Pages

Thursday, March 15, 2012

Andai waktunya sudah tiba....


Berusaha! Tidak pernah sekali pun akan mengalah!

Matanya berpaling kepada monitor, angka masih bernilai kosong. Dia bersumpah akan berusaha sehingga ke hembusan nafasnya yang terakhir.

"Sesungguhnya ALLAH penentu segalanya, tetapi bukankah Allah menuruh hamba hambaNYA berusaha,?"

HasbunALLAH wa ni'mal wakil, cukuplah ALLAH sebagai PELINDUNG kami dan DIA adalah sebaik baik pelindung!

Usaha masih diteruskan. Dia mengerling ke arah sahabat sahabatnya lain. Si manis Olive masih berusaha dengan tiubnya. Rasa rasanya sudah berulang kali dia memasukkan tiub itu masih belum berjaya. Dia mengenali Olive sebagai seorang yang tidak pernah putus asa. Sesungguhnya hati ini sudah ada rasa cinta pada Olive, terlalu banyak potensi pada diri Olive. Namun sayang seribu kali sayang, Olive tidak dapat berpegang bahawa Tuhan itu tidak beranak dan tidak diperanakkan. Alangkah bagusnya jika satu hari, hati gadis itu disentuh oleh sinaran hidayah, pasti akan mendatangkan manfaatnya.

Ferlida, gadis berbangsa cina pula sedang berusaha menghitung ubat ubatan. Sepanjang pengamatannya, Ferlida jarang melakukan kesilapan. Dia juga sering berguru pada Ferlida. Gadis ini juga punya potensi yang amat besar, tetapi sayang, dia masih utuh dengan kepercayaan nenek moyangnya. Baginya, agama hanyalah sebahagian daripada rutin hidup. Tidak ada ruh dan penghayatan. Segala galanya bergantung kepada amalan spiritual seperti di kuil atau menyembah nenek moyang.

Sayup sayup dia mendengar esak tangis dari luar kamar. Tangisan sebegitu betul betul menyusup ke hatinya. Setiap kali dia menghadapi situasi sebegini, dia pasti tidak akan dapat tidur lena. Dia tahu dia hanyalah seorang hamba, ALLAH pemilik segalanya, tetapi naluri hati ini sering kali menangis setiap kali mereka menemui kegagalan. Ya ALLAH! Berilah kami pertolongan.


Usaha demi usaha diteruskan

Dia tidak pernah jemu menekan jari jemarinya. Sakit belakangnya menyerang lagi tika itu. Azabnya hanya ALLAH yang Mengetahui. Tetapi demi harga sebuah kemanusiaan, dia tidak akan mengalah. Bukankah ALLAH mecintai mereka yang paling bermanfaat sebagai manusia?

Mengimbas kembali monitor, kandungan oksigen meningkat sedikit. Bacaan menunjukkan di antara 45% hingga 55%. Dia tahu, itu bukan pernafasan sebenar pesakitnya. Bantuan oksigen sudah diberikan kepada tahap yang paling maksimum.

Dalam waktu waktu begini, beberapa kali dia mengucap zikir kepada ALLAH, dia membacakan beberapa potong ayat ayat ALLAH yang diingatinya. Dia tahu bahawa dia tidak perlu cemas. Kerana senjata utama seorang mukmin adalah penggantungan kepada ALLAH.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hari pertama bekerja amat menyeronokkan tetapi mendebarkan. Apatahlagi itu adalah kerjaya yang sering diimpikannya. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia memilih kerjaya tersebut. Padanya, kerjaya itulah paling mudah masuk syurga kerana selalu dapat memberi pertolongan kepada orang lain.

"Assalamualaikum, nama saya Staff Nurse Wafa irdina, saya bertugas pada hari pertama di sini"

"Waalaikumsalam, selamat datang ke unit rawatan rapi kanak kanak Staff Nurse Wafa. Bagaimana perasaan anda apabila ditempatkan di unit ini?" Ramah jawapan dari Sister Saniah ketika dia melapor diri.

"Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH, apatahlagi saya sangat menyukai kanak kanak" Dia menjawab sambil tersenyum

"Staff Nurse Wafa, bekerja di unit rawatan rapi memerlukan kamu menjadi seorang wanita berhati batu"

"Wanita berhati batu. saya kurang mengerti maksud Sister"

"Pengalaman akan mengajar kamu" Sister Saniah menjawab ringkas.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Rasanya sudah beberapa kali dia dimarahi oleh doktor pakar kerana dia sedikit lambat melakukan kerjanya. Dia hanya redha menerima setiap teguran kerana dia meyakini teguran daripada manusia adalah pengantaran teguran ALLAH buat dirinya yang lemah.

