Pages

Monday, January 3, 2011

Aku sudah menjadi seorang ibu =)


Bismillahirahmanirahim... Rasanya hari semakin hari, terasa terlalu banyak cerita ingin dicoretkan pada bidadari kesayanganku. Buat sahabiah sahabiah yang mencariku di 'muka buku', maaf buat tika ini ingin berehat sebentar dari 'muka buku'. InshaALLAH, semuanya kerana ALLAH. Diriku ini terpanggil untuk mencoretkan sedikit pengalaman yang ku lalui dalam titipan ku sebagai seorang hamba yang mencari keredhaanNYA. Terkadang diriku ini tidak meyakini adakah aku benar benar ikhlas, cuma yang ku harapkan ALLAH SWT memandang sekecil kecil usahaku ini. Siapalah diriku ini untuk dibandingkan dengan Saidatina Khadijah, usahanya dalam perjuangan yang tidak pernah bisa kita balas. Namun kuyakini, dia pasti menikmati balasan cinta dari ALLAH SWT.

Baru baru ini berpengalaman menjaga seorang kanak kanak lelaki comel berbangsa Cina yang berumur lapan tahun. Si kecil ini dimasukkan ke hospital kerana menjalani pembedahan. Pada mulanya diriku ini endah tak endah dengan kanak kanak ini dan diriku meneruskan rutin harian ku. Seperti biasa tugas ku sekarang memastikan semua pesakit memakan ubat mereka. Kadang kadang, ada juga yang terpaksa dipujuk baru mahu makan ubat. Tatkala diriku ini menjengah dari satu kamar ke satu kamar pesakit, ku dapati kanak kanak ini menangis. Rupa rupanya si comel ini menangis mencari ibunya yang meninggalkan dia bersendirian di ward. Diriku sedaya upaya memujuknya. Alhamdulillah, tangisannya mula reda. Tidak sia sia 'kemahiran' yang diperturunkan oleh ibu dan ayahku dalam seni penjagaan kanak kanak. =)

Terimbas kembali memori silam...

"Asiah anak tunggal, mesti tak pandai jaga budak, mesti tak pernah pegang bayi".

Ini adalah antara monolog pengajarku ketika kami berpraktikal untuk menjaga pesakit kanak kanak. Alhamdulillah, apabila saat untuk memandikan bayi yang baru beberapa jam/ hari dilahirkan, diriku ini tidak kekok. Astaghfirullah al azim, bukan tujuan untuk meninggi diri tetapi hanya ingin berkongsi secebis pengalaman. Syukur kepada ALLAH SWT kerana memilih diriku ini, Asiah Yusro untuk dijadikan puteri kepada kedua ibu bapaku.

Kedua ibu bapaku amat meminati penjagaan kanak kanak. Cuma, ketentuan ALLAH SWT diterima dengan redha. Harapan untuk memperoleh anak yang ramai tidak kesampaian tetapi hanya seorang sahaja puteri yang nakal menjadi penyeri hidup mereka =P. Dari semenjak kecil sehinggai kini boleh dikira diriku sebagai seorang dewasa (tak mahu mengaku), rumah kami sememangnya sering diserikan dengan kanak kanak. Sehingga ayahku bersara, dia tidak berminat untuk menceburi bidang lain selain membantu ibuku menjaga kanak kanak. Apatahlagi diriku ini selalu menjadi 'mangsa' membantu menjaga kanak kanak di bawah jagaan ibu dan bapaku. Maka secara automatiknya, diriku ini sudah terbiasa menjaga bayi yang baru lahir, yang sudah merangkak, berjalan hatta menjaga wanita bersalin sekalipun. Mungkin, dari situ jugalah timbul minatku untuk menjadi seorang 'mumaridha'. Seringkali ayahku berpesan bahawa:

Rasulullah SAW adalah insan yang sangat disukai kanak kanak. InshaALLAH, jika disayangi dan disukai kanak kanak, kita akan disayangi oleh ALLAH dan RasulNYA, maka berbuat baiklah kepada anak anak kita.

Menyambung kembali cerita tentang diriku dan pesakit kanak kanak itu. Setelah usaha untuk memujuknya berhasil, hatiku menjadi lega. Diriku meneruskan rutin pekerjaanku seperti biasa. Pada keesokan harinya, loceng pemanggil di bilik kanak kanak tersebut sentiasa berbunyi. Jika dikira, setiap 30 minit berbunyi. Rakan rakan sekerja ku yang lain menjengah kebiliknya, tiada apa apa yang disuarakan. Namun, apabila diriku yang menjenguknya. dia mula merengek dan menangis. Ada sahaja yang tidak kena, seperti perutnya sakit, dia mahu makan bubur, dia mahu pergi ke tandas. Kadang kadang rasa geram pun ada kerana diriku ini punya tuntutan lain untuk dikerjakan. Namun pesanan ayah ku bermain main difikiran. Penat juga sehari suntuk melayan karenah si kecil ini.

