Khadijah radiallahu anha itu seorang yang lagenda. Kewanitaannya begitu sempurna. Dia solehah, jelitawan, bijaksana lagi bangsawan. Allah sahajalah yang mengetahui hikmah menjadikan manusia pertama yang beriman kepada Allah selepas Rasulullah saw sendiri, ialah seorang wanita.
Di bahu Khadijah tersandang amanah yang sangat berat, iaitu menjadizaujah (pasangan hidup) kepada seorang Nabi, yang terpaksa menghadapi segala macam penentangan, bahaya, dipulaukan, ancaman nyawa, demi menyampaikan firman Tuhannya. Pasti bukan senang menjadi Khadijah. Namun imannya kepada Allah, cintanya kepada suami, tiada pernah berbelah bahagi, ketika dalam bahagia atau derita, dalam tangis dan dalam tawa.
Akhirnya, dialah penghulu bidadari di syurga! Bahkan semasa hayatnya lagi, Allah sudah berkirim salam kepadanya melalui Nabi saw. Kehebatan cinta baginda kepada Khadijah tidak pernah pudar walau sekelip mata. Nama Khadijah asyik meniti di bibir baginda hingga cemburu isteri lainnya, walau setelah lama khadijah meninggal dunia. Rasulullah saw bersabda:
“Demi Allah, Allah tidak pernah menggantikan untukku isteri yang lebih baik dari Khadijah! Dia beriman padaku ketika manusia lain kufur kepadaku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain mendustakan aku. Dia memberiku harta ketika manusia lain memboikot dan mencegah harta dari sampai kepada (perjuangan) aku. Darinya aku dikurniai zuriat”.
Sesuailah dia berpasangan dengan seorang Nabi. Sungguh Allah telah memilihkan yang terbaik untuk kedua-duanya.
Hati dipenuhi rasa kasih padanya, hormat dan kagum. Macam manalah boleh wujud perempuan sehebat Khadijah?? Seteguh itu imannya, setabah itu pengorbanannya, sedalam itu cintanya. Jikalau jiwa sehebat itu ialah hasilnya, maka pastilah persediaannya juga mantap. Sudah tentulah untuk membina semula seorang wanita seperti khadijah, tidak mudah.
Untuk menyediakan seorang khadijah pastilah memerlukan masa yang bukan cuma sehari dua.
Satu lagi antara ciri paling luar biasa yang perlu ada untuk menjadi seorang khadijah, ialah kepercayaan yang penuh kepada janji-janji Allah. Di situlah letaknya ketenangan dan kebahagiaan. Yakin pada kesempurnaan rencanaNya.
“Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah lah pelindung orang-orang beriman dan kerana sesungguhnya orang-orang kafir itu tiada mempunyai perlindungan.” (Surah Muhammad : ayat 11)
“Sesungguhnya Kami akan menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman di dunia dan hari akhir.” (Surah Ghafir:ayat 51)
“Katakanlah, sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah oranag-orang beriman harus bertawakal.” (Surah at-Taubah : ayat 51)
Sudah tentu kesiapan berkorban itu, termasuklah kerelaan untuk meninggalkan hal-hal yang disukai, itsar(megutamakan orang lain lebih dari diri sendiri), kesudian untuk memahami, husnudzhon (berbaik sangka), berlapang dada, memberi dan terus memberi, akan taat dan berbakti sampai habis nyawa, walaupun ia bererti terpaksa mengetepikan kepentingan diri.
Seperti itulah bonda kita Saidatina Khadijah r.a.,kan?
0 comments:
Post a Comment