Sudah beberapa bulan dia bekerja di situ. Dan buat beberapa kali juga dia mengalirkan air mata. Sungguh dia tidak sanggup mendepani kesengsaraan seorang kanak kanak menanggung azab azab kesakitan. Setiap kali dia mencucuk dan memasukkan tiub kepada kanak kanak, setiap kali itu juga dia berasa bersalah. Setiap kali dia melihat seorang kanak kanak menghembuskan nafasnya yang terakhir, setiap kali itu jugalah dia ditemani dengan sedu sedan. Dia bukanlah wanita berhati batu. Dia juga punya perasaan dan dia sangat sensitif. Tidak mungkin dia dapat tersenyum setelah kegagalannya untuk merawat seorang kanak kanak comel anugerah ALLAH.

Dia tahu dia bukan Tuhan,. Nyawa manusia bukan miliknya. Memilih kerjaya sebagai jururawat memerlukan dia membiasakan diri dengan kehilangan. Cuma, dia tak sanggup untuk kehilangan anak anak yang menjadi pewaris masa hadapan. Mereka pasti punya potensi besar untuk membuat pembaikan ummah. Dia juga tidak sanggup mendengar tangisan ibubapa, adik beradik dan sanak saudara si kecil yang menderita sakit itu. Setiap kali itu jugalah dia pasti menangis teresak esak. Ya ALLAH, beratnya dugaan emosi ini.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Denyutan nadi masih menunjukkan angka kosong. Sesi resusitasi sudah dilakukan hampir setengah jam. Dia terus menerus tanpa putus asa melakukan 'tekanan dada' kepada si cilik itu.

"Saya rasa kita perlu berhenti setakat ini sahaja" Sayup sayup suara pakar bius didengarinya.

"Doktor Zahra, adakah kita akan berputus asa?", dia meyakini masih ada sinar harapan buat si kecil berusia dua tahun yang menghidap masalah jantung itu.

"Wafa, saya tahu kamu rapat dengan Fatin, malah kamu merawat Fatin semenjak hari pertama dia dimasukkan ke unit rawatan rapi ini, tetapi qada dan qadar adalah milik ALLAH, kamu harus menerimanya",

"Tetapi cuba doktor perhatikan, kandungan oksigen Fatin semakin meningkat, mungkinkah masih ada harapan untuk Fatin kembali bernafas?"

"Wafa, sebagai seorang jururawat di unit rawatan rapi, kamu perlu bertindak mengikut apa yang kamu pelajari, bukannya mengikut emosi. Kamu harus sedar etika sebagai seorang jururawat!" Suara Doktor Zahra semakin lantang.

"Saya tidak bertindak mengikut teori atau emosi saya tetapi saya bertindak mengikut penggantungan saya pada ALLAH, saya yakin, kita harus meneruskan kerana saya yakin, ALLAH masih memberikan harapan kepada Fatin!". Suara Wafa juga semakin meninggi.

Keadaan tegang seketika sehinggalah monitor berbunyi memberikan isyarat.

"Doktor, Wafa! Jantung Fatin kembali berdegup! Monitor dapat mengesan degupan jantungnya!. Olive menjerit keriangan.

"Teruskan usaha menyelamat, berikan dia bantuan pernafasan melalui bag ambu, jika perlu, kita akan intubasi dia", Doktor Zahra memberikan arahan.


Proses resusitasi kembali diteruskan. Doktor dan jururawat bertungkus lumus untuk menyelamatkan Fatin.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Assalamualaikum Kak Wafa, Fatin datang nak follow up hari ini," Fatin tersenyum menyapa Staff Nurse Wafa

"Wa'alaikumsalam Fatin, alhamdulillah, semoga sihat sihat selalu ya nak'". Staff Nurse Wafa tersenyum manis.

Kini, Fatin sudah berusia 5 tahun. Peristiwa tersebut masih segar di ingatan Wafa. Sinar harapan harus ada biarpun pada saat saat harapan itu hampir tiada kerana pertolongan ALLAH pasti akan tiba. Bukankah Hasan Al Banna seringkali berpesan bahawa kenyataan hari ini adalah mimpi kelmarin, dan impian hari ini akan menjadi kenyataan pada hari esok. Yakinlah dan kuatkan penggantungan kepada ALLAH. Andai waktunya sudah tiba, ALLAH pasti akan permudahkan segalanya.

0 comments:

Post a Comment