Pages

Saturday, October 16, 2010

ISTERI-ISTERI DI DALAM SYURGA

Bismillahirrahmnirrahim.. (Rujukan buku 'Menuju ke Negeri Abadi', ms 399 - 403)

Telah diriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

"Demi sesungguhnya berpetang-petang atau berpagi-pagi (pergi berjihad) di jalan Allah adalah lebih baik dari dunia dan seluruh isinya. Demi sesungguhnya panah kamu dari syurga atau tempat cemetinya adalah lebih baik dari dunia dan seluruh isinya. Kalaulah seorang perempuan dari penghuni syurga dijelmakan dari penduduk bumi pasti ia akan menerangi antara kedua-duanya (langit dan bumi)dan pasti ia akan memenuhi dengan wangian. Demi sesungguhnya selendangnya yang ada di atas kepalanya itu lebih baik dari dunia dan seluruh isinya." (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lainnya)

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, beliau berkata Rasulullah S.A.W telah bersabda:

"Sesungguhnya isteri-isteri penghuni syurga akan menyanyikan untuk suami-suami mereka dengan suara yang paling baik didengari oleh seseorang. Sesungguhnya lagu nyanyian mereka ialah: Kami perempuan-perempuan baik lagi cantik, isteri kepada kaum yang mulia, mereka melihat dengan penuh gembira..." (Riwayat al-Tabrani di dalam al-Awsat dan al-Saghir. Para periwayatnya semua periwayat hadith sahih)

Telah diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri daripada Nabi S.A.W di dalam mentafsirkan Firman allah S.W.T:

"Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan."

Baginda bersabda:

"Sesungguhnya seorang lelaki itu akan duduk bersandar di dalam syurga selama 70 puluh tahun sebelum ia berpindah. kemudian datang kepada isterinya lalu ia memeluk bahunya. Maka ia dapat melihat mukanya pada pipi isterinya yang lebih jernih daripada cermin. Dan bahawa permata paling rendah dipakainya itu menyinari antara timur dan barat. Lalu ia mengucapkan salam kepada suaminya."
Baginda bersabda "Lalu ia menjawab salam isterinya dan bertanya: "Siapakah engkau?" Maka ia menjawab: "Aku dari syurga." Dan bahawa ia memakai 70 pakaian. Paling rendahnya seumpama kain lembut paling baik. Maka matanya dapat menembusinya sehingga ia dapat melihat isi betisnya daripada sebaliknya. Dan bahawa ia memakai mahkota, serendah-rendah permata padanya menerangi antara timur dan barat." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya)

At-Tabrani dan al-Bazzar telah mengeluarkan hadith dengan sanad yang sahih daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: "Baginda S.A.W ditanya: "wahai Rasulullah, adakah kita boleh berhubung dengan isteri-isteri kita di dalam syurga?" Maka baginda menjawab: "Sesungguhnya seorang lelaki akan dapat berhubung di dalam masa sehari dengan seratus perawan."

Sungguh indah sekali suasana di sana. Seorang saudara akan menziarahi saudaranya seIslam. bapa menziarahi anak-anaknya. Anak-anak menziarahi Ibubapanya di dalam syurga. Lebih indah daripada itu semua apabila orang-orang beriman dapat menziarahi para nabi, para siddiqin dan para ulama amilin. Pemimpin bagi semuanya ini ialah Nabi Muhammad S.A.W penghulu bagi semua Rasul. Lebih indah lagi dari semua ini apabila mereka dapat menziarahi Allah S.W.T. Mereka dapat mendengar ucapanNya dan dapat melihatNya tanpa hijab.

'Ya Allah ampunilah segala dosa-dosa kami, sesunguhnya Allah Maha mengetahui apa yang terbaik untuk kami pada hari ini dan masa hadapan, oleh itu kurniakan sebaik-baik ketentuan dan kesudahan ke atas kami, akhirkan kami dalam keadaan beriman, semoga Allah redha ke atas kami, semoga Nabi redha ke atas kami, semoga suami kami redha ke atas kami, semoga ibu bapa kami redho ke atas kami dan seluruh umat Islam yang beriman redha ke atas kami. Semoga Syurga milik kami.. Amin.'


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

0 comments:

Post a Comment