Pages

Sunday, December 18, 2011

Cabaran menjadi seorang jururawat Muslimah

Bismillahirahmanirahim

Dengan penuh rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT, saya diberi peluang untuk menulis sekali lagi. Coretan saya ini saya tujukan buat seorang adik istimewa yang saya rasa punya potensi besar untuk menjadi srikandi agama. Melihat kesungguhannya kepada pengislahan dan amal islami menyebabkan saya seolah olah melihat namanya mekar seperi Khaulah binti al Azwar Al kindi. Srikandi misteri di zaman Rasulullah SAW. Untukmu adikku Khaulah Al Adawiyah, semoga tulisan ini bermanfaat sesama kita, kerana sudah tentu kita ingin ALLAH melihat kita dengan pandangan kasih sayangNYA.

Mesej di Mukabuku A.K.A Facebook

assalam akq..asif ganggu..sye ade bace blog akq..akq nurse kan??sy pun bakal pelatih nursing ...hm sy tkut la akq..sy tkut kalau xdpat handle..tkut pressure bile msuk nursing ni cause sy dpat twaran nursing kkm..mak ayh suruh masuk..jdi sy pun bhenti blajar di matrikulasi n tnggu kemasukan nursing 3.01.12 ni...macam mane akq bt baju nursing tu??sbb yg macm kite tahu bju nrse tu sume sendat2?? mcam mane akq handle pressure ea?sbb sy ade tnye kkaq2 nursing..dye ckap tnsion...so sy tkut..lagipun sy kne blajar nursing di phang..kt sane saye xde sedare o shabat..sy nk taw mcam mane pglaman akq handle pesakit...ksbaran etc..sbb sy rase sy perlukan semangat dri muslimah yg jdi nurse(sbb sincerely sy xtfikir pun nk jdi nurse n cite2 sy lain benar dari nurse) sy bca blog akq n alhamdulillah..bgi sy akq alim n baik..bukn sng saye nk jumpe nurse camni..jadi sy ambek pluang ni utk tnye akq..harap akq xlokek utk kongsi pnglaman n nsihat..insyaAllah..moga Allah berkati hdup akq :)

Khaulah AL Adawiyah.

Inilah jawapanku untukmu...

Niat

Adikku, setiap permulaan pekerjaan atau perbuatan yang kita lakukan, biarlah segalanya kerana ALLAH. Maka, sebelum memasuki alam pembelajaran bidang kejururawatan, ikhlaskan hati semata mata kerana ALLAH SWT.

Dalam kitab karangannya yang bernama Matan Arbain, Imam Nawawi meletakkan hadis berkaitan niat sebagai yang pertama iaitu

'Dari Amirul Mukminin Umar Al Khatab R.A katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:- Bahawasanya amalan amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada ALLAH dan RasulNya, maka hijrahnya itu kepada ALLAH dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'

Sebelum memulakan langkah pertama, sematkan di dalam diri bahawa pemilihan bidang ini semata mata kerana ALLAH, dan galakan kedua orang tua sebagai asbabnya. Bersolat istikharah dahulu untuk mendapat keyakinan dari ALLAH bahawa bidang ini yang bersesuaian dengan masa depan adik dan yang terbaik untuk akhirat dan agamamu. InsyaALLAH, jika kita meletakkan ALLAH sebagai yang paling utama, segala urusan kita akan dipermudahkan dunia dan akhirat.

Adikku,

Ingin kakak kongsikan di sini, dengan sedikit pengalaman kakak yang hanya berusia setahun jagung ini berkenaan cabaran untuk menjadi jururawat muslimah. InsyaALLAH, sama sama kita nilai dan ambil iktibar. Malah, kakak juga mengharapkan agar coretan ini bisa menjadi panduan buat semua jururawat dan bakal jururawat muslimah.


