islam dalam paparan filem tersebut, kecaman juga muncul dari masyarakat bukan Islam Eropah dan Amerika. Filem ini dinilai sebagai bentuk provokasi dan penyebaran rasa kebencian. Meskipun pemerintah Belanda menyampaikan permohonan maaf secara bersemuka kepada umat Islam yang merasa tersinggung dengan kejelekan filem tersebut, tetapi mereka masih beku untuk tidak menggunakan kekuasaan menghentikan peredaran serta penyiaran filem tersebut dengan landasan Konstitusi.

Filem yang ditayangkan selama tujuh belas minit itu berisi pidato seorang ulama’ yang diputarbelitkan dengan pelbagai gambar kekerasan yang dilakukan oleh orang-orang Islam di pelbagai penjuru dunia. Dengan visualisasi seperti itu, Wilders hendak mengungkap wajah Islam yang penuh dengan kekerasan, Islam adalah agama kekerasan. Bukan hanya fakta kekerasan atas nama agama yang terjadi belakangan ini yang dipotret oleh Wilders, tetapi juga fakta teologi yang ada dalam kitab suci umat Islam sendiri. Inilah bentuk deskriminasi alaf baru.

Islam bagi Wilders adalah sesuatu yang berbahaya... oleh kerananya harus ditolak dalam peradaban moden Eropah bahkan seluruh dunia. Lebih jauh Wilders mengatakan bahwa al-Quran tidak lebih dari kitab intoleran dan pengasah kekerasan. Wilders bahkan mempersilakan warga Muslim Belanda meninggalkan negara itu secara terhormat.. ini sudah melampau. Jika masyarakat Muslim Belanda tetap ingin tinggal di Belanda, seru Wilders, mereka harus merobek separuh isi al-Quran.

Sudah bisa diduga, gelombang protes muncul dari pelbagai belahan dan pelusuk dunia. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad bahkan menyeru pemboikotan produk-produk negara Belanda. Gelombang protes ini diprediksi dan akan semakin membesar seperti yang pernah terjadi pada mereka yang mencetuskan lakaran sejumlah karikatur Nabi Muhammad s.a.w, boleh dikatakan pada seluruh media Denmark diserang habis-habisan.

Tokoh-tokoh Islam dari pelbagai negara mengecam dengan mengatakan bahawa apa yang dikemukakan Wilders dalam filem dan di sejumlah kenyataannya tidak hanya bersifat rasis, melainkan juga tidak dramatis. Sikap ini dikemukakan oleh Syekh Hamza Yusuf Hansona (sarjan Muslim Amerika), Din Syamsuddin (Ketua Umum PP Muhammadiyah), dan Pangeran Hassan bin Talal (Presiden Arab Thought Forum dari Jordan).

Sarjana-sarjana Barat mutakhir bahkan melangkah lebih jauh dengan mencuba menjengguk dunia Islam mengikut perspektif yang tidak lagi biasa. Jika sebelumnya masyarakat Islam difahami secara negatif sebagai masyarakat Barbarian yang tidak beradab, yang popular dengan penolakan terhadap rasionalitasme dan prinsip demokrasisme, maka di sana kesedaran mula menampakkan kecerahannya, bahawa isu-isu negatif yang diputarkan adalah doktrin semata-mata untuk mengetepikan kebiadaban pada diri sendiri.

Spiritualisme yang berkembang pesat di dunia Islam sepasca Revolusi Islam Iran, bagi sarjana-sarjana baru ini, tidak dipandang sebagai sesuatu yang berbahaya bagi demokrasi dan kebebasan berekspresi. Justeru itu, fenomena ini adalah salah satu bentuk perlawanan terhadap para penjahat licik yang mensasarkan keburukan Islam di kaca mata dunia.

DILEMA PALESTIN

Gambaran tentang dunia Islam sudah terlalu jauh dari konsep keamanan dan keselamatan yang di taja oleh pihak Barat terutama media massa. Gambaran paling besar dari kaca mata penglihatan umat Islam hari ini ialah penjajahan dan pergolakan bumi Palestin yang tiada kesudahan episod, dan seluruh dunia yang mencengkam dunia Islam sejagat.

