Pages

Wednesday, August 24, 2011

Kitakah yang bergelar pejuang agama?

Terkesima dan tergamam seketika...
mendapat perkhabaran yang cukup mencucuk sanubari...
ya ALLAH, mengapa untuk ramadhan kali ini, ujian bertimpa timpa didatangkan kepada kami?
Namun, segera hati diubati dengan kalam yang indah:


Ketika ALLAH rindu pada hambaNYA, DIA akan mengirimkan hadiah istimewa melalui malaikat jibril yang isinya adalah ujian. Dalam hadits qudsi ALLAH berfirman: "Pergilah kepada hambaKU, lalu timpakanlah berbagai ujian kepadanya kerana AKU ingin mendengar rintihannya. (HR Thabrani dan Abu Umamah)



ya ALLAH, hilangkan rasa kekecewaan dihatiku ini. Biarpun hal yang sedemikian ini menimpa sahabat baikku namun cukup meninggalkan kesan 'FOBIA' dalam diri ini. Rasanya tidak layak diri ini untuk menjadi 'Pengadil' pada pentas lakonan dunia yang penuh tipu daya. Biar Rakib dan Atid sahaja yang mencatatnya dan ALLAH menjadi 'Ketua Juri' di padang masyar nanti.


Hati ini terpaut dengan artikel yang cukup menarik dari ukhti akhwat medic iaitu Maksiat yang tersembunyi. Sebenarnya diri ini sangat mengkagumi mereka yang sudah berada lama dalam jalan tarbiyah. Apatahlagi yang merupakan produk tarbiyah yang sebenar, bukan produk tarbiyah express seperti diriku. Lahir dalam suasana tarbiyah, keluarga yang penuh tarbiyah, bekerja dalam suasana tarbiyah tetapi mengapa masih ada karat karat jahiliyah yang belum tertanggal?


Pada mulanya, sukar untuk mempercayai situasi sedemikian, malah diriku begitu mengidamkan kehidupan indah dalam suasana beragama yang kuyakini ALLAH pasti akan sentiasa meluruskan hati hati manusia. ya ALLAH, aku bukannya wanita sempurna apatahlagi masa silam sentiasa membelenggu diri dan diri ini sentiasa mendahagakan pengajaran dan ilmu yang berpanjangan. Impianku agar dapat menuntut ilmu dengan tenang kerna aku tahu bahawa diri ini masih belum cukup. Alangkah indahnya jika dapat menghadiri kelas kelas agama dan selepas itu ada orang yang bisa mengajarkan Al Quran sehingga aku boleh menghafaznya.


Namun peristiwa yang berlaku cukup menjadikan diri ini fobia. Teringat kata kata mutiara yang sering ku ungkapkan


'Biarlah tidak dikenali penduduk dunia atas kehebatan ilmu, kepandaian, kepimpinan dan kecerdikan. Cukup nama menjadi sebutan penduduk di langit dan ALLAH mengenal kerana iman dan taqwa.'


Terlalu takut untuk menilai manusia pada ketika ini. Kadang kadang corak pemakaian dan perilaku individu itu tidak memcerminkan peribadi yang sebenar. Mungkin ada yang dilihat seperti ustaz dan ustazah, tetapi tidak menjaga ikhtilat. Ada yang lagaknya seperti wanita solehah, bertudung labuh dan berjubah tetapi masih kurang menjaga adab sebagai wanita sehingga begitu mudah untuk mendekati lawan jenisnya. Mungkin ada yang sentiasa berkopiah, kelihatan zuhud orangnya tetapi masih punya perangai suka mengambil hak orang. Nauzubiilah Min Zalik. Ya ALLAH, jauhkanlah kami dari kehipokritan ini. Kami tidak mahu menjadi indah di pandangan manusia tetapi JELEK pada pandanganMU.


