Bismillahirrahmanirrahim... Rujukan buku Fadhilat Sedekah Jilid 1&2 m.s 634.
Baginda Rasulullah saw bersabda bahawa sesiapa yang menghadapi kelaparan (kemiskinan) dan ia menzahirkan hal itu kepada manusia, maka kelaparannya tidak akan dijauhkan dan sesiapa yang membentangkan hal kelaparannya di hadapan Allah (dan memohon kepadaNya) maka Allah cepat akan kurniakan rezeki kepadanya, mungkin serta merta atau sedikit lambat.
Keterangan:
Sesiapa yang meminta-minta dari orang tidak akan terlepas dari kemiskinan dan kelaparan. Maksudnya, keperluannya tidak akan dipenuhi. Jika hari ini untuk satu keperluan ia meminta-minta dari orang dan rupa-rupanya keperluan itu sudah dipenuhi maka esok hari dia akan menghadapi keperluan yang lebih besar dan keadaannya berhajat akan berkekalan. Jika ia angkat tangan untuk meminta dari Allah maka keperluan yang berkenaan akan dipenuhi dan keperluan yang lain tidak akan dihadapinya ataupun jika ia menghadapi apa-apa hajat yang lain maka serta merta Allah swt akan menyelesaikannya juga.
Di dalam sebuah Hadith yang lain mengenai perkara ini telah dinyatakan begini, iaitu sesiapa yang membentangkan kemiskinan dan hajat sendiri di hadapan Allah, maka Allah swt akan segera menjauhkan kemiskinannya -- baik dengan kekayaan yang segera ataupun kematian yang segera. Kematian yang segera ada 2 maksud:
1. Kematiannya sendiri yang mana sebelum menderita kelaparan dan kesusahan ia mati, bererti kesemua kesusahan pun berakhir beserta dengan kematiannya.
2. Kematian orang lain yang akan menjadi asbab kekayaannya. Disebabkan kematian yang sedemikian ia akan memperolehi sebahagian dari hartanya sebagai waris ataupun orang yang mati itu semasa meninggal dunia telah berwasiat agar sekian sekian bahagian dari hartanya diberi kepada si anu (iaitu orang yang di dalam keadaannya susah telah hanya memohon kepada Allah sahaja).
Kisah Pengajaran BURUNG & ULAR YANG BUTA
'Kurd' adalah nama satu kabilah. Salah seorang ahli kabilah tersebut adalah seorang perompak yang termasyhur. Dia telah menceritakan peristiwa mengenainya sendiri seperti berikut:
'Satu ketika aku bersama rakan-rakan sedang berjalan untuk merompak di satu tempat. Di dalam perjalanan kami telah berehat di satu tempat di mana ada 3 batang pohon buah tamar -- dua yang hidup dan berbuah, satu daripadanya kering. Aku melihat seekor burung berkali-kali ambil buah tamar yang segar daripada pokok-pokok yang hidup dan membawanya ke pokok yang kering tersebut. Melihatnya aku hairan, sekurang-kurangnya sepuluh kali aku melihat burung tersebut membawa buah tamar di atas pokok yang kering. Aku ingin melihat apakah burung itu buat dengan buah tamar di atas pokok kering itu. Maka akupun menaiki pokok kering tersebut. Sampai ke puncaknya aku melihat seekor ular yang buta menunggu di situ sambil membuka mulutnya. Aku memahami bahawa burung tersebut membawa buah tamar yang segar dan meletak di mulut ular yang buta tersebut. Melihat keadaan itu aku menerima pengajaran yang begitu besar, sehingga aku mula menangis dan berkata: 'Tuhanku! Nabimu saw telah memerintahkan untuk membunuh ular. Tetapi apabila seekor ular yang sedemikian menjadi buta dan tidak mampu mencari rezeki, maka engkau menggunakan burung untuk sampaikan rezeki kepadanya. Padahal aku hambaMu yang berikrar tauhid kepada Engkau; alangkah sesalnya, Engkau membuat aku merompak orang!'Maka aku telah diilhamkan, 'Pintuku untuk bertaubat telah terbuka'. Pada ketika itu juga aku telah mematahkan pedangku yang aku gunakan untuk merompak harta benda orang. Lalu aku mula