Cabaran 1: Uniform Jururawat

Ini adalah cabaran yang paling hebat dalam bidang kejururawatan di Malaysia apatahlagi untuk seorang jururawat Muslimah. Jujurnya adikku, kakak sendiri mengakui bahawa dulunya kakak bukanlah seperti yang adik gambarkan serta fikirkan. Kakak punya masa silam yang kelam dan jauh dari mengenal Tuhan serta agamaNYA. Alhamdulillah, kakak yang sedang menulis sekarang adalah insan yang ALLAH sudah sentuh hatinya untuk berubah. Kakak sedang masih kuat bermujahadah untuk mengikis karat karat jahiliyah yang masih berbaki dalam jiwa kakak. Kakak tidak pernah ingin mnyembunyikan masa silam kakak kerana bukan untuk membuka keaiban tetapi kakak ingin berkongsi manisnya saat hidayah menyapa hati. Sesungguhnya kasih sayang ALLAH SWT adalah milik hamba hambaNYA.

Atas faktor kurangnya pengetahuan kakak berkaitan ISLAM, maka kakak tidak begitu ber'susah hati' berkaitan uniform jururawat semasa kakak mula mula memilih bidang ini terlebih dahulu. Akhirnya, apabila ALLAH menyentuh hati kakak, ketika itu kakak sudah berada di akhir kursus kejururawatan. Kakak betul betul keliru kerana kakak berasakan kakak sudah tidak boleh berpatah lagi dan kakak hampir melengkapkan pengajian kakak ketika itu. Ibubapa kakak juga sangat berharap agar kakak meneruskan jururawat sebagai kerjaya kakak. Sesungguhnya kakak tidak sampai hati untuk berhenti begitu sahaja kerana ibubapa kakak sudah bersusah payah agar kakak dapat melanjutkan pelajaran.

Alhamdulillah adikku, ketika itu kakak berpeluang merasai nikmat ditarbiyah biarpun hanya sekejap. Kakak berpeluang menyertai kumpulan usrah di mana kakak mempunyai seorang naqibah dan juga sahabat sahabat usrah terdiri daripada pelajar kejururawatan dan perubatan sendiri. Setelah taujihat dan kekuatan yang diberikan oleh naqibah dan rakan rakan usrah kakak, maka kakak beristikharah kepada ALLAH. Jika benar pekerjaan jururawat itu yang terbaik untuk akhirat, agama, tarbiyah dan perjuangan kakak, maka kakak minta kepada ALLAH agar mengekalkan kakak dalam bidang kejururawatan ini.

Walaubagaimanapun, terlalu banyak mehnah dan tribulasi bagi seorang pelajar jururawat muslimah. Adakalanya, kami tidak dibenarkan untuk memakai baju berlengan panjang atas alasan takut menyebarkan kuman kepada pesakit. Namun adikku, kakak ini seorang yang sangat keras. Atas semangat 'kamikaze' yang kakak miliki, kakak merupakan seorang pelajar yang paling degil, kakak sering sahaja curi curi mengenakan sarung lengan. Kakak selalu ditegur oleh pengajar ketika itu. Namun kakak tidak takut wahai adikku. Kakak yakin ALLAH bersama kakak dan keteguhan hati itu juga adalah hasil tarbiyah yang akak perolehi melalui usrah.

Malah, ujian yang paling getir sepanjang kakak bergelar pelajar kejururawatan adalah ketika kakak dan rakan rakan sepengajian dipanggil untuk sesi temuduga bekerja di luar negara. Kakak sungguh teruja untuk bekerja di negara orang atas alasan untuk menimba pengalaman. Tetapi yang menyedihkan adalah kami diminta untuk tidak bertudung jika ingin bekerja bersama mereka. Maka sudah tentu wahai adikku, kakak tidak akan memandang untuk bekerja bersama hospital itu lagi jika perlu menggadaikan prinsip agama yang kakak pegang.

Itu baru dugaan ketika bergelar seorang pelajar jururawat dan belum lagi ketika bergelar seorang jururawat sebenar. Cabaran lebih hebat menanti setelah melangkah ke alam pekerjaan. Sebenarnya ketika berada di luar kawasan kerja, kakak lebih suka mengenakan jubah dan bertudung labuh. Bukan niat untuk riak atau menunjuk nunjuk adikku tetapi sesungguhnya kakak amat meyakini bahawa tudung labuh amat menjaga seorang wanita muslimah dan itulah izzah yang perlu kakak banggakan. Namun adikku, kakak mengalami kesukaran dan kadang kadang berasa sedikit terkilan kerana ada yang mempertikaikan kenapa kakak perlu bertudung labuh sedangkan kakak bekerja sebagai seorang jururawat. Hal ini menimbulkan tanda tanya pada fikiran kakak, adakah tudung labuh hanya untuk mereka yang bergelar ustazah dan lepasan agama sahaja? Adakah sebagai seorang jururawat tidak mempunyai hak untuk bertudung labuh? Selain itu, sedikit mengecewakan bahawa isu ini dibangkitkan juga oleh muslimah yang bertudung labuh dan juga insan yang ditarbiyah. Kakak tidak ingin menimbulkan mana mana isu sensitif namun cukuplah kita mengambil kisah ini sebagai pengajaran.

