Pages

Monday, December 5, 2011

ALLAH sedang mendidikmu menjadi wanita hebat!



Bismillahirahmanirahim

Rasulullah SAW bersabda:

Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku kepada kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita

(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tarmidzi, Nasa'i dan Ibn Majah)

Benarkah begitu sukar menjadi seorang wanita? Apatah lagi seorang wanita muslimah yang mukminah? Adakah dengan menjadi seorang mukminah, seorang muslimah itu perlu bersembunyi di dalam rumah, tidak bergaul dengan sesiapa serta menutup seluruh tubuhnya? Hanya perlu terlihat dua biji mata untuk mengelakkan fitnah?

Tidakkah wanita mukminah itu juga punya peluang? Berubah mengikut peredaran waktu. Zaman sekarang adalah zaman moden. Wanita sudah berdiri sama tarafnya dengan lelaki. Wanita juga perlu ditonjolkan kedepan. Malah, wanita punya hak untuk menjadi pemimpin.

Dr.Zainab Ridhwan telah menyebut dalam kitabnya Al Islam Wa Qadhaya Al-Mar'ah:

Syariat Islam ini datang untuk menempatkan lelaki dan wanita ini pada satu lingkungan dan menjelaskan bahawa tabiat semula jadi manusia, lelaki dan wanita hampir sama. Sesungguhnya ALLAH mengurniakan kepada wanita apa yang dikurniakanNYA kepada lelaki dan menganurgerahkan kepada wanita keupayaan keupayaan yang cukup untuk memikul pelbagai tanggungwab. yang melayakkan kedua- dua jenis manusia ini melaksanakan tugas kemanusiaan yang umum dan khusus

SubhanALLAH, betapa hebatnya seorang wanita, tidak pernah sekalipun ISLAM meletakkan wanita keterbelakangan dari seorang lelaki. ISLAM adalah agama yang benar benar mengangkat martabat seorang wanita. Malah ALLAH telah berfirman dalam Surah An Nisa, ayat 124;

Barangsiapa mengerjakan amal amal soleh, lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, mereka itu masuk syurga dan tidak dianiaya walau sedikit pun.


Terbukti! Tidak pernah ada perbezaan dari segi penerimaan amalan kebaikan lelaki dan wanita. Sesiapa yang berlumba lumba melakukan kebaikan (fastobul khairat), maka dialah yang berhak mendapat pembelaan di sisi ALLAH SWT. ALLAH itu bersifat Al-Adl (Yang Maha Adil) terhadap hamba hambaNYA.

Malah Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membelakangkan wanita dalam aspek perjuangan ISLAM. Menyebut kembali kisah Hudaibiah, ketika Nabi Muhammad S.A.W mengarahkan para sahabat bertahalul dan menyembelih korban, sedangkan mereka tidak dibenarkan memasuki Makkah untuk menunaikan umrah, kerana dihalang oleh kaum Quraisy. Kaum Muslimin merasa keberatan lalu mereka tidak berkorban. Nabi Muhammad S.A.W menjadi khuatir tentang hal ini tetapi baginda juga merasa keberatan untuk menyalahi para sahabat. Justeru itu, Ummu Salamah mencadangkan agar Rasulullah SAW keluar dari rumahnya tanpa memberitahu sesiapapun dan menyembelih korbannya. Nabi Muhammad S.A.W melaksanakan pandangan isterinya. Selepas itu, semua orang segera menyembelih korban mereka. Maka berakhirlah krisis ini dengan pandangan seorang wanita kepada Rasulullah SAW.

Sesuai dengan ciptaanya yang sungguh indah dan menjadi mawar yang didambakan sang kumbang, pengaruh wanita juga amat kuat untuk menaikkan dan menjatuhkan seorang lelaki. Jangan pernah sekali terlupa bahawa permulaan keruntuhan kerajaan Firaun adalah berpunca dari isterinya. Asiah mampu menggugat pendirian Firaun yang bertegas untuk membunuh semua anak anak Bani Israel kecuali Nabi Musa A.s. Firman ALLAH:

Mudah mudahan dia berguna kepada kita atau jadikan dia anak. ( Al-Qasas:9)
Namun yang paling istimewa lagi mengagumkan iaitu keteguhan Asiah beriman kepada ALLAH SWT yang Maha Esa dan mengingkari ketuhanan Firaun.