Alhamdulillah, akhirnya si dia keluar dari hospital. Dirinya agak malu malu untuk mengucapkan selamat tinggal. InshaALLAH, moga ALLAH memberikan hidayah dan taufiqNYa dan semoga kanak kanak ini bertemu kebenaran sinar ISLAM. Kadang kadang satu cabaran untuk melayan karenah pesakit kanak kanak. Teringat setiap kali hendak menjarum mereka, baru nampak jarum sudah menangis meraung raung, tetapi apabila kena cucuk, tak menangis pula =P. Hati juga tidak sampai hati melihat pesakit kanak kanak yang diuji dengan penyakit kronik. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bukankah ujian yang paling berat untuk orang yang beriman adalah kematian anak? Maka di sinilah kita bermuhasabah diri, segalanya bukan kepunyaan kita. Hapuskanlah rasa memiliki tetapi suburkanlah rasa menyayangi kerana ALLAH.

Bagiku, betapa bertuahnya seorang wanita itu apabila sudah menjadi seorang ibu. Seringkali kagum melihat seorang wanita yang mengandungkan anak selama sembilan bulan. Apatahlagi, pelbagai proses dan cubaan yang perlu diharungi selama proses kehamilan tersebut. Diriku ingin sekali melihat ibuku mengandung. Namun sebagai hamba yang yakin dengan ketentuanNYA, diriku ini redha dengan ketentuanNYA. Tahniah buat ibuku yang berjaya mengharungi dugaan menghamilkan diriku selama sembilan bulan, sudah pasti diriku yang bukan srikandi solehah ini banyak karenahnya semenjak dari kandungan lagi. Takziah juga buat ibuku yang memperoleh anak yang kurang baik seperti diriku, aku ini insan yang bukan kalis dosa, cuma yang kuharapkan doa darimu wahai ibuku serta restumu dalam setiap langkah perjuanganku.

Apabila melihat tajuk artikel pasti terkejut 'aku sudah menjadi seorang ibu'. Sebenarnya buatmu wanita yang mentaklifkan dirimu sebagai pejuang agama, inshaALLAH, dirimu sebenarnya sudah bergelar seorang ibu. Dirimu yang sudah punya kefahaman islam, yang sudah punya fikrah perjuangan sudah menggalas tanggungjawab berat di bahumu. Dirimu itu adalah ibu kepada ummah. Ummah yang semakin hari semakin hanyut dihimpit nafsu dan kebobrokan diri. Maka, mereka mengharapkan dirimu untuk menjadi ibu kerana sesungguhnya fitrah seorang ibu itu adalah untuk menjadi penyelamat.

Apatah lagi buat sang naqibah sekalian, dirimu itu adalah umi kepada seluruh anak usrahmu. Itulah diriku ini lebih menyenangi jika mawar kesayanganku seperti Hidayah Zamdee atau pun ukhti Ummul Izzatin memanggilku dengan gelaran umi. Sekurang kurangnya, panggilan sebegitu mengingatkan diriku bahawa aku punya tanggungjawab untuk menjadi pemandu kepada mereka. Seperti yang selalu dikatakan, ibu bapalah yang mencorakkan diri seorang anak itu. Maka, selalunya anak anak usrah itu, mengikut cara dan corakan naqibahnya. Sedarilah wahai sahabat sahabat naqibah sekalian, kalian adalah sebenarnya seorang ibu.

Jika seorang wanita membicarakan ingin menjadi seorang ibu, pasti dibalas dengan usikan dan jenaka. Katanya tak lama lagi ingin mendirikan baitul muslim atau sudah ada tanda tanda dan sebagainya. Pemikiran sebegini seharusnya diubah oleh kita. Menjadi seorang ibu bukan fokus untuk baitul muslim semata mata. Perkara yang lebih penting adalah kita bisa menjadi ibu kepada ummah, ibu kepada perjuangan dan seterusnya ibu kepada para syuhadah. Amatlah menakutkan jika kita asyik menumpukan kepada soal pembinaan baitul muslim, sehingga kita menjadi muslimat tarbiyah yang lembik dan menduakan perjuangan. Sekiranya ALLAH telah menakdirkan kita untuk menjadi seorang ibu, inshaALLAH, kita bisa menjadi ibu untuk ummah, perjuangan, dakwah dan juga baitul muslim kita. Ameen =) . Jesteru itu, mari kita berusaha sejak dari awal, rebutlah peluang untuk kita sentiasa memperbaiki diri demi mengejar mardhotillah. Jika tidak dapat jadi Srikandi Hasan Al Banna, paling cukuplah jadilah srikandi untuk diri kita sendiri, seperti jadi Srikandi Asiah atau Srikandi Nadrah kerana kita berjuang melawan hawa nafsu kita sendiri.

Ya ALLAH.. terasa sedikit melalut juga entri kali ini. Ku pohon doa dari sahabiah sekalian agar ALLAH tuntun dan pimpin langkahku dalam jalan perjuangan yang masih jauh ini. Semoga penulisan ku yang biasa ini dapat membawa hati hati kembali mengingati TUHAN YANG SATU. Jika ada sedikit kebaikan dari penulisanku ini, sampaikanlah kepada kedua ibu bapaku, naqibah dan sahabiah tercinta serta seluruh ibu ibu yang meninfaqkan diri dalam perjuangan. Semoga kita sebagai wanita ini menyedari bahawa kita sebenarnya sudah menjadi seorang ibu. Wallahualam ^_^

Monologku: Ingin menulis dengan lebih santai, tiada tekanan... ilham datang dari ALLAH dan kerana ALLAH



0 comments:

Post a Comment