menjerit,'Ampunilah dosaku, ampunilah dosaku'. Maka aku telah mendengar satu suara berbunyi,' Aku sudah mengampunkan dosamu wahai hambaKu, Aku sudah mengampunkan dosamu'. Apabila aku sampai kepada kumpulan rakan-rakan, mereka semua hairan dan mereka bertanya, 'Apakah yang sudah berlaku kepada engkau?' Aku menjawab,'Aku telah menjadi sesat dan derhaka kepada Tuhan. Kini aku berdamai dengan menyerah diri.' Selepas itu aku telah menceritakan keseluruhan peristiwa tadi. Maka kesemua rakan-rakanku juga mematahkan senjata-senjata mereka yang digunakan untuk merompak sambil berkata:'Kami juga berdamai dengan menyerah diri.' kami telah meninggalkan kesemua harta yang telah kami rompak sekian lama, memakai kain ihram lalu mula berjalan ke arah Makkah. Setelah berjalan selama 3 hari kami telah sampai ke satu kampung di mana kami menemui seorang wanita yang tua dan buta. Dia telah bertanya dengan menyebut namaku samada di dalam rombongan kami ada sesiapa ahli Kurd yang bernama itu. Rakan-rakanku telah menjawab, 'Ada'. Maka dia keluarkan satu bungkusan pakaian lalu sambil memberinya kepada kami dia berkata: 'Sudah 3 hari anakku meninggal dunia. Ini adalah pakaian dia. Setiap malam setelah ia meninggal dunia aku bermimpi Baginda Rasulullah mengarahkan aku supaya aku memberi semua pakaian Allahyarham anakku kepada ahli Kurd yang bernama ini. Ahli kurd tersebut berkata, kami semua telah memakai pakaian itu.
Di dalam kisah ini kedua-dua perkara tersebut memberi pengajaran: iaitu ular yang buta diberi rezeki oleh Allah swt melalui burung dan pemberian pakaian kepada perompak yang bertaubat dari pihak Rasulullah saw. Apabila Allah swt ingin membantu sesiapa maka amat mudah bagiNya untuk menyediakan asbab. Sebab Dialah yang mencipta semua asbab-asbab kekayaan serta asbab kemiskinan. Dengan berkat taubat yang sungguh-sungguh menerima pakaian dari pihak Rasulullah saw juga satu kemuliaan yang besar. Peristiwa ini juga merupakan satu contoh bagaimana kekayaan diperolehi dengan kematian yang cepat.
Tuesday, May 24, 2011
Monday, May 16, 2011
Nasihat Pernikahan buat diri
Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah, apabila masuk cuti sekolah, maka secara automatiknya akan menerima kad jemputan Perkahwinan. Tahniah buat sahabat sahabat yang bakal mendirikan masjid iaitu Dr Isnani dan juga Ustazah Maliana. Tidak dilupa juga buat kak Nurul Husna yang sedang menanti debaran semasa bulan syawal nanti. Biarpun sedih terasa di hati kerana selepas ini tumpuan sahabat sahabat pasti sudah berbagi. Maka, ana sudah pasti tidak boleh lagi bermanja manja dengan Kak Nurul Husna kerana takut dengan abang ipar =) . Namun, ana sentiasa mendoakan kebahagian sahabat sahabat. Di sini ana inginkan kongsikan artikel daripada Ukhti Zinnirah yang masih dalam fasa berbulan madu =P .Mabruk buat sahabat sahabatku, pasti berdebar menunggu saat lafaz sakinah. Barakallahu Lakuma
Credit to Mutiara Hati untuk nasihat di bawah.
Karya nukilan datuk saudaraku yang ditulis buat anak beliau. Saya berbesar hati untuk berkongsi nasihat-nasihat tersebut yang bagi saya sangat bernilai dan begitu menyentuh. Semoga bermanfaat bagi pembaca sekalian. Nama-nama telah dipadamkan atas sebab privasi. (NH)
Drs H. Fathi Siregar
15 April 2011, Jakarta
Assalamu'alaikum wr wb.
Alhamdulillah segala puji kita persembahkan ke hadirat Allah swt. Maha Suci Allah, "Dia yang menciptakan manusia dari air, lalu Dia jadikan manusia itu (punya) keturunan dan mushaharah (hubungan kekeluargaan yang berasal dari perkahwinan) dan adalah Tuhanmu Maha Kuasa."