Sahabat sahabat yang dikasihi kerana ALLAH,

Bersyukurlah dengan sepenuh hati kerana dilahirkan sebagai wanita ISLAM kerana hakikatnya ISLAM adalah penyelamat kepada kemuliaan seorang wanita. Mengambil beberapa contoh kepercayaan kaum kaum tertentu terhadap wanita, kaum Yahudi memandang wanita sebagai laknat yang wajib dijauhi dan tidak dapat dipercayai untuk menjaga rahsia atau tugas tertentu. Kaum Yahudi percaya bahawa 'wanita itu lebih kejam daripada kematian' sebagaimana yang telah disebutkan dalam Kitab Taurat mereka.


Pandangan kaum Nasrani terhadap wanita juga lebih cenderung memberikan hukum yang menghina, melecehkan dan membenci kaum wanita. Malah peradaban Barat sendiri dipengaruhi oleh asas agama Nasrani. Jika tidak, masakan peradaban barat cenderung untuk memperagakan wanita mereka. Wanita dijadikan alat untuk menaik nafsu, mencari wang dan sebagainya. Bukankah ini sebenar benarnya diskriminasi terhadap wanita?

Di sebuah wilayah di Perancis tahun 1281, misalnya diadakan persidangan berkisar wanita dengan tema: Wanita, Manusia atau Bukan Manusia?. Persidangan itu malah melahirkan keputusan bahawa wanita adalah manusia yang sengaja diciptakan untuk melayani lelaki.

Malah bukti yang paling kukuh adalah kedudukan wanitayang begitu keterbawahan dalam masyarakat Arab Jahiliyyah sendiri sebelum kedatangan ISLAM seperti contoh contoh berikut:

1) Dilarang untuk mendapat hak waris
2)Tidak ada batasan jumlah isteri dalam pernikahan. Seorang lelaki boleh menikah lebih dari satu isteri tanpa batas
3)Isteri termasuk harta peninggalan suami. Ketika suami meninggal, isteri menjadi warisan bagi anak anaknya di mana si pewaris bebas menikahi atau menikahkannya dengan siapapun.
4) Mengubur hidup hidup anak perempuan. Kelahiran bayi perempuan merupakan aib.

Alangkah bertuahnya kerana dilahirkan dalam suasana wanita begitu diraikan dan diangkat martabatnya dalam ISLAM. Malah, wanita kini diberikan peluang untuk bekerjaya dan menerima pendidikan. SubhanALLAH, dengan peluang sebegini sewajarnya seorang wanita bisa menjadi hebat untuk berbakti kepada agama dan bangsa.

Setelah segala kebaikan dan rahmat yang diberikan sebagai wanita ISLAM yang mukminah, apa lagi yang perlu dinantikan? Bukan sudah tiba masanya generasi wanita ISLAM untuk segera bangkit berjuang. Perbezaan gender bukanlah halangan besar untuk meraih gelaran bidadari syuhadah di sisi ALLAH.

Wanita memang terkenal dengan kelembutannya, tetapi yang sebenarnya lembut itu adalah sumber kekuatan bukan kelemahan. Cara dakwah yang terbaik juga melalui kelembutan. Bukankah ALLAH SWT berfirman dalam surah Taha ayat 43-44:

Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata kata yang lemah lembut, mudah mudahan ia ingat ataupun takut.