Alhamdulillah, kakak diterima bekerja di sebuah hospital swasta yang membenarkan untuk mengenakan lengan panjang. Namun hal yang menyedihkan adalah tudung masih perlu dimasukkan di dalam baju. Kakak sengaja mengubah suai uniform kakak agar lebih besar untuk mengelakkan terdedahnya bentuk badan. Pada awal permulaan kakak bekerja, kakak sering menjadi bahan ketawa kerana ada insan insan yang mengatakn uniform kakak yang terlebih besar sehingga menyebabkan kakak kelihatan seperti seorang badut. Pada mulanya, ada sedikit rasa terkilan di hati kakak, namun apabila mengingati semuanya kerana ALLAH, kakak kuatkan hati juga untuk terus bekerja. Malah untuk pengetahuan adik , kakak memakai tudung labuh ketika pergi bekerja dan mengeluarkan tudung kakak pada masa masa yang kakak rasakan bersesuaian. Sesungguhnya kekuatan itn datang dari ALLAH SWT.

Cabaran 2: Masa

Masa pekerjaan sebagai seorang jururawat sememangnya tidak menentu. Kadangkala perlu bekerja waktu pagi, petang atau malam. Tidak dinafikan pada mulanya kakak mengalami sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri. Namun ini bukan fokus utama yang perlu kakak 'highlight'kan di sini. Fokus utama adalah perlunya MUJAHADAH seorang jururawat untuk menjaga waktu solatnya. Apabila bekerja waktu pagi, sedikit kesukaran untuk menjaga waktu Zohor dan solat sunah dhuha, apabila bekerja waktu petang, ada dua waktu penting yang perlu dijaga iaitu waktu Asar dan juga Maghrib dan yang terakhir sekali apabila bekerja pada waktu malam, susahnya untuk menjaga solat isyak dan tahajud di sepertiga malam.

Sedikit menyedihkan apabila terdapat segelintir jururawat yang tidak cekap dalam menjaga waktu solat. Alasan utama adalah pakaian yang kotor kerana melakukan prosedur seperti membersihkan pesakit. Namun sesungguhnya ISLAM telah menggariskan panduan tertentu dari segi kesucian untuk menyempurnakan solat. Dan sekiranya benar benar ikhlas untuk mengerjakan solat, sudah pasti berusaha untuk menunaikannya kerana solat merupakan waktu pertemuan yang dinanti untuk bertemu ALLAH SWT.

Selain itu, keadaan ward yang terlalu sibuk juga menyebabkan jururawat tidak berpeluang untuk mengerjakan solat. Malah terdapat jururawat yang takut untuk meninggalkan pesakit yang berkeadaan kurang baik kerana khuatir keadaan pesakit boleh berubah bila bila masa dan ketika itu mereka sedang bersolat. Sesibuk mana pun kita, sesungguhnya Nabi Sulaiman A.s adalah manusia yang paling sibuk. Dia mentadbir alam ini secara keseluruhannya. Jin, angin dan haiwan juga tunduk kepada kekuasaanya. Tetapi Nabi Sulaiman A.s masih punya masa untuk menyembah ALLAH SWT, apatah lagi berbanding dengan kesibukan kita yang hanya sedikit ini. InsyaALLAH, berkaitan hukum bolehnya qada solat ketika bekerja akan kakak kupas pada entri yang lain pula.