(Al-Furqan : 54)
Selawat dan salam semoga tercurah pada junjungan kita Nabi Muhammad (SAW) yang menegaskan "Perkahwinan adalah sunnahku, siapa yang tidak suka sunnahku maka dia bukan termasuk golonganku."
Nikah adalah perintah Allah dan sunnah Rasulullah (SAW) yang tujuannya ditegaskan dalam al-Quran surat Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Itulah tujuan berumah tangga menurut Islam, melahirkan ketenangan dan ketenteraman serta tumbuhnya kasih sayang. Senada dengan itu, Marie Van Ebner pernah berkata : "Bila di dunia ini ada syurga, maka syurga itu ialah pernikahan yang bahagia. Sebaliknya, jika di dunia ini ada neraka, maka neraka itu adalah pernikahan yang gagal."
Ketenangan dan ketenteraman, penuh kasih dan sayang, baru akan dirasakan oleh anakanda berdua jika mampu menangkap secara benar arti dan makna yang terkandung dalam ijab-qabul.
Ijab adalah ucapan penyerahan dari sang wali kepada mempelai pria. Qabul adalah ucapan penerimaan mempelai pria dari walinya.
Ijab-qabul yang di dalam al-Quran disebut 'mitsaqan ghalizha' = 'ikatan yang kuat, perjanjian yang berat'. Hakikatnya adalah proses alih tanggungjawab dari seorang wali kepada menantunya.
Ketika ayahanda (pengantin perempuan) berkata,
"Saya nikahkan, kahwinkan (pengantin lelaki) dengan anak saya (pengantin perempuan)…" – sebenarnya ayahanda (pengantin perempuan) sedang berkata, "Anakanda (pengantin lelaki) – hari ini Bapak limpahkan tanggungjawab Bapak atas (pengantin perempuan) kepada kamu, yang selama ini menjadi tanggungjawab kami mengurus, mengawasi, membimbing dan mendidik serta memberi nafkah, hari ini kami serahkan kepada anakanda. Semoga anakanda menerima (pengantin perempuan) dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab."
Ketika (pengantin lelaki) menjawab, "Saya terima nikahnya, kahwinnya puteri Bapak…" – sebenarnya (pengantin lelaki) sedang berkata, "Bapak, limpahan amanah Bapak Insya Allah saya terima dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Saya akan pikul amanah ini dengan sebaik-baiknya. Bapak dan Ibu, iringi dan payungi perjalanan kami berdua dengan doa tulus dari Bapak dan Ibu, agar kami tidak kehilangan cahaya dalam menempuh hidup ini."
Dengan ijab-qabul, maka terjadi perubahan besar; yang haram menjadi halal, yang maksiat menjadi ibadat, kekejian menjadi kesucian, kebebasan menjadi tanggungjawab, nafsu pun berubah menjadi cinta dan kasih sayang.
Kerana itu Rasulullah (SAW) dalam satu hadith berpesan kepada setiap calon suami:
"Takutlah kalian kepada Allah dalam hal wanita (isteri). Kerana sesungguhnya kamu mengambil dia sebagai amanah. Dan kamu telah menghalalkan dirinya dengan kalimat Allah. Kamu harus memberi dia (isteri) sandang dan pangan dengan baik."
Dari hadith ini, suami diingatkan oleh Rasulullah (SAW) untuk senantiasa takut kepada Allah dan bertanggungjawab dalam tiga hal:
1) Mengambil wanita sebagai amanah
2) Menghalalkan wanita dengan kalimat Allah
3) Memberi sandang dan pangan kepada isteri dengan rezeki yang baik dan halal
Anakku! Pernahkah kalian merenung sebelum memasuki pintu gerbang pernikahan ini, apa maksudnya? Yakinkah anakanda sebelum orang tuamu yakin bahawa anakanda berdua telah siap?
Sadarkah kalian, bahawa di hadapan sana, ada ombak dan gelombang yang dapat menghempas dan mematahkan kemudi atau paling tidak riak dan getaran yang dapat mengolengkan perahu? Sudah siapkan anakanda berdua dengan bekal? Biasanya yang dipersiapkan calon pengantin adalah bekal materi. Hal ini penting, akan tetapi yang lebih penting lagi adalah bekal rohani serta mental. Untuk mendapatkan bekal ini bukan hanya diperlukan cinta tetapi yang melebihi cinta.