ALLAH SWT mengajarkan, untuk mendekati manusia seperti Firaun juga adalah menggunakan kaedah lemah lembut. Bukankah ini satu bonus istimewa buat wanita? Fitrah mu tercipta semulajadi dengan kelembutannya, maka seharusnya kau manfaatkan sebaiknya. Cuma awas, jangan disalahgunakan kelembutan itu untuk menarik yang tidak halal mendekatimu kerana itu bakal membawa bencana dan menjadikan dirimu itu sendiri sebagai bencana.

Sebagai wanita, mungkin kau juga tidak punya kudrat sehebat kaum pendampingmu seorang lelaki. Namun jangan pernah lupa, memori istimewa seorang lelaki adalah ketika dia pernah menumpangi rahim ibunya selama sembilan bulan. Disitulah terbuktinya kekuatan kudratmu. Janin yang dikandung itu berkongsi nyawa dengan mu. Maka, jangan sekali pernah putus asa, sebaliknya beriltizam lah untuk melahirkan mujahid dan mujahidah yang bakal meneruskan perjuangan.

Buat wanita yang tidak berpeluang keluar di medan jihad, jangan pernah sekali berasa gundah. Terdapat sebuah kisah menarik yang bisa menjadi pembakar semangat. Hadis riwayat Anas Bin Malik menceritakan perihal Salamah, ibu susuan Ibrahim, putera Rasulullah SAW dan Mariah al-Qibtiah, dia bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan khabar gembira dalam segala hal untuk kaum lelaki tetapi tidak untuk kaum wanita."

Rasulullah SAW berkata, " Adakah rakan rakanmu menghantarmu untuk bertanya seperti itu?"

Jawabnya, "Benar, mereka menyuruhku."

Lalu baginda berkata:

Tidaklah seorang antara kamu merasa reda jika dia hamil daripada benih suaminya dan suaminya bangga dengan kehamilannya itu. Wanita tersebut mendapat pahala sama dengan seorang berpuasa dan berdiri malam di jalan ALLAH dan apabila wanita itu menderita sakit sewaktu melahirkan, maka betapa kegembiraan yang dirasakan dengan lahir permata hatinya yang tidak diketahui penghuni langit dan bumi
Biar tidak bergerak ke medan jihad, tetapi punya sesuatu untuk disumbangkan ke aras perjuangan. Malah kerelaan wanita itu sendiri mempersiapkan suami atau mahramnya bermujahadah di jalan ALLAH, pasti memberikan ganjaran yang sangat besar untuknya di syurga. Apatahlagi jika dirinya turut bersedia untuk menyediakan diri untuk turut berjuang.


Semoga melalui perkongsian yang sedikit ini, bisa membakar semangat wanita wanita kerinduan pemuda syurga untuk terus berjuang menegakkan agama di jalannya. Sememangnya seorang wanita itu tidaklah sempurna, pasti ada kekurangannya. Tetapi percayalah bahawa dengan kekurangan itu sebenarnya, ALLAH sedang mendidikmu menjadi wanita hebat. Tak perlu resah dan gelisah jika berasakan diri tidak cukup cantik, tidak cukup ilmu, tidak cukup lembut, tidak cukup ayu dan sebagainya. Setiap kelebihan dan kekurangan seorang wanita adalah didikan ALLAH padanya.

Terima CINTA atas segalanya
Jangan gentar, jangan putus asa, teruskan melangkah!
Kerana kita memburu gelaran bidadari syurga! ^_^


Coretan hatiku: Maaf, belum berkesempatan menyambung cerita, Hei ya kamu di sana, pergi buat kerja dakwah. Sedang mencari kekuatan... insyaALLAH, doakan!

Sumber rujukan:

Al Quran dan Sunah (tetap dan utama)
1) Kedudukan Wanita dalam ISLAM ~ Sheikh Abdul Majid Subhi
2)Fiqh Wanita Muslimah~ Dr.Abdul Qadir Muhammad Mansur
3)Menjadi wanita super dengan Asmaul Husna~ Sulaiman Al- Kumayi
4)Sebarkan CintaMU~ Ustazah Fatimah Syarha
5) Solusi 38~ Syurga itu Benar

0 comments:

Post a Comment