Menyorot kembali kelantangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad mengutarakan pandangan bahawa Yahudi sebagai Proksi Dunia di Sidang Kemuncak OIC di Putrajaya, menggemparkan dan mendapat sambutan hangat seperti ‘pisang goreng’. Pelbagai pihak telah memberi tindak balas yang baik.

Yahudi sebagai proksi dunia bukanlah suatu yang dianggap kasar berbanding perkosaan yang telah mereka bantalkan ke atas setiap penduduk Palestin, kononnya untuk menghapus golongan radikal seperti pejuang Hamas. Namun terang lagi bersuluh, kita dapat lihat siapa yang lebih radikal sekarang, Hamas atau Israel? Ini bukan sesuatu yang baru dalam perkembangan isu-isu panas dunia yang melibatkan nyawa orang awam.

Menyusur sejarah Yahudi yang terkenal dengan kecerdikan, kepandaian, kelicikan, kejahatan,dan sebagainya yang mana sudah sebati dan sinonim dengan bangsa Yahudi. Bangsa yang mempunyai populasi paling kecil berbanding bangsa-bangsa lain di dunia. Realitinya mereka telah menguasai ekonomi dan politik antarabangsa.

Angkara bangsa Yahudi inilah, bumi al-Quds telah rosak teruk dan dibinasakan. Rakyat Palestin hanya mampu membaling batu tetapi serangan tersebut telah dihakis oleh kereta kebal dan senjata-senjata canggih Israel. Begitu juga yang berlaku di bumi Iraq dan Afghanistan, merasai penangan Yahudi yang berselindung di sebalik bendera Amerika dan Britain. Di era pemerintahan Saddam Hussain yang dikatakan layanan tidak mesra yang diterima tidaklah sekejam yang diterima penduduk mereka tujuh tahun dahulu.

Bumi para anbiya’ dan wali Allah Taala kini melalui era kemusnahan yang amat dahsyat dan teruk. Rakyatnya dihujani peluru yang menembusi seluruh badan, manakala mortar, dan senjata canggih lain memayungi ruang udara, rumah dirobohkan, wanita-wanita muda dan kanak-kanak pula maruah mereka dicerobohi dan dinodai dengan cara paling kejam, manakala banduan pula diberi layanan kelas kebinatangan. Mereka didera dan dibogelkan, diseksa dengan pelbagai bentuk seksaan yang pasti memeritkan fizikal dan mental mereka. Tangisan dan jeritan suara rakyat Iraq dan Palestin sering didengari, namun kebanyakan dari pemimpin negara-negara Islam atau mereka yang mempunyai hati perut lebih suka memengkak-tulikan telinga.

Kenapa ini semua terjadi?

Deretan peristiwa sedih, ngeri, dan menyayat hati menyelubungi dan membelenggu jiwa raga umat islam dan dunia amnya. Kisah sedih yang penuh emosi ini sepatutnya memberi ruang kepada umat Islam mencari kelemahan dan membina semula kekuatan umat Islam. Segenap jiwa umat Islam telah dihantui dengan tangisan dan darah perjuangan yang bangun bertindak mempertahankan diri. Tetapi yang utama, mereka memperjuangkan nasib bangsa demi mengembalikan kedaulatan negara yang telah dijajah. Kisah Palestin bukanlah cerita berepisod sensasi untuk ditonton dan didengari, namun saban hari, kita tidak sunyi mendengar kisah dan peristiwa yang mencengkam jiwa, emosi malah fizikal umat Islam. Rata-rata kita memandang hina di atas kezaliman dan kekejaman Amerika dan sekutu rapatnya di Tebing Barat.

Dunia telah menyaksikan betapa murah nyawa umat Islam, mudah dibunuh bagaikan menyembelih binatang dan digayang secukupnya. Tidak perlu menyatakan fakta berapa ramai yang telah menjadi mangsa korban Israel laknatullah!!! Ada jua di kalangan mereka yang sanggup menjadikan batang tubuh sebagai galang ganti dengan meletakkan deretan bom sebagai pejuang berani mati. Bumi limpahan minyak seperti Iraq hakikat telah dibanjiri dengan ribuan darah rakyatnya. Tidak mustahil kronologi pertumpahan darah dan drama bersiri ini berterusan hingga tiada penghujung, dan mungkin sehinggalah Nabi Isa turun dari langit memusnahkan fitnah dajjal bertopeng manusia ini.

