Credit to Adik: Azreepurplealwaysbethere
Ini adalah kisah saya
Kisah saya dan perjuangan dakwah
Kisah ini biasa biasa sahaja, tetapi saya suka berkongsi sesuatu yang saya yakini bisa membawa hati hati mengingati ALLAH
Al kisahnya,
Seawal pembabitan saya (mulanya saya memahami dakwah), saya selalu berazam untuk menjadi pendakwah yang hebat. Pada ketika itu, mengikut pemerhatian saya, pendakwah wanita yang hebat perlunya berpurdah, berbaju gelap, seorang hafizah, seorang ustazah, sangat lemah lembut dan tidak pernah membuat kesalahan.
Sungguh pada ketika itu, saya berusaha bersungguh sungguh untuk menjadi seperti itu. Saya berazam untuk memakai purdah, menjadi lemah lembut, menjadi seorang ustazah, pokok pangkalnya saya ingin menjadi sempurna. Matlamat saya tiada lain iaitu saya ingin menjadi pendakwah yang hebat. Saya yakin, itulah kriteria yang diperlukan untuk menjadi pendakwah yang hebat.
Selain itu, saya juga dilanda sindrom 'Mak turut' ketika mula mula menyertai gerakan dakwah. Pantang ada akhwat yang saya lihat hebat dan berwibawa, maka saya pun berangan angan untuk menjadi seperti mereka. Saya akan mengubah minda saya dan mengikuti cara mereka. Ketika itu diri ini umpama lalang, terlalu mudah untuk diterbangkan ke sana kemari.
Akhir sekali, saya yang menjadi terlalu penat. Penat untuk menjadi orang lain. Pada masa yang sama juga, saya berasa kecewa kerana saya tidak dapat menjadi seperti mereka. Saya selalu sahaja menitiskan airmata mengenangkan kelemahan saya. Saya menginsafi diri ketika itu kerana saya langsung tidak berasa enaknya diulit jalan perjuangan. Saya beruzlah seketika, mencari jawapan terhadap kekeliruan yang saya hadapi.
Kini,
saya semakin mengerti. Apa itu dakwah sebenarnya. Dakwah tidak pernah meminta kita untuk menjadi orang lain, sebaliknya untuk memperbaiki diri dan memperbaiki yang lain. Tidak perlu terburu buru untuk menjadi mereka yang 'hebat' kerana hakikat kehebatan sebenar hanya ALLAH yang Mengetahui. Malah, skop dakwah sepatutnya lebih diperluaskan. Dakwah bukan hanya terletak pada kuliah agama tetapi sejauh mana kita berjaya membawa hati hati mengingati ALLAH. Namun kejayaan ini bukan mudah diperoleh. Segalanya dengan bantuan dan rahmat ALLAH untuk melembutkan hati mad'u (insan yang diseru).
Saya cukup mengkagumi pendakwah wanita yang cukup pakej seperti punya pengetahuan agama yang baik, latar belakang keluarga yang bagus dan sebagainya, tetapi ALLAH menciptakan manusia dengan pelbagai jenis. Cukup jelas disebutkan dalam firman ALLAH;
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-Hujurat: 13)
Maka buat muslimah yang biasa biasa sahaja, yang bukan ustazah, yang bukan anak seorang alim ulama, atau bukan seorang yang lemah lembut, anda juga boleh berdakwah. Bagi saya, kunci utama dakwah adalah diri kita sendiri yang sentiasa merindukan pembaikan ke jalan ALLAH. Jika kita berjaya didik diri untuk kenal dan rindu pada ALLAH, maka dengan rela hati, kita akan membawa hati hati yang lain untuk kenal ALLAH. Bukankah ALLAH mencintai mereka yang membawa insan lain mencintaiNYA?
Mengulas sedikit kata kata Ustaz Hasrizal dalam blog beliau, dia berkata:
Sesungguhnya di dalam sejarah, semasa dan masa depan kita, umat telah memiliki Khadijah, Aisyah, Fatimah dan Asma’ yang telah berdiri untuk zaman mereka. Apa yang kita mahukan adalah GADIS SEMASA yang memiliki kualiti-kualiti Khadijah, Aisyah, Fatimah dan Asma’ untuk berdiri dalam bahasa kita, mendepani cabaran kita dan menjadi srikandi untuk zaman kita. Kualiti mereka itu yang hendak dipetik dan dipeluk sebagai karakter bawaan semasa
Saya berazam untuk menjadi seperti Fatimah, bidadari kesayangan Rasulullah yang sangat taat dan patuh, tetapi saya sedar, Fatimah itu hanya akan hidup di zaman Rasulullah SAW, maka yang perlu saya lakukan adalah untuk berusaha mewarisi kualiti yang ada dalam dirinya. Saya tidak perlu untuk menjadi orang lain dalam berdakwah tetapi sebaliknya saya hanya perlu terus memperbaiki diri dan berusaha memperbaiki yang lain. Bukankah dalam dakwah itu, pengislahan diri perlu selari dengan pembaikan ummah??
