Bismillahirahmanirahim.
Baru berkesempatan menulis pada bidadari ini. Sesungguhnya, hati sangat rindu untuk berkongsi dan mencoret sesuatu. Tetapi kekangan kekangan yang melanda, menyebabkan terlambat sedikit untuk berkongsi cerita tentang perjalanan hidup yang kian mencabar.
Bermula dengan kisah tanda cinta ALLAH SWT, dua minggu yang lalu diserang keracunan makanan. Semua makanan yang masuk habis dimuntahkan, demam panas melanda setiap kali maghrib dan juga diserang cirit birit. ALLAH sahaja mengetahui keadaan diri masa itu. Berasa sedikit kerugian kerana tidak dapat menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat kerana tiba tiba jatuh sakit. Rasa cemburu menular ke dalam diri kerana tidak dapat menghadirkan diri untuk menambah ilmu demi seruan jihad menegakkan ISLAM di Sabah bumi kelahiranku.
Apabila sudah jatuh sakit, mama dan baba sudah memberi amaran. Untuk seketika ini, kurangkan keluar berprogram. Mereka tidak mahu anak mereka sakit sekali lagi. Rasa bersalah sangat kerana menyusahkan mama dan baba. Selain itu, rasa bersalah juga menular diri kerana tidak dapat berprogram. Syukur yang amat sangat KERANA staff nurse Fronia yang memahami situasi ketika itu, sanggup mengganti jadual kerjaku. Semoga dirimu mendapat hidayah dari ALLAH SWT kerana kelembutan hatimu itu. Mama dan baba kata, jika benar selama ini, benda yang diri ini ikuti, usrah dan program, adalah sesuatu yang benar, sudah pasti buat tika ini, daku akan mendengar cakap kedua ibubapa. Maka, dengan berat hati, bertekad untuk mengurangkan sedikit keluar rumah. Lebih banyak berehat dan temankan mama dan baba.
Alhamdulillah, dapat berusrah sekejap bersama cermin ajaibku, ukhti Norashikin. Syukur, terubat rasa rindu dengan sentuhan tarbiyah hati. Cermin ajaibku mengingatkan tentang hak hak terhadap keluarga, pekerjaan dan jemaah. Syurga untuk seorang wanita yang belum berkahwin adalah pada kedua ibubapanya. InsyaALLAH, jika berusaha mentaati, pasti dipermudahkan dua tiga tahun kemudian. Ukhti Norashikin juga menasihati agar menjaga kesihatan diri kerana seorang daie perlu memerhatikan tarbiyyah jasadiyyah. Terkejut dirinya tatkala diberitahu selalu pergi program lepas kerja malam. Tetapi, mujahadah itu perlu bukan apabila kita berkehendakkan sesuatu. Dan sudah tentu kehendak kita itu adalah redha ALLAH SWT. Bertanya pada cermin ajaibku, adakah diriku ini dikira futur, tetapi cermin ajaibku itu mengingatkan bahawa futur terletaknya pada hati. Malah dia juga mengingatkan segala ajaran yang diperturunkan oleh naqibah dan murabbi kami. Ya ALLAH, kasihMU sentiasa berpanjangan, biarpun dikejauhan tetapi masih merasa perlindungan tarbiyah yang berkekalan. Itulah seorang murabbi dan murabbiyah sejati, biarpun tidak kelihatan dek mata tetapi menembus ke dalam jiwa. Tenaga yang mula lemah kembali direfresh dan mengatur strategi yang lebih baik.