Adikku,

Pekerjaan sebagai seorang jururawat juga menguji kesabaran kita apatahlagi jika kita terlibat dalam usrah dan program dakwah. Kadangkala, sebagai jururawat, perlu bekerja pada hujung minggu dan cuti sedangkan selalunya program usrah dan dakwah dijalankan pada hari hari tersebut. Syukur wahai adikku, ALLAH sekali lagi menolong kakak iaitu hospital kakak bekerja mudah untuk mendapatkan cuti atau menggantikan waktu bekerja kepada orang lain. Malah, sekiranya terdapat program hujung minggu, kakak selalu meminta untuk bekerja pada waktu malam agar pada waktu siangnya kakak dapat berprogram. Sungguh adikku, selepas kerja malam, mujahadah yang sangat tinggi diperlukan untuk melawan rasa keletihan dan mengantuk. Namun, sekali lagi apabila teringatkan ALLAH dan perjuangan RasulNYA, maka serta merta keletihan dan mengantuk itu hilang. Selagi kita bekerja untuk akhirat, kepenatan kita akan hilang dan kebaikan kita pasti akan kekal berbanding jika kita bekerja untuk dunia, bukan sahaja penat tetapi tidak ada balasannya di akhirat nanti.

Pernah seorang sahabat usrah berkali kali meminta kakak berhenti kerja kerana berasakan pekerjaan kakak tidak bagus dan tidak sesuai untuk gerak kerja dakwah. Malah, kakak pernah mengambil keputusan sehingga hampir menulis surat perletakan jawatan. Ya ALLAH, sesungguhnya ALLAH sayangkan kakak. Kakak tidak terburu buru untuk membuat keputusan melainkan beristikharah kepada ALLAH. ALLAH masih mengekalkan kakak dalam pekerjaan ini, dan kakak berjanji untuk terus melakukan yang terbaik kerana ALLAH. Biarpun kakak sibuk bekerja, kakak sentiasa mengambil berat soal usrah dan program dakwah seperti program ISLAM, ceramah dan sebagainya. Kakak yakin adikku, ini adalah sumber kekuatan kakak untuk terus kekal dalam hidayah dan taufiqNYA. Tanpa usrah dan tarbiyah, kakak bukanlah insan pemilik blog Layakkah Aku menjadi bidadari syurga ini dan mungkin kakak akan terus hanyut dalam penyakit cinta dunia.

Cabaran 3: Fitnah

Adikku,

Rasulullah SAW sendiri berpesan bahawa wanita itu merupakan fitnah terbesar dalam dunia. Ingin kakak ingatkan di sini bahawa pekerjaan jururawat juga bisa menjadikan seorang wanita itu sebagai fitnah dunia. Bukan niat kakak untuk menakutkan adikku tetapi kakak ingin adikku bersedia dengan benteng pertahanan iman. Apabila menjadi seorang jururawat, kita akan bertemu dengan segenap lapisan masyarakat. Tidak dinafikan, kadang kadang terdapat pesakit atau ahli keluarga pesakit atau rakan rakan sekerja dan sebagainya yang mudah tertarik dengan wanita yang bekerja sebagai jururawat. Wanita yang bekerja sebagai jururawat dilambangkan sebagai wanita yang mempunyai kelembutan. Tulisan ini bukan bertujuan untuk riak adikku tetapi ini adalah realiti yang bukan sahaja dihadapi oleh kakak tetapi juga rakan rakan kakak. Kadang kadang terdapat gangguan semasa bekerja seperti meminta nombor telefon, memohon untuk berkenalan, memberi hadiah perkenalan dan sebagainya. Nauzubillah min zalik, mohon perlindungan ALLAH agar kita jauh daripada fitnah.

Maka nasihat kakak buat semua, adalah lebih selamat jika seorang jururawat muslimah itu mengenakan cincin pada jari untuk keselamatan. Mungkin ada yang membantah cadangan kakak tetapi dari pengalaman kakak sendiri cara ini adalah lebih berkesan untuk mengelakkan kita daripada diganggu. Sebelum ini kakak lebih suka berhelah mengatakan bahawa kakak sudah berumah tangga namun kakak sangat takut helah ini menjadi dosa dosa yang menyebabkan hilangnya keberkatan dalam pekerjaan kakak. Jadi, kakak lebih selesa mengenakan cincin sebagai langkah keselamatan.