Islam memerintahkan kepada setiap orang agar pandai-pandai memilih pasangan calon suami dan calon isteri dan yang menjadi prioritas pilihan adalah agama. Mengapa agama menjadi prioritas? Kerana agama merupakan fondasi utama bagi keberlangsungan setiap kegiatan kehidupan. Nabi (SAW) memperingatkan agar umatnya memilih pasangan yang baik agamanya.
Sabda Rasulullah (SAW):
"Raihlah yang mematuhi agama, kerana (kalau tidak) engkau akan sengsara." (H.R Abu Hurairah)
Pelajarilah bagaimana Luqman menanamkan nilai-nilai agama ke dalam jiwa anaknya dan ingat pula akan pesan al-Quran:
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…" (At-Tahrim : 6)
Hidup tanpa agama yang hak, membuat apa yang telah dan akan dicapai tidak akan memberi kebaikan, bahkan menjerumuskan manusia ke dalam neraka. Kami yakin bahawa anakanda berdua telah melakukan pilihan yang tepat, oleh kerana itu anakku kami tidak memaksa anakanda tetapi merestuinya. Anakanda berdua Insya Allah adalah pasangan yang tepat dan yang diredhai Allah SWT dan kami mengharapkan perkahwinan anakanda ini akan berlanjut hingga hari kemudian.
Selama ini kalian menjadi amanah di tangan kedua orang tuamu. Sekuat kemampuan kami telah berusaha melaksanakan amanah itu. Sedarkah anakanda apa yang dilakukan ibu dan ayahmu?Kasih orang tua kepada anaknya melebihi kasih mereka kepada dirinya sendiri. Bahkan tidak jarang orang tuamu melampaui batas yang diberikan Allah, kerana boleh jadi ada perintah-Nya yang dilanggar demi memenuhi keinginanmu. Ada syubhat yang dilakukan untuk mengundang senyummu.
Amanah yang dibebankan Allah kepada kami orang tuamu sekuat kemampuan telah kami tunaikan. Semoga Tuhan Yang Maha Sempurna tidak menilainya kurang dan dapat mengampuni segala dosa dan kesalahan ayah bundamu. Kini anakanda telah memasuki pintu gerbang perkahwinan, giliran kami orang tuamu menyerahkan amanah itu kepada kalian. Sebelum anakanda jauh berlayar renungkanlah bekal-bekal dan nasihat yang telah diberikan ahli keluarga, tuan guru dan orang tuamu.
Anakanda berdua,
Pernikahan yang telah anakanda laksanakan adalah merupakan perikatan, perjanjian dan permuafakatan. Akad nikah ini memiliki kedudukan yang amat penting dalam syariat Islam dan mempunyai posisi tempat yang sangat mulia. Tuhan menyebut akad nikah antara dua orang anak manusia sebagai 'mitsaqan ghalizha'. Tuhan menegur suami-suami yang berbuat zalim, merampas hak isterinya, seperti ditegaskan dalam firman-Nya:
"Bagaimana kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebahagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami isteri. Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat (mitsaqan ghalizha)." (An-Nisa' : 21)
Oleh kerana itu anakanda, akad nikah yang kalian lakukan seperti yang diuraikan di atas mengandungi misi yang mulia. Dengan akad nikah, Tuhan memberikan kehormatan kepada anakanda untuk memikul misi yang mulia itu. Apa yang harus dilakukan suami isteri dalam melayari samudera kehidupan?
Anakanda,
Anakanda harus mengisi bahtera rumahtangga kalian dengan ketenteraman, cinta dan kasih sayang. Kerana itu, setiap perilaku anakanda berdua yang mendatangkan kedamaian, ketenteraman dan ketenangan dalam keluarga adalah ibadah.
Dengarkan sebagaimana Rasulullah (SAW) memuji setiap perilaku yang mendatangkan kebahagiaan di tengah-tengah keluarga. Kepada laki-laki, Rasulullah (SAW) bersabda: "Duduknya laki-laki, berbincang-bincang dengan keluarga lebih dicintai Allah SWT daripada i'tikaf dimasjid."