Tanda cinta ALLAH SWT sekali lagi menjengah, tatkala baru pulih sedikit dari keracunan makanan, sudah kembali bertugas di wad. Kali ini bukan calang calang tugasannya kerana terpaksa menjadi 'INCHARGE' untuk satu jangka masa yang panjang apabila senior mengambil cuti. Ya ALLAH, tatkala diri terpaksa merangkak untuk pergi bekerja, dihidangkan pula dengan peranan yang berat dan pesakit yang ramai. Sehari suntuk berlari di wad sehingga tiada masa untuk makan dan minum, mujur ada waktu untuk solat. Mengadu pada mama dan baba atas ketidaklaratan untuk bekerja, tetapi hanya disuruh bersabar. Ragam bekerja sememangnya begitu. Selepas itu mendapat panggilan telefon dari Hospital, minggu ini akan diadakan penilaian untuk diriku. Ya ALLAH, tatkala kesihatan belum stabil, kesibukan yang melanda, biarpun mama dan baba suruh kurangkan keluar tetapi masih mengambil peluang untuk seketika bersama muslimat. Slide show untuk penilaian belum disiapkan kerana kesibukan yang melanda. Namun alhamdulillah, masih follow up dengan sahabat sahabat tentang perkembangan gerak kerja. Maafkan diri ini yang terpaksa menjadi cinderella sekali lagi buat seketika. Semoga kalian beroleh syurga.
Dalam proses persiapan untuk program Wanita bersama muslimat dan Nisa Sepanggar, sekali lagi tahap kesihatan diri diuji. Demam panas menyerang sekali lagi disertakan bersama batuk dan selesma. ALLAH sahaja mengetahui betapa berat kepala untuk diangkat. Namun hati ini sedikit terhibur, kerana pertambahan mujahid kecil di rumah kami. InsyaALLAH, anak anak asuhan mama dan baba semakin bertambah. Riuh sungguh rumah dibuatnya. Sekurang kurang nya mengurangkan kesunyian mama dan baba. Tetapi yang menghairankan, semua budak yang yang dihantar adalah lelaki kecuali seorang kanak kanak perempuan comel .
Selain itu, berita gembira, bertemu dengan Dr Z untuk klinik yang seterusnya. Dia berpuas hati dengan perkembangan diriku. Ya ALLAH, saat untuk bebas dari sebarang rawatan semakin hampir :D. Temujanji sudah dikurangkan selama 4 bulan. Sahabat baikku berpesan, jangan pula diri ini merindui Doktor tersebut. Tidak dinafikan, doktor tersebut banyak berjasa kerana sudi menerimaku yang berhijrah dari bumi kenyalang sebagai pesakit beliau. Semoga dia juga mendapat hidayah dan taufiq atas kebaikannya.
Ya ALLAH, betapa hati ini merindui saat ditarbiyah dan diajar mengenaliMU. SubhanALLAH, rupa rupanya ALLAH punya cara sendiri untuk mendekatkan diri ini padaNYA. Segala ujian jangan dikatakan sebagai halangan tetapi jadikanlah sebagai CABARAN untuk bergelar seorang pejuang. Tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Mujahidah sangat sakit kerana kita perlu mengorbankan apa yang kita suka tetapi insyaALLAH, akhirannya pasti sangat indah tatkala dirimu bernyanyi riang di syurgaNYA kelak. Sesungguhnya tujuan kita hanya satu untuk mengejar redha ALLAH.
Baru baru ini berusaha mencari kerja baru, tetapi masih belum berjumpa yang bersesuaian. Rasanya diriku masih diperlukan khidmat di situ, cuma yang dikhuatiri, tanggungjawab yang semakin besar tatkala sudah bergelar kapten dan incharge. Apatahlagi mungkin diri ini akan menjadi calon calon untuk post basic. Diriku tidak mahu kerana tekanan kerja yang melampau sehingga mengganggu perjuanganku. Jikalau hendak berpindah tempat lain pun, tak sampai hati untuk meninggalkan mama dan baba kerana mereka adalah syurgaku dunia dan akhirat.
Alhamdulillah, diriku ini begitu senang berkongsi bersama bidadari ku ini. Sedar tak sedar, sudah dua tahun usiamu. Terima kasih bidadari kerana sering menjadi medan curahan dan coretan diriku selain penggantungan hanya padaNYA yang satu. Semoga redha ALLAH sentiasa bersamaku dan kalian
SELAMAT ULANG TAHUN LAYAKKAH AKU MENJADI BIDADARI SYURGA =)
0 comments:
Post a Comment