Pages

Wednesday, December 1, 2010

Adakah aku seorang jururawat muslimah?


Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah... sekali lagi diri ku yang kerdil ini diberi kekuatan oleh ALLAH SWT untuk bertinta di teratak sederhana kesayanganku. Tulisan kali ini sekadar tulisan biasa namun khas ditujukan buat sahabiyah sahabiyah yang sama sama berjuang denganku dalam satu medan jihad. Mungkin pada pandangan insan yang tidak memahami, medan jihad ini adalah satu medan biasa yang tidak punya makna apa apa. Namun bagi diriku... inilah medan jihad yang kupilih melalui istikharahku, melalui rayuanku buat sang KEKASIH yang agung dan akhirnya DIA menempatkan aku di sini yang kuyakini bersama suatu hikmah.

Seringkali ku dihujani dengan soalan
Mengapa memilih menjadi jururawat?
Apatahlagi soalan dan kerutan wajah kerap kali terpamer dari barisan sang akhwat. Malah ada yang mengatakan profession jururawat ini jarang ditemui bagi mereka yang memilih dakwah sebagai jalan juang hidupnya. Pelbagai persoalan yang dilontarkan...
Kerja jururawat yang tidak tentu masa menyukarkan gerak kerja dakwah
Pemakaian jururawat yang tidak menutup aurat dengan sempurna
Pekerjaan jururawat selalunya sinonim dengan wanita yang tidak punya fikrah agama.

Walauapapun persoalannya... pesananku sedikit sahaja
Janganlah menilai sesuatu secara superfisial sahaja. Bukankah para ummul mukminin juga terdiri daripada mereka yang menjadi jururawat. Bidadari bidadari syurga ini merawat pejuang pejuang agama yang berkorban, bertempur dalam perjuangan demi menegakkan kalimah LAILAHAILALLAH.

Kadang kala sering bertanya kepada diri sendiri, mengapa berjumpa tarbiyah setelah berada dalam perjuangan mujahadah menjadi jururawat. Sesungguhnya manusia dikurniakan akal untuk berfikir. Maka percayalah, setiap insan itu punya tanggungjawab masing masing. Dan sesungguhnya takdir ALLAH itu adalah yang terbaik buat dirinya. Biarpun kadang kala dirimu tidak rela untuk duduk ditempatmu kini, namun carilah kemanisan dalam setiap aspek kehidupan dengan berbekalkan bunga iman dan taqwa.

Kerinduan bertaut pada sang naqibah
Sesungguhnya dia begitu memahami kerjaya seorang jururawat. Malahan, naqibahlah yang menyapu air mata duka setiap kali diuji berkaitan dengan kerjaya ini. Naqibahlah juga yang meminjamkan bahu untuk menangis setiap kali mendengar kejian terhadap profesion yang amat kucintai ini.

Teringat akan satu peristiwa di mana kami sekelas mendapat panggilan temugduga dari hospital luar negara. Hatiku gembira bukan kepalang apatahlagi sifatku yang suka mengembara. Namun akhirnya berakhir dengan kesedihan apabila mereka menidakkan pemakaian tudung di hospital mereka. Sesungguhnya ku belajar sesuatu hikmah. Sememangnya aurat sering kali dipandang remeh dalam bidang kejururawatan. Malah ada yang mengatakan tudung menjadi punca jangkitan. Sungguh menghairankan... sedangkan jika difikirkan dengan logik akal, lebih banyak sumber lain yang boleh menyebabkan jangkitan seperti tali leher, pen dan sebagainya.

Naqibah menitipkan pesannya, sekiranya berhadapan dengan situasi sebegini, ALLAH ingin menguji kekuatan iman. Apatahlagi buat insan insan yang ada fikrah dan pemahaman ISLAM. Jangan dirisaukan tentang rezeki kerana ALLAH itu adil pada setiap hambaNYA. Kuncinya hanyalah kesabaran dan tidak pernah putus asa untuk meminta dariNYA. Sudah tentu kita tidak tegar untuk melihat maruah ISLAM dipijak pijak sebegitu rupa bukan?

Naqibah dan cermin ajaibku merupakan sumber kekuatan yang ALLAH pinjamkan buat masa itu. Apatahlagi di kalangan cermin ajaib, masing masing berasal dari bidang yang sama.. maka lebih mudah memahami, namun apa yang kutakuti adalah diriku kini... jauh dari naqibah, jauh dari cermin sakti... mampukah aku menjadi seorang jururawat muslimah?

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Siapa dia jururawat muslimah? Persoalan yang kelihatan mudah untuk diberikan jawapan namun ingatlah, mulut itu lebih mudah menuturkan kata kata berbanding jasad mu melakukannya. Mari kita bermuhasabah diri, kriteria kriteria jururawat muslimah, inspirasi bersama buat srikandi Ansorullah...