Kepada perempuan, Rasulullah (SAW) bersabda: "Bila seorang isteri memberikan minuman kepada suaminya seteguk air, itu lebih baik baginya daripada ibadah satu tahun."Kepada keduanya, Rasulullah (SAW) bersabda: "Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya." (Mizan al-Hikmah, 4 : 286-287)
Tujuan dan makna diadakannya perkahwinan adalah untuk kebaikan hidup manusia, iaitu melalui limpahan mawaddah dan rahmah yang diterimanya dari Allah. Orang yang jiwanya diisi oleh mawaddah selamanya dia akan dijauhi dari keburukan, kedengkian serta segala sifat-sifat yang dapat merusak lahir dan batin. Dalam jiwa yang mawaddah ini hati dan hidup manusia akan selalu dibimbing dalam rasa kasih sayang dan cinta kasih yang dalam, sehingga tali hubungan antara manusia akan terjaga selamanya. Ketenangan dan ketenteraman jiwa suatu kondisi psiko-ruhiah yang terasa menyejukkan, juga akan dialami oleh insan yang hidup dalam tali perkahwinan.
Mawaddah adalah peningkatan lebih tinggi dari mahabbah yang hanya berupa rasa saling tertarik antara lelaki dan perempuan kerana segi lahiriah dan jasmani belaka, seperti tampan dan cantik.Mawaddah tumbuh tidak lagi atas pertimbangan lahiri dan jasmani, tapi atas dasar penghargaan yang sejati antara satu sama lain dan atas dasar nilai-nilai batini kemanusiaan. Maka jika mahabbah adalah cinta kasih jasmani atau keragaan (fisik), mawaddah meningkat menjadi cinta kasih nafsani dan kejiwaan (psikis) yang lebih mendalam.
Jika terus tumbuh dan berkembang dengan sihat dan utuh, hubungan cinta kasih suami isteri dapat meningkat lebih tinggi lagi, menjadi cinta kasih ruhani atau kesukmaan (spiritual), menuju rahmah, cinta kasih Ilahi yang Rahman dan Rahim. Semua kita harus berusaha mencapai tingkat cinta kasih Ilahi ini.
"Mereka yang cinta kasih akan dicinta kasihi oleh Yang Maha Cinta Kasih. Cinta kasihilah olehmu penghuni bumi maka penghuni langit akan cinta kasih kepada kamu. Rahm (cinta kasih) adalah syujnah (jaringan) dari al-Rahman (Yang Maha Cinta Kasih). Barangsiapa menyambung tali cinta kasih itu, maka jaringan dari Yang Maha Cinta Kasih akan menyambungnya dan barangsiapa memutuskan cinta kasih itu maka jaringan dari Yang Maha Cinta Kasih itu akan memutuskannya."(H.R Ahmad)
Membina hubungan yang akrab antara pria dan wanita dalam kehidupan manusia adalah kenyataan kemanusiaan lainya. Pernikahan adalah cara yang alami dan wajar untuk mewujudkan kecenderungan alami seorang lelaki kepada seorang perempuan, dan untuk membangun keluarga. Kerana itu, pernikahan yang setia berada dalam santunan Allah dan pelindungan-Nya, kerana pernikahan serupa itu sesungguhnya dibuat dan ditegakkan di bawah nama-Nya. Cubalah kita camkan firman suci berikut:
"Wahai sekalian umat manusia! Bertaqwalah kamu sekalian kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari satu jiwa, kemudian dari satu jiwa itu diciptakan oleh-Nya jodohnya, dan dari pasangan dua jiwa tiu dikembang-biakkan banyak lelaki dan perempuan. Bertaqwalah kamu sekalian kepada Allah, yang dalam Nama-Nya kamu bermohon, dan jagalah hubungan kasih sayang (tali kekeluargaan). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui atas kamu sekalian."
(An-Nisa’ : 1)
Bersambung…
Friday, May 6, 2011
Selamat Hari Jururawat!