Tidak dinafikan bahawa terdapat golongan yang tidak bersetuju dengan cara kakak. Mereka berasakan bahawa dengan pekerjaan jururawat memudahkan urusan pencarian jodoh. Sesungguhnya kakak yakin bahawa setiap jodoh, ajal maut dan rezeki ditentukan ALLAH SWT. Prinsip yang kakak pegang adalah

Be a BEST MUSLIM, will BUILD BESTEST BAITUL MUSLIM

Kakak rasa tidak perlulah seorang jururawat muslimah itu terlalu berlembut dengan pesakit yang berlainan jantina. Biarlah dalam setiap kelembutan ada ketegasan. Ketegasan untuk menjadi peribadi kita sebagai wanita ISLAM, menjaga maruah kita sebagai wanita ISLAM sekaligus untuk membersihkan labelan kepada jururawat yang kononnya lebih kepada wanita penggoda. Kesolehan dan kesolehahan seorang lelaki dan wanita bergantung kepada kerjasama mereka berdua. Namun, jika lelaki mudah menggoda dan wanita mudah menerima, bagaimana gelaran soleh dan solehah itu bisa dirai?


Selain itu, terdapat isu yang ditimbulkan rakan usrah kakak sendiri yang juga bergelar seorang jururawat. Dia menyatakan kerisauannya bahawa tidak ada lelaki yang ditarbiyah (lelaki yang mengikuti usrah) untuk memilih wanita yang ditarbiyah (wanita yang mengikuti usrah) tetapi bekerja sebagai seorang jururawat untuk dijadikan isteri. Hal ini kerana faktor masalah uniform, masa kerja yang tidak tentu, labelan terhadap pekerjaan jururawat dan sebagainya. Namun bagi kakak, sekiranya ada lelaki yang menjadikan alasan pekerjaan jururawat untuk menolak wanita yang beragama, sesungguhnya lelaki tersebut berfikiran cetek. Bukankah Hasan Al Banna sendiri menyatakan bahawa 'kenyataan hari ini adalah mimpi kelmarin dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok'. Jika si suami hanya inginkan isteri di dunia, maka sudah tentu dia memilih yang paling sempurna, tetapi sebenarnya yang sangat sempurna itu juga merugikan kerana dia sudah tidak ada ruang untuk memberi ganjaran pahala pada dirinya untuk membentuk isterinya itu. Namun, jika dia inginkan isteri dunia dan bidadari akhirat, maka sudah tentu dia merebut pahala berharga untuk mentarbiyah diri dan juga isterinya sehingga isterinya itu menjadi bidadari yang paling indah di syurgaNYA nanti.

Adikku...

Rasanya cukup di sini sahaja perkongsian dari diri kakak yang kerdil ini. Semoga ALLAH memudahkan urusan adikku ini. InsyaALLAH, jika ada peluang, ALLAH pasti pertemukan kita.

Sebelum memulakan pengajian, sedikit pesanan kakak titipkan buat adikku tersayang;

1) Ikhlaskan niat kerana ALLAH
2) Beristikharah sebelum membuat keputusan
3) Ikutilah usrah dan mana mana program pembaikan diri demi ISLAM. Pilihlah usrah yang terbaik, yang meletakkan ISLAM tertinggi sekali dan lengkap, bukan separuh separuh. ISLAM dipratikkan dalam semua lapangan termasuk ekonomi, politik, kepimpinan dan sebagainya.
4) Bersabarlah dan berteguhlah atas setiap cabaran yang diberikan kerana seusngguhnya, ALLAH sedang menyayangi mu ^_^

Wasalam.....

Bismillahiramanirahim

~ Tulisan ini untuk kedua ibubapa ku.. kalianlah syurgaku
~ untuk insan insan yang mentarbiyahku
~ buat semua adik adik di bumi tarbiyah dalam bidang kejururawatan dan perubatan
~ buat semua jururawat jururawat muslimah serta bakal jururawat muslimah
~ buat bunga agama yang merindukan pembaikan diri
~ buat mujahid dan yusra yang menanti ku di syurga... semoga ALLAH menganugerahkan syahid untukku.... AMEEN ^_^


Pautan:






P/s: Akhi Roslani, minta izin kongsi artikel enta

Friday, December 16, 2011

Sepi











Kadang kala kita perlu menyepi...
Untuk mencari kembali kekuatan diri yang hilang...

Adakalanya kita perlu menyepi...
Untuk mencari ketenangan hati...