Tidak dinafikan, sejauh mana pun seorang manusia berusaha untuk menjadi sempurna tetapi manusia tetap manusia. Rasulullah SAW sahaja yang maksum. Maka, jika kalian berasa sudah tersasar ke sebelah jalan, maka luruskan kembali stereng pengembaraan hidup anda. ALLAH pasti menunjukkan jalan yang lurus. Diriku meyakini, produk asli tarbiyah pasti punya hati yang sentiasa hidup. Apatahlagi cukup berpengalaman dalam perjuangan. Maka, jangan biarkan NAFSU mengatasi segalanya. Kembalilah mencari naungan kasih sayang ALLAH dengan bermujahadah melawan nafsu.


Soalan demi soalan menerjah kotak fikiran....


Kitakah yang bergelar pejuang agama tetapi
kita masih tidak mampu mengekang hawa nafsu terhadap sesuatu yang bukan milik kita?


Kitakah yang bergelar pejuang agama jika
tidak segan silu melalaikan ibadah kepada ALLAH SWT?


Kitakah yang bergelar pejuang agama sekiranya
berjuang semata mata untuk mendapat pangkat dan nama serta perhatian?


Kitakah yang bergelar pejuang agama namun
masih ber'sms' yang tidak berkenaan dengan yang bukan muhrim atas tiket perjuangan malah sengaja memanjangkan?


Kitakah yang bergelar pejuang agama yang
memakai jubah dan tudung labuh untuk menunjukkan kita bertaqwa
memakai kopiah untuk menunjukkan kita soleh
hanya kepada manusia hina?


Kitakah yang bergelar pejuang agama tetapi
masih tidak mampu menjaga ikhtilat sehingga berlebihan dengan tiket sahabat?


Kitakah yang bergelar pejuang agama namun
masih punya waktu untuk membuang masa sedangkan ummah berkondisi kritikal kini?


Kitakah yang bergelar pejuang agama sekiranya
masih bermalas malasan tentang ukhrawi tetapi bermati matian mengejar duniawi?


Kitakah yang bergelar pejuang agama walhal masih memungkiri janji?


Kitakah yang bergelar pejuang agama tetapi susah untuk mencari ikhlas dalam diri?


ya ALLAH, diriku sangat takut andai aku melakukan perkara sedemikian. Lindungilah diriku ya ALLAH, kekalkanlah diriku dalam hidayah dan petunjukMU. Ku ingin sekali sentiasa menjadi pejuang agamaMU. Tetapi janganlah engkau jadikan diriku PEJUANG AGAMA yang SILAP. Berjuang hanya kerana cinta duniawi sedangkan miskin akhirat.


Tiba tiba terlintas di kotak fikiranku, "patutlah kemenangan terasa begitu jauh, rupa rupanya masalah datang dari diri sendiri". Sebak hati teringat perjuangan Rasulullah SAW, baginda punya batalion tentera pejuang yang hebat. Kehebatan tangkas bermain sahaja itu adalah luarannya sahaja tetapi sumber kehebatan sebenar adalah kekuatan iman dan taqwa. Teringat frasa kegemaranku:


Pilihan Salahuddin Al Ayubi bukanlah yang petah berkata kata, tetapi yang istiqomah tahajudnya. Katanya nak jadi srikandi Hasan Al Banna tetapi ambilnya hanya pada semangat, bukan pada amalannya.






~Musabah diri ini~




Diriku, burung merpati yang kerdil ini, sedang berusaha mencari sangkar yang baru. Mungkinkah akan menyeberangi laut Cina selatan ke tanah semenanjung ataupun sayapku akan berterbangan merentasi benuaMU. Dimana pun sayapku ini KAU titipkan, jadikanlah kehendakMU sebagai kehendakku, berkat ramadhan sekiranya ini yang terbaik untuk akhirat, agama dan tarbiyahku. ^_^ (Teringat lagu leaving on a jet plane yang popular di kampus)

0 comments:

Post a Comment