Be Creative in Dakwah!
Anda ingin berdakwah? Saya juga ingin berdakwah. Anda masih tercari cari cara untuk memulakan langkah dakwah? Maka, pertama sekali perbaikilah diri anda. Kenalkan diri anda dengan ISLAM, rapatkan diri anda dengan ilmu ALLAH, dan bergaullah dengan mereka yang soleh dan solehah. Prof Dr. Yusof Al Qaradhawi menyatakan dalam bukunya, Pemuda Islam Yang Dijanjikan;
Sesungguhnya umat di zaman ini hidup tanpa roh. Ataupun ianya dipaksa hidup tanpa rohnya! Apakah roh umat ini dan siapakah pula yang mahukan umat ini hidup tanpa rohnya?Roh umat ini adalah ISLAM. ISLAMlah yang telah menghidupkan umat ini daripada kematian. ISLAMlah yang telah mengumpulkannya daripada perpecahan, memberinya petunjuk dan mengeluarkannya daripada kesesatan serta memecahkan belenggu kejahilan.Sesiapapun yang mahukan umat ini hidup tanpa rohnya? Mereka adalah golongan yang dengki kepadanya, takut kepada kebangkitan ISLAM serta tamak kepada kekayaan dunia.
Dikala kita tengah bersenang lenang, musuh musuh umat ISLAM sibuk merancang strategi untuk menjatuhkan kita. Jadi, apalagi alasan kita untuk tidak berdakwah? Berdakwahlah selari dengan potensi yang ada dalam dirimu. Jika anda seorang doktor, berdakwahlah kepada pesakit anda, jika anda seorang ibu, berdakwahlah kepada keluarga anda, hatta jika anda seorang pengawal keselamatan, tunjukkanlah izzah anda untuk mengawal semata mata kerana ALLAH. Kita semua boleh berdakwah.
Bagaimana dengan saya? Saya bukanlah seorang penulis yang hebat. Tulisan saya biasa biasa sahaja. Tetapi, saya begitu bersyukur atas sokongan yang diberikan kepada blog ini dan juga kepada cerita cerita pendek yang saya tulis. Tiada lain yang saya harapkan, setiap nukilan di sini, bisa membawa satu hati untuk mengenal ALLAH. Ketika saya menulis Sayonara Jahiliyyah, saya ingin memberitahu kepada semua, sejahiliyyah mana pun kita, kita pasti bisa dirawat dengan dakwah dan tarbiyah, manakala ketika saya menulis Cinta tidak semestinya bersatu, saya ingin mendidik diri saya bahawa cinta kepada ALLAH yang paling utama dan yang paling istimewa ketika saya menulis; Aku tidak sesempurna bidadari, ingin saya mengingatkan barisan para daie yang sedang mabuk untuk berbaitul muslim bahawa, baitul muslim para duat tidak diselami dengan kisah cinta yang indah ibarat Kuch Kuch Ho Ta Hai tetapi sebaliknya perlukan kesabaran dan keazaman yang kuat kerana kita membina Baitul muslim untuk menambah sinergi dalam perjuangan dakwah kita. Saya suka berkongsi dan InsyaALLAH berdakwah melalui blog saya, anda pula bagaimana?
Akhir sekali, jangan sia siakan masa yang ada. Mulakan langkah, jangan malas. Umat ini memerlukan generasi yang ada kesedaran ISLAM. ISLAM tidak akan maju jika umatnya malas. Kenali potensi diri dan asah potensi tersebut dengan berdakwah. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!. Di sini ingin saya kongsikan, hasil kreatif seorang adik yang saya pinjam gambarnya, dia berkata, kita adalah penggerak ummah. Sudah tentu, kita penggerak ummah, jika kita tidak bermalas malasan. Be Creative in dakwah! ^_^
0 comments:
Post a Comment