Adakalanya perlu menyepi...
Untuk kebaikan diri sendiri...
Adakalanya sepi itu indah....

Wednesday, December 14, 2011

Ameen kan doa ini ;)



Bismillahirahmanirahim

Ya ALLAH, atas segala yang berlaku, jika benar KAU ingin me’rehat’kan diriku, aku redha dan aku lepaskan semua ini, tetapi ya ALLAH jangan lah KAU biarkan diri ini direhatkan sehingga kematianku, kerana ku terlalu ingin merasai penat lelah memburu syurgaMU dan merasai sebenar benar rehat di syurgaMU…. tetapkanlah hati ku di jalan perjuangan ini….. aku tidak pernah ingin meninggalkannya namun ya ALLAH, ku serahkan kedudukan ku dalam perjuangan ini kepada MU kerana aku yakin KAU pasti akan mengembalikan diriku seperti mana ENGKAU menjemputku…. AMEEN ^_^



Monday, December 5, 2011

ALLAH sedang mendidikmu menjadi wanita hebat!



Bismillahirahmanirahim

Rasulullah SAW bersabda:

Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku kepada kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita

(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tarmidzi, Nasa'i dan Ibn Majah)

Benarkah begitu sukar menjadi seorang wanita? Apatah lagi seorang wanita muslimah yang mukminah? Adakah dengan menjadi seorang mukminah, seorang muslimah itu perlu bersembunyi di dalam rumah, tidak bergaul dengan sesiapa serta menutup seluruh tubuhnya? Hanya perlu terlihat dua biji mata untuk mengelakkan fitnah?

Tidakkah wanita mukminah itu juga punya peluang? Berubah mengikut peredaran waktu. Zaman sekarang adalah zaman moden. Wanita sudah berdiri sama tarafnya dengan lelaki. Wanita juga perlu ditonjolkan kedepan. Malah, wanita punya hak untuk menjadi pemimpin.

Dr.Zainab Ridhwan telah menyebut dalam kitabnya Al Islam Wa Qadhaya Al-Mar'ah:

Syariat Islam ini datang untuk menempatkan lelaki dan wanita ini pada satu lingkungan dan menjelaskan bahawa tabiat semula jadi manusia, lelaki dan wanita hampir sama. Sesungguhnya ALLAH mengurniakan kepada wanita apa yang dikurniakanNYA kepada lelaki dan menganurgerahkan kepada wanita keupayaan keupayaan yang cukup untuk memikul pelbagai tanggungwab. yang melayakkan kedua- dua jenis manusia ini melaksanakan tugas kemanusiaan yang umum dan khusus

SubhanALLAH, betapa hebatnya seorang wanita, tidak pernah sekalipun ISLAM meletakkan wanita keterbelakangan dari seorang lelaki. ISLAM adalah agama yang benar benar mengangkat martabat seorang wanita. Malah ALLAH telah berfirman dalam Surah An Nisa, ayat 124;

Barangsiapa mengerjakan amal amal soleh, lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, mereka itu masuk syurga dan tidak dianiaya walau sedikit pun.


Terbukti! Tidak pernah ada perbezaan dari segi penerimaan amalan kebaikan lelaki dan wanita. Sesiapa yang berlumba lumba melakukan kebaikan (fastobul khairat), maka dialah yang berhak mendapat pembelaan di sisi ALLAH SWT. ALLAH itu bersifat Al-Adl (Yang Maha Adil) terhadap hamba hambaNYA.

Malah Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membelakangkan wanita dalam aspek perjuangan ISLAM. Menyebut kembali kisah Hudaibiah, ketika Nabi Muhammad S.A.W mengarahkan para sahabat bertahalul dan menyembelih korban, sedangkan mereka tidak dibenarkan memasuki Makkah untuk menunaikan umrah, kerana dihalang oleh kaum Quraisy. Kaum Muslimin merasa keberatan lalu mereka tidak berkorban. Nabi Muhammad S.A.W menjadi khuatir tentang hal ini tetapi baginda juga merasa keberatan untuk menyalahi para sahabat. Justeru itu, Ummu Salamah mencadangkan agar Rasulullah SAW keluar dari rumahnya tanpa memberitahu sesiapapun dan menyembelih korbannya. Nabi Muhammad S.A.W melaksanakan pandangan isterinya. Selepas itu, semua orang segera menyembelih korban mereka. Maka berakhirlah krisis ini dengan pandangan seorang wanita kepada Rasulullah SAW.