Bismillahrahmanirahim..... Alhamdulillah, betapa masa berlalu tanpa disedari. Pejam celik pejam celik, tahun ini sudah sampai pada bulan Mei. Bulan Mei adalah antara bulan yang dinanti nantikan oleh saya. Banyak peristiwa istimewa yang bakal dan telah berlaku pada bulan Mei yang terpahat kukuh dalam ingatan saya. Antaranya adalah ulang tahun kelahiran ibu saya dan saya juga mengetahui bahawa bulan Mei adalah bulan yang amat dinanti nantikan oleh insan insan yang bergelar seorang jururawat. Biarpun saya sendiri tidak sabar menanti bulan Jun agar saya lebih insaf dan bermuhasabah diri namun saya ingin 'menikmati' bulan Mei dengan penuh rasa takzim sebagai generasi muda sebelum ditambah satu nombor pada pangkal hujung nombor penghidupan saya.
Istimewanya bulan Mei ketika hidup di kampus bagi diri saya adalah ketika saya dan rakan rakan sekampus akan bertungkus lumus untuk menjayakan perayaaan HARI JURURAWAT SEDUNIA. Biarpun masih bergelar seorang pelajar, namun ketika itu kami diajar untuk menghargai profesyen yang mulia ini. Hari jururawat sedunia adalah hari yang dikhususkan bukan semata mata untuk menghargai seorang jururawat sahaja tetapi juga sebagai medan muhasabah diri buat para jururawat sekalian iaitu sejauh mana pekerjaan ini kita sandarkan sebagai tapak semaian di mana hasilnya ingin kita tuai di akhirat kelak. Ketika di kampus, kami bertungkus lumus dan bersemangat penuh untuk meningkatkan profesyen ini bukan sahaja dari segi penilaian manusia tetapi juga penilaian ALLAH SWT.
The choosen one
Mengimbau pertama kali melangkah masuk ke universiti, soalan pertama yang ditanyakan adalah kenapa memilih ingin menjadi jururawat? Dan ketika itu, diri masih seorang yang jahil. Hidup hanya berpaksikan dunia semata mata, dengan selambanya menjawab kerana seorang jururawat itu cantik. Apabila terkenang kembali memori tersebut,boleh ketawa sampai pecah perut. Tidak disangka bahawa itu adalah Asiah Yusro yang dulu . Kadang kadang macam tak percaya apabila diri bertukar dan berpusing 360 darjah. Tika melihat gambar gambar lama juga gosok mata tiga hingga empat kali. Saya berterima kasih dengan bidang kejururawatan yang membuka mata saya untuk membuat u turn dalam hidup. Baru baru ini saya mula memahami setiap hikmah dan ujian yang ALLAH berikan kepada saya. Setiap titik kesusahan demi penghijrahan kerana ALLAH itu merupakan tarbiyah secara terus yang ALLAH berikan. Alhamdulillah, bukan calang calang orang yang bisa mendapat hadiah hidayah dan taufiq dari ALLAH swt kan? Jika begitu, maka tepatlah jawapan yang diajarkan oleh kakak kakak senior ketika di kampus bahawa menjadi seorang jururawat itu adalah mereka yang terpilih. The choosen one! Terlalu banyak yang saya pelajari tentang hidup dalam waktu yang sama saya menghabiskan kursus ijazah jururawat selama empat tahun di universiti tarbiyah saya. Malah, ketika belajar itulah juga, hati saya didekatkan kepada ALLAH SWT... syukur...
Kaca Mata Akhirat
Seringkali saya ditanya, bagaimana saya boleh 'mengadakan' diri dalam sesuatu program memandangkan jadual waktu pekerjaan saya yang begitu istimewa. Pertanyaan sebegini menyenangkan saya dan membuat saya juga bermuhasabah diri. Tidak dinafikan waktu pekerjaan saya sedikit istimewa. Tidak sama dengan pejuang pejuang yang lain. Pada waktu tikanya, terpaksa bersengkang mata kerja malam agar di siang hari dapat menghadirkan diri ke usrah ataupun program yang dianjurkan. Saya tidak menafikan kadang kadang saya berasa terlalu letih kerana terpaksa bertugas dengan berjadual, terpaksa merayu untuk bertukar shif atau terpaksa bekerja malam secara berterusan. Apatahlagi ibubapa saya juga kurang mengizinkan saya untuk terus aktif jika mengganggu karier saya. Namun, saya cuba melihat dunia dengan kaca mata akhirat. Buat pertama kalinya, saya melihat kembali kenapa saya berintima dengan perjuangan dan usrah saya? Adakah semata mata kerana saya terpengaruh dengan naqibah saya yang membantu saya berubah ataupun pengaruh sahabat sahabat seusrah saya? Saya membuat kesimpulan sendiri iaitu sekiranya perbuatan dunia ini disandarkan kerana manusia semata mata, maka tiadalah hasil selain kepenatan yang berpanjangan. Namun, jika kita meyakini bahawa perjuangan hidup di dunia adalah semata mata mencari bekalan untuk dibawa ketika bertemu dengan NYA, inshaALLAH, langkah untuk perjuangan pasti dipermudahkan. Walau sesusah atau sesingkat mana pun waktu, kita harus berusaha memanfaatkan diri demi perjuangan. Jika kita tidak boleh dari segi kehadiran diri, cukupkah sekadar kita ikhlaskan diri untuk memberi infaq pada perjuangan. Petua paling istimewa, biarpun kalian tidak dapat menghadiri atau menyumbang sesuatu kerana sekatan masa, keluarga dan sebagainya, pastikan hati kalian sentiasa bersama perjuangan.