Rasa menyampah terhadap Amerika dan Israel telah membuak-buak dan semakin menjadi, sudah pasti darah amarah pasti menyirap dalam tubuh setiap manusia yang menghadapi situasi ini. Itulah yang sering dan kerap kali didengari oleh pejuang berani mati. Mereka bertindak meletupkan diri dengan tujuan ingin membunuh seramai mungkin golongan manusia yang bergelar penceroboh, dan inilah cara balas dendam yang digeruni oleh askar-askar Yahudi. Mereka telah bertekad dan nekad melakukan segalanya yang terdaya dan termampu, tidak cukup dengan menggunakan biji batu, bom pula dililitkan keseluruh badan.

Intifadha ini, lebih berkesan dalam mengecut-perutkan dajjal alaf baru ini. Pada mereka tiada jalan penyelesaian lain selain perang! Letupkan diri. Mungkin inilah kata-kata yang mungkin asing bagi kita rakyat Malaysia. Namun tidak hairanlah budak-budak hingusan, sudah pandai memegang batu dan lastik untuk memancung kepala setiap penceroboh yang rakus menggondol tanah mereka, terutama tapak kesucian umat Islam, Masjid al-Aqsa. Malah ada pula sudah pandai mengendali M-16, pelancar roket dan senjata canggih lain. Bagi kanak-kanak dan remaja di sana, bunyi dentuman bom, meriam sudah menjadi runtin kehidupan mereka. Jumlah kematian rakyat Palestin sehingga kini mencecah ratusan ribu orang saban hari semenjak tertubuhnya Negara Israel secara haram, menafikan hak pribumi rakyat Palestin.

BANGKIT

Dalam hal ini, umat Islam perlu bersatu padu dalam mewujudkan perpaduan antara umat Islam itu sendiri, agar menjadi kuat dan mapan demi membangunkan tamadun umat Islam. Di saat dunia hari ini masih mencari formula bagaimana untuk membentuk perpaduan ummah, maka modul dan silibus yang disediakan oleh baginda s.a.w harus menjadi rujukan. Baginda meletakkan asas kekuatan akidah, menyusun struktur dan haraki masyarakat dengan mengeratkan hubungan silaturrahim, mendidik masyarakat dengan keindahan akhlak dan budi pekerti. Baginda dan juga para sahabat telah mewujudkan keharmonian dan keakraban hubungan pertalian sesama Islam dan sesama bukan Islam, dengan jalinan sosial yang terbaik seperti yang pernah berlaku kepada golongan Kaum Muhajirin dan Kaum Ansar.

Pada masa sama Islam mengajar umat Islam menguasai bidang-bidang profisional yang lain seperti dalam bidang ekonomi secara menyeluruh, memperkasakan sisitem politik, dan memperkemaskan jentera pentadbiran dan pengurusan sesuatu organisasi atau pertubuhan,bahkan Negara.

Ciri-ciri masyarakat madani yang telah dicetuskan baginda tersebut merupakan revolusi besar-besaran dalam kecamukan jahiliyah... membentuk satu paradigma baru dalam membentuk masyarakat kuat. Dengan itu mereka berjaya mengakis segala bentuk cabaran dalam melayari kehidupan yang mencabar ini.

Di tengah situasi seperti ini, keinginan untuk meraih kemandirian Islam dalam bidang intelektual, sosial, politik, dan ekonomi melahirkan gelombang pembaruan dalam dunia Islam diperlukan. Tetapi, kemandirian tidak mesti disalah-ertikan sebagai suatu sikap tertutup untuk tidak menerima keunggulan peradaban lain. Di sini, pembaruan Islam adalah hasil interaksi prakmatik yang tiada pernah berhenti dan terhenti antara doktrin-doktrin untuk menjatuhkan Islam dengan gejala-gejala kontemporeri di sekeliling.

Dengan demikian, pembaharuan sendiri bukan bererti satu sikap yang berhenti. Dengan berjalannya waktu dan semakin kompleksnya perkembangan ilmu-ilmu kemanusiaan beserta gejala-gejala yang mendokongnya, pembaharuan sendiri sememangnya perlu terus diteruskan dan dipratikkan dalam dunia moden sekarang, sejajar dengan kehendak Islam.

courtesy of: Puteraazhari.blogspot.com
picture: iluvislam.com

0 comments:

Post a Comment