Sesuai dengan ciptaanya yang sungguh indah dan menjadi mawar yang didambakan sang kumbang, pengaruh wanita juga amat kuat untuk menaikkan dan menjatuhkan seorang lelaki. Jangan pernah sekali terlupa bahawa permulaan keruntuhan kerajaan Firaun adalah berpunca dari isterinya. Asiah mampu menggugat pendirian Firaun yang bertegas untuk membunuh semua anak anak Bani Israel kecuali Nabi Musa A.s. Firman ALLAH:

Mudah mudahan dia berguna kepada kita atau jadikan dia anak. ( Al-Qasas:9)
Namun yang paling istimewa lagi mengagumkan iaitu keteguhan Asiah beriman kepada ALLAH SWT yang Maha Esa dan mengingkari ketuhanan Firaun.

Sahabat sahabat yang dikasihi kerana ALLAH,

Bersyukurlah dengan sepenuh hati kerana dilahirkan sebagai wanita ISLAM kerana hakikatnya ISLAM adalah penyelamat kepada kemuliaan seorang wanita. Mengambil beberapa contoh kepercayaan kaum kaum tertentu terhadap wanita, kaum Yahudi memandang wanita sebagai laknat yang wajib dijauhi dan tidak dapat dipercayai untuk menjaga rahsia atau tugas tertentu. Kaum Yahudi percaya bahawa 'wanita itu lebih kejam daripada kematian' sebagaimana yang telah disebutkan dalam Kitab Taurat mereka.


Pandangan kaum Nasrani terhadap wanita juga lebih cenderung memberikan hukum yang menghina, melecehkan dan membenci kaum wanita. Malah peradaban Barat sendiri dipengaruhi oleh asas agama Nasrani. Jika tidak, masakan peradaban barat cenderung untuk memperagakan wanita mereka. Wanita dijadikan alat untuk menaik nafsu, mencari wang dan sebagainya. Bukankah ini sebenar benarnya diskriminasi terhadap wanita?

Di sebuah wilayah di Perancis tahun 1281, misalnya diadakan persidangan berkisar wanita dengan tema: Wanita, Manusia atau Bukan Manusia?. Persidangan itu malah melahirkan keputusan bahawa wanita adalah manusia yang sengaja diciptakan untuk melayani lelaki.

Malah bukti yang paling kukuh adalah kedudukan wanitayang begitu keterbawahan dalam masyarakat Arab Jahiliyyah sendiri sebelum kedatangan ISLAM seperti contoh contoh berikut:

1) Dilarang untuk mendapat hak waris
2)Tidak ada batasan jumlah isteri dalam pernikahan. Seorang lelaki boleh menikah lebih dari satu isteri tanpa batas
3)Isteri termasuk harta peninggalan suami. Ketika suami meninggal, isteri menjadi warisan bagi anak anaknya di mana si pewaris bebas menikahi atau menikahkannya dengan siapapun.
4) Mengubur hidup hidup anak perempuan. Kelahiran bayi perempuan merupakan aib.

Alangkah bertuahnya kerana dilahirkan dalam suasana wanita begitu diraikan dan diangkat martabatnya dalam ISLAM. Malah, wanita kini diberikan peluang untuk bekerjaya dan menerima pendidikan. SubhanALLAH, dengan peluang sebegini sewajarnya seorang wanita bisa menjadi hebat untuk berbakti kepada agama dan bangsa.

Setelah segala kebaikan dan rahmat yang diberikan sebagai wanita ISLAM yang mukminah, apa lagi yang perlu dinantikan? Bukan sudah tiba masanya generasi wanita ISLAM untuk segera bangkit berjuang. Perbezaan gender bukanlah halangan besar untuk meraih gelaran bidadari syuhadah di sisi ALLAH.

Wanita memang terkenal dengan kelembutannya, tetapi yang sebenarnya lembut itu adalah sumber kekuatan bukan kelemahan. Cara dakwah yang terbaik juga melalui kelembutan. Bukankah ALLAH SWT berfirman dalam surah Taha ayat 43-44:

Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata kata yang lemah lembut, mudah mudahan ia ingat ataupun takut.