Pejuang pilihan
Seorang sahabat memberitahu bahawa dirinya hampir futur kerana ujian karier dan keluarga yang melanda. Saya tidak menafikan bahawa diri saya juga sedemikian. Ketika berada di alam kampus, fokus kita mungkin hanya pelajaran dan perjuangan. Namun, apabila berada di luar kampus, skop pemikiran seorang pejuang itu harus diperluaskan. Tanggungjawab sebagai anak perlu digalas, tanggungjawab mencari rezeki harus dipikul dalam masa yang sama tanggungjawab pada perjuangan tidak sama sekali ditinggalkan. Saya begitu berpegang bahawa pejuang pejuang agama ALLAH SWT itu adalah pilihanNYA. Jika kita berasa diri seperti hendak mengalah, maka sila semak balik hubungan kita dengan ALLAH SWT. Mungkin disebabkan kelalaian kita sendiri dalam menjaga redha ALLAH, kita terkeluar dari senarai pejuang pejuang pilihanNYA. Jangan kita takut untuk menempuh badai dalam perjuangan kerana seorang pejuang itu akan sentiasa bersahabat dengan halangan. Bukanlah namanya perjuangan jika tiada mehnah dan tribulasinya bukan? Setiap halangan itu pasti ada penyelesaiannya. Bukankah Rasulullah SAW pun dihimpit dengan pelbagai mehnah dan tribulasi? Seringkali kita menyatakan bahawa kita ini tidak seperti Rasulullah SAW dan para sahabat, iman kita tidak dapat menandingi mereka. Cuma kita jangan lupa bahawa kita adalah UMAT MUHAMMAD, golongan yang dirindui Rasulullah SAW biarpun tidak pernah bertemu. Tidakkah kita berasa perlu menyahut panggilan rindu itu dengan membina kekentalan iman demi menempuh jalan perjuangan yang penuh onak dan duri. Selain itu, saya juga ingin berkongsi petua untuk kalian yang berhadapan dengan sahabat sahabat yang dikatakan futur dan sebagainya, cubalah meletakkan kaki kalian ke dalam kasut kasut mereka (pepatah Inggeris yang dimelayukan). Mungkin mereka punya kekangan dan sekatan yang tidak dapat mereka lepasi sehingga mereka perlu direhatkan sekejap dalam gerak kerja. Dan ingatlah bahawa hidup ini umpama roda. Sekejap di atas dan sekejap dibawah. Mungkin akan sampai satu masanya pula diri kalian diuji sedemikian, maka sudah tentu kita juga mohon pengertian dari insan lain. Dan mungkin pada tika itu, sahabat kalian yang dikatakan futur itu pula yang bekerja untuk gerak kerja ISLAM. Jangan mudah sekali menghukum seorang pejuang itu menjadi futur kerana ALLAH SWT sahaja Maha Mengetahui.
