Bismillahirrahmanirrahim... Rujukan buku Fadhilat Sedekah Jilid 1&2 m.s 634.
Baginda Rasulullah saw bersabda bahawa sesiapa yang menghadapi kelaparan (kemiskinan) dan ia menzahirkan hal itu kepada manusia, maka kelaparannya tidak akan dijauhkan dan sesiapa yang membentangkan hal kelaparannya di hadapan Allah (dan memohon kepadaNya) maka Allah cepat akan kurniakan rezeki kepadanya, mungkin serta merta atau sedikit lambat.
Keterangan:
Sesiapa yang meminta-minta dari orang tidak akan terlepas dari kemiskinan dan kelaparan. Maksudnya, keperluannya tidak akan dipenuhi. Jika hari ini untuk satu keperluan ia meminta-minta dari orang dan rupa-rupanya keperluan itu sudah dipenuhi maka esok hari dia akan menghadapi keperluan yang lebih besar dan keadaannya berhajat akan berkekalan. Jika ia angkat tangan untuk meminta dari Allah maka keperluan yang berkenaan akan dipenuhi dan keperluan yang lain tidak akan dihadapinya ataupun jika ia menghadapi apa-apa hajat yang lain maka serta merta Allah swt akan menyelesaikannya juga.
Di dalam sebuah Hadith yang lain mengenai perkara ini telah dinyatakan begini, iaitu sesiapa yang membentangkan kemiskinan dan hajat sendiri di hadapan Allah, maka Allah swt akan segera menjauhkan kemiskinannya -- baik dengan kekayaan yang segera ataupun kematian yang segera. Kematian yang segera ada 2 maksud:
1. Kematiannya sendiri yang mana sebelum menderita kelaparan dan kesusahan ia mati, bererti kesemua kesusahan pun berakhir beserta dengan kematiannya.
2. Kematian orang lain yang akan menjadi asbab kekayaannya. Disebabkan kematian yang sedemikian ia akan memperolehi sebahagian dari hartanya sebagai waris ataupun orang yang mati itu semasa meninggal dunia telah berwasiat agar sekian sekian bahagian dari hartanya diberi kepada si anu (iaitu orang yang di dalam keadaannya susah telah hanya memohon kepada Allah sahaja).
Kisah Pengajaran BURUNG & ULAR YANG BUTA
'Kurd' adalah nama satu kabilah. Salah seorang ahli kabilah tersebut adalah seorang perompak yang termasyhur. Dia telah menceritakan peristiwa mengenainya sendiri seperti berikut:
'Satu ketika aku bersama rakan-rakan sedang berjalan untuk merompak di satu tempat. Di dalam perjalanan kami telah berehat di satu tempat di mana ada 3 batang pohon buah tamar -- dua yang hidup dan berbuah, satu daripadanya kering. Aku melihat seekor burung berkali-kali ambil buah tamar yang segar daripada pokok-pokok yang hidup dan membawanya ke pokok yang kering tersebut. Melihatnya aku hairan, sekurang-kurangnya sepuluh kali aku melihat burung tersebut membawa buah tamar di atas pokok yang kering. Aku ingin melihat apakah burung itu buat dengan buah tamar di atas pokok kering itu. Maka akupun menaiki pokok kering tersebut. Sampai ke puncaknya aku melihat seekor ular yang buta menunggu di situ sambil membuka mulutnya. Aku memahami bahawa burung tersebut membawa buah tamar yang segar dan meletak di mulut ular yang buta tersebut. Melihat keadaan itu aku menerima pengajaran yang begitu besar, sehingga aku mula menangis dan berkata: 'Tuhanku! Nabimu saw telah memerintahkan untuk membunuh ular. Tetapi apabila seekor ular yang sedemikian menjadi buta dan tidak mampu mencari rezeki, maka engkau menggunakan burung untuk sampaikan rezeki kepadanya. Padahal aku hambaMu yang berikrar tauhid kepada Engkau; alangkah sesalnya, Engkau membuat aku merompak orang!'Maka aku telah diilhamkan, 'Pintuku untuk bertaubat telah terbuka'. Pada ketika itu juga aku telah mematahkan pedangku yang aku gunakan untuk merompak harta benda orang. Lalu aku mula menjerit,'Ampunilah dosaku, ampunilah dosaku'. Maka aku telah mendengar satu suara berbunyi,' Aku sudah mengampunkan dosamu wahai hambaKu, Aku sudah mengampunkan dosamu'. Apabila aku sampai kepada kumpulan rakan-rakan, mereka semua hairan dan mereka bertanya, 'Apakah yang sudah berlaku kepada engkau?' Aku menjawab,'Aku telah menjadi sesat dan derhaka kepada Tuhan. Kini aku berdamai dengan menyerah diri.' Selepas itu aku telah menceritakan keseluruhan peristiwa tadi. Maka kesemua rakan-rakanku juga mematahkan senjata-senjata mereka yang digunakan untuk merompak sambil berkata:'Kami juga berdamai dengan menyerah diri.' kami telah meninggalkan kesemua harta yang telah kami rompak sekian lama, memakai kain ihram lalu mula berjalan ke arah Makkah. Setelah berjalan selama 3 hari kami telah sampai ke satu kampung di mana kami menemui seorang wanita yang tua dan buta. Dia telah bertanya dengan menyebut namaku samada di dalam rombongan kami ada sesiapa ahli Kurd yang bernama itu. Rakan-rakanku telah menjawab, 'Ada'. Maka dia keluarkan satu bungkusan pakaian lalu sambil memberinya kepada kami dia berkata: 'Sudah 3 hari anakku meninggal dunia. Ini adalah pakaian dia. Setiap malam setelah ia meninggal dunia aku bermimpi Baginda Rasulullah mengarahkan aku supaya aku memberi semua pakaian Allahyarham anakku kepada ahli Kurd yang bernama ini. Ahli kurd tersebut berkata, kami semua telah memakai pakaian itu.
Di dalam kisah ini kedua-dua perkara tersebut memberi pengajaran: iaitu ular yang buta diberi rezeki oleh Allah swt melalui burung dan pemberian pakaian kepada perompak yang bertaubat dari pihak Rasulullah saw. Apabila Allah swt ingin membantu sesiapa maka amat mudah bagiNya untuk menyediakan asbab. Sebab Dialah yang mencipta semua asbab-asbab kekayaan serta asbab kemiskinan. Dengan berkat taubat yang sungguh-sungguh menerima pakaian dari pihak Rasulullah saw juga satu kemuliaan yang besar. Peristiwa ini juga merupakan satu contoh bagaimana kekayaan diperolehi dengan kematian yang cepat.
0 comments:
Post a Comment