ALLAH SWT mengajarkan, untuk mendekati manusia seperti Firaun juga adalah menggunakan kaedah lemah lembut. Bukankah ini satu bonus istimewa buat wanita? Fitrah mu tercipta semulajadi dengan kelembutannya, maka seharusnya kau manfaatkan sebaiknya. Cuma awas, jangan disalahgunakan kelembutan itu untuk menarik yang tidak halal mendekatimu kerana itu bakal membawa bencana dan menjadikan dirimu itu sendiri sebagai bencana.

Sebagai wanita, mungkin kau juga tidak punya kudrat sehebat kaum pendampingmu seorang lelaki. Namun jangan pernah lupa, memori istimewa seorang lelaki adalah ketika dia pernah menumpangi rahim ibunya selama sembilan bulan. Disitulah terbuktinya kekuatan kudratmu. Janin yang dikandung itu berkongsi nyawa dengan mu. Maka, jangan sekali pernah putus asa, sebaliknya beriltizam lah untuk melahirkan mujahid dan mujahidah yang bakal meneruskan perjuangan.

Buat wanita yang tidak berpeluang keluar di medan jihad, jangan pernah sekali berasa gundah. Terdapat sebuah kisah menarik yang bisa menjadi pembakar semangat. Hadis riwayat Anas Bin Malik menceritakan perihal Salamah, ibu susuan Ibrahim, putera Rasulullah SAW dan Mariah al-Qibtiah, dia bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan khabar gembira dalam segala hal untuk kaum lelaki tetapi tidak untuk kaum wanita."

Rasulullah SAW berkata, " Adakah rakan rakanmu menghantarmu untuk bertanya seperti itu?"

Jawabnya, "Benar, mereka menyuruhku."

Lalu baginda berkata:

Tidaklah seorang antara kamu merasa reda jika dia hamil daripada benih suaminya dan suaminya bangga dengan kehamilannya itu. Wanita tersebut mendapat pahala sama dengan seorang berpuasa dan berdiri malam di jalan ALLAH dan apabila wanita itu menderita sakit sewaktu melahirkan, maka betapa kegembiraan yang dirasakan dengan lahir permata hatinya yang tidak diketahui penghuni langit dan bumi
Biar tidak bergerak ke medan jihad, tetapi punya sesuatu untuk disumbangkan ke aras perjuangan. Malah kerelaan wanita itu sendiri mempersiapkan suami atau mahramnya bermujahadah di jalan ALLAH, pasti memberikan ganjaran yang sangat besar untuknya di syurga. Apatahlagi jika dirinya turut bersedia untuk menyediakan diri untuk turut berjuang.


Semoga melalui perkongsian yang sedikit ini, bisa membakar semangat wanita wanita kerinduan pemuda syurga untuk terus berjuang menegakkan agama di jalannya. Sememangnya seorang wanita itu tidaklah sempurna, pasti ada kekurangannya. Tetapi percayalah bahawa dengan kekurangan itu sebenarnya, ALLAH sedang mendidikmu menjadi wanita hebat. Tak perlu resah dan gelisah jika berasakan diri tidak cukup cantik, tidak cukup ilmu, tidak cukup lembut, tidak cukup ayu dan sebagainya. Setiap kelebihan dan kekurangan seorang wanita adalah didikan ALLAH padanya.

Terima CINTA atas segalanya
Jangan gentar, jangan putus asa, teruskan melangkah!
Kerana kita memburu gelaran bidadari syurga! ^_^


Coretan hatiku: Maaf, belum berkesempatan menyambung cerita, Hei ya kamu di sana, pergi buat kerja dakwah. Sedang mencari kekuatan... insyaALLAH, doakan!

Sumber rujukan:

Al Quran dan Sunah (tetap dan utama)
1) Kedudukan Wanita dalam ISLAM ~ Sheikh Abdul Majid Subhi
2)Fiqh Wanita Muslimah~ Dr.Abdul Qadir Muhammad Mansur
3)Menjadi wanita super dengan Asmaul Husna~ Sulaiman Al- Kumayi
4)Sebarkan CintaMU~ Ustazah Fatimah Syarha
5) Solusi 38~ Syurga itu Benar