Tarbiyah di mana saja
Buat sang daie yang hebat di alam kampus, kalian harus bersedia. Pendekatan yang berbeza perlu diambil dalam menghadapi cabaran dakwah pasca graduasi. Keadaan dalam dan luar kampus tidak boleh disamakan. Biarpun kita sudah menyiapkan pelbagai perancangan untuk persediaan perjuangan luar kampus namun perancangan itu terkadang tidak bisa dilaksanakan. Persediaan yang paling utama adalah bekalan iman yang kukuh dan kental dalam diri seorang pejuang. Jangan terlalu memanjakan diri dengan kesenangan atau kemudahan pergi untuk mendapatkan pentarbiyahan atau menghadirkan diri ke program program kerana kita tidak tahu bilakah waktunya ALLAH memilih untuk menguji kita. Seperti yang saya katakan tadi, pejuang pejuang pilihan agama ALLAH adalah pilihanNYA. Mungkin ALLAH ingin mengadakan satu proses tapisan untuk memilih seorang daie yang benar benar sanggup memikul tanggungjawab dakwah. Saya tidak suka menggunakan perkataan bebab dakwah kerana tidak mahu menghilangkan kemanisan dakwah. Dakwah itu bukanlah suatu beban tetapi suatu kecintaan dan kegilaan. Bergantung pada seorang daie itu, jika dia mengganggap dakwah adalah satu beban yang harus dipikulnya, maka sudah pasti dia berasa keberatannya, namun jika jalan dakwah itu adalah jalan yang dicintainya, maka inshaALLAH, biar apapun mehnah dan tribulasinya, perjalanan dakwah itu pasti begitu indah terasa. Dan ingatlah bahawa, jika ditakdirkan satu hari nanti, ALLAH menguji kita dengan sedikit sekatan dalam perjuangan, maka bersyukurlah kerana ALLAH ingin mengajar kita erti kemanisan tarbiyah. Mungkin sebelum ini, kesenangan yang ALLAH berikan kepada kita tanpa sekatan menyebabkan kita begitu asyik berprogram sehingga lupa untuk memprogram diri sendiri demi keredhaanNYA. Hidup seorang daie adalah untuk memurnikan kehidupan insan lain namun itu tidak akan bermakna apa apa jika daie itu sendiri yang tidak memurnikan hidupnya kerana ALLAH SWT. Percayalah, tarbiyah ada di mana saja, pandanglah sesuatu dengan kaca mata dakwah dan tarbiyah, inshaALLAH, kita pasti istiqomah dijalanNYA.
Selamat Hari jururawat
Terasa entri kali ini seperti biasa melalut tak tentu arah. Ini adalah sedikit perkongsian dari diri saya yang kerdil ini. Saya bukanlah muslimah yang hebat dalam perjuangan dakwah kerana saya juga baru sahaja diprogramkan untuk berhijrah. Cuma, saya suka berkongsi fikrah dan rasa saya kerana saya yakin, erti hidup adalah untuk berkongsi seperti yang diajarkan oleh cermin ajaib saya saudari Khairunisa Klem. Saya seorang jururawat dan sedang cuba untuk mengasimilasikan kehidupan seorang daie dan juga seorang jururawat. Biar apapun diri anda, jadilah diri anda sendiri tetapi dengan syarat semata mata mencari redha ALLAH SWT. Dan akhir kalam:
Selamat Hari jururawat Sedunia
"When you're a nurse you know that every day
you will touch a life or a life will touch yours."
P/s: Tulisan yang berbelit belit disebabkan baru balik dari menanam pokok sempena hari jururawat sedunia. Sudahlah saya seumur hidup tidak pernah pegang cangkul dan sabit, tiba tiba disuruh menanam pokok. Alhamdulillah, bisa berbudi kepada tanah...... Buat anak anak di Sekolah Seri Mengasih, jagalah pokok yang mama tanam sebaik baiknya ya sayang. Mama doakan anak anak diredhai ALLAH dan mendapat syurga di sisiNYA kerana kalian adalah anak anak akhirat yang ALLAH turunkan ke dunia dengan 1001 keistimewaan.. InsyaaALLAH... hampir terlupa, saya akan menghidupkan semula FB Asiah Yusro kerana rungutan dan teguran dari sahabat sahabat, rakan rakan dan adik adik usrah saya yang mengatakan begitu susah menghubungi saya.... Asif jiddan kerana menyusahkan... insyaALLAH, Asiah Yusro akan kembali =)
Sekolah Seri Mengasih
Hasil kerja anak anak istimewa =)
Pokok yang ditanam
Pokok bunga yang ditanam lagi...
Wallahualam...
Staff Nurse Nadrah a.k.a Asiah Yusro