Bagiku, jururawat muslimah itu, di mana saja dia berada, dia sentiasa membawa tarbiyah ISLAM bersamanya. Sebelum memulakan sesuatu dia mengucapkan Bismillahirahmanirahim, setelah selesai, dia tanpa segan silu melafazkan Alhamdulillah. Sesungguhnya tarbiyah ISLAM itu akan jelas kelihatan melalui perlakuan. Amal ibadahnya sentiasa terjaga. Sanggup dia mengambil masa untuk menunaikan solat malah mengingatkan para pesakitnya agar tidak lupa sujud kepada ALLAH SWT. Kerana bagi dirinya, dimana dia berada, dia perlu sentiasa mengingatkan bahawa kita ini adalah hamba, kita harus sentiasa sujud meminta dari yang Maha Esa.

Bagiku jururawat muslimah itu, sentiasa memandang setiap individu dengan kaca mata dakwah. Pesakit yang dirawat bukan sekadar sakit luaran atau tubuh badan tetapi juga sakit hatinya. Rawatan tersebut bukan rawatan biasa tetapi rawatan menghidupkan hati dengan membawanya mengingati ALLAH SWT. Peristiwa di mana seseorang telah masuk ISLAM setelah mendengar Rasulullah SAW mengucapkan Bismillahirahmanirahim. Jururawat muslimah mestilah kreatif dalam mengatur catur dakwahnya.

Bagiku jururawat muslimah itu, perlu sentiasa berani. Dia tidak perlu gentar untuk membawa nama ISLAM. Diriku amat tertarik dengan penggunaan lencana lencana yang bertulis seperti 'Palestin di hatiku, Fear ALLAH' dan sebagainya pada uniform jururawat. Sekurang kurangnya pesakit dalam melihatnya. Biarpun kita tidak tahu hasilnya, namun hanya ALLAH swt sahaja yang bisa menilai setiap perjuangan dakwah.

Bagikut jururawat muslimah itu, harus tidak pernah kenal erti penat. Biar kerja tidak menentu masa tetapi sentiasa punya ruang untuk memikirkan gerak kerja dakwah. Mungkin langkahnya sudah tidak seligat dulu, namun dia percaya pada istilah menarik rambut dalam sepinggan tepung. Segala galanya perlu diaturkan dengan berstrategi kerana sesungguhnya muslimah tarbiyah itu sudah pasti puny kebijaksanaan mengatur masanya..

Bagiku jururawat muslimah itu adalah jururawat sebenar bukan sekadar di tempat dia bertugas tetapi juga pada luar waktu tugasannya. Dia bisa merawat hati keluarganya untuk mengamalkan ISLAM, dia bisa merawat jiwa suaminya yang lelah berjuang dalam gerak kerja ISLAM, dia bisa merawat kehausan anak anaknya yang perlu dibelai untuk membentuk mujahidin dan mujahidah ISLAM. Sesungguhnya dia bukan sahaja jururawat dirumahnya, malah untuk masyarakat sekelilingnya. Dia menjadi penguat dalam menguruskan aktiviti dakwah ISLAM disekitarnya. Dia berusaha merawat hati hati yang sakit dengan tarbiyah cinta ISLAM... subhanALLAH

Alangkah baiknya jika ciri ciri jururawat muslimah itu ada dalam diriku dan dirimu. Rasa takut juga melanda hati, mampukah diri ini menjadi seperti yang diimpikan. Buat srikandi bunga agama, ku mohon doa dan bimbinganmu, sekiranya diriku sudah terlalai dan hampir tersungkur di jalan yang panjang ini, maka hulurkanlah tanganmu, ingatkanlah diriku betapa indahnya perjuangan merebut cintaNYA berbanding hidup hanya kerana dunia yang hina. Janganlah kalian membiarkan aku terus hanyut dan akhirnya menjadi seorang yang tewas dan lari dari medan pertempuran.

Buat mereka yang bergelar jururawat, adakah dirimu benar benar telah menepati kriteria seorang jururawat muslimah? Adakah kerjaya ini yang kau temui dalam istikharah malam mu? Sesuci mana niatmu dalam mengatur langkah merawat pesakitmu? Adakah semuanya kerana ALLAH? Maka jika jawabmu semuanya kerana ALLAH, jangan sekali dikau tinggalkan kriteria jururawat muslimah itu dari dalam dirimu. Bawalah ISLAM dan perjuanganmu itu biar kemana sahaja dirimu dicampakkan. Yakinlah, jururawat itu profesion yang sangat mulia, Janganlah dikau cemarkan kemuliaannya sebaliknya teruslah menghiasinya dengan indahnya akhlak dan pekerti dirimu. Seboga semuanya hanya kerana ALLAH...

Ya ALLAH jadikanlah kami bidadari syurga!





0 comments:

Post a Comment