Pages

Thursday, June 17, 2010

Ikhlas tetapi ditindas?


Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah... syukur, diberi kekuatan untuk bertinta di "salju sakinah" kesayangan hamba. Mungkin para pengunjung Salju Sakinah berasa hairan, mengapa setiap kali diriku yang kerdil ini memulakan coretan di Salju Sakinah, ku mempersembahkan rasa syukur yang teramat kepada Penciptaku. Ya.. sahabiyah sekalian, bukan mudah untuk istiqomah dalam menulis blog. Apatah lagi untuk memberikan yang terbaik dan berkualiti kepada para pembaca.

Diri ini ingin memohon maaf atas segala kedhaifan dan kekhilafan diriku. Maaf sekiranya Salju Sakinah tidak memberi input yang berguna kepada kalian. Segala tulisan yang tercoret disini adalah sama ada buah fikirku iaitu anugerah ALLAH dan juga perkongsian dari sahabat sahabiyah yang sememangnya bermutu. Takbir!

Namun yang paling ditakuti, kehadiran Salju Sakinah dalam diri ini bukan mendekatkan diriku pada Rabbku tetapi menghimpun dosa dosa kering. Maksudku, aku terlalu riak dengan blog kepunyaanku ini. Oh.. betapa susahnya menjadi ikhlas. Manusia tidak dapat menilai keikhlasan manusia lain. Hanya individu itu sendiri tahu sejauh mana ikhlasnya dirinya. Ikhlas diibaratkan semut hitam di atas batu hitam di malam yang kelam. Ya ALLAH.. ikhlaskan hati ku dalam memperjuangkan Salju Sakinah ini.

Aku mengakui, kekadang berasa iri membaca karya karya sahabiyah yang hebat belaka. Ibarat sudah boleh menulis buku. Kebelakangan ini, asyik memikirkan tajuk yang hebat, agar diri ini setaraf dengan mereka. Bermulanya pertumbuhan penyakit hati yang boleh merebak! Menulis kerana inginkan nama tetapi bukan untuk mendapat keredhaanNYA. Sesungguhnya kita tidak dapat memuaskan hati manusia, maka carilah jalan untuk mendapat tempat di sisi ALLAH melalui tulisan

Ingin berkongsi satu cerita menarik berkenaan ikhlas. Memandangkan tulisan pada kali ini berkaitan dengan keikhlasan. Seorang wanita yang bergelar Puan merungut pada seorang pemuda berkenaan dirinya yang tidak pernah naik pangkat biarpun selama ini telah bertungkus lumus bekerja dengan rajin dan penuh ikhlas. Sedangkan teman teman lain yang curi tulang, cantas sana sini, kaki bodek dan kaki ampu begitu mudah mendapat kenaikan pangkat dan kelebihan.

Wanita ini berasa dirinya tertindas kerana baginya siapa yang tidak marah sekiranya selama ini setelah bekerja gigih dan ikhlas tetapi tidak mendapat kenaikan gaji? Di alkisahkan wanita ini sudah menghampiri waktu pencennya, malah mempunyai anak anak yang begitu berjaya dalam profesion masing masing seperti doktor, jurutera dan pensyarah.

Diriku tertarik dengan persoalan yang diberikan oleh pemuda tersebut. Yang mana satukah menjadi pilihan wanita tersebut, anak anak yang berjaya atau naik gaji?
Dengan tenang wanita tersebut memilih anak anaknya berjaya dunia dan akhirat.

Ya.. nikmat ALLAH itu terlalu besar sehingga kita sendiri tidak melihatnya. Teringat prinsip

what you give, you get back
Selalunya kita sebagai manusia yang hina ini, berasa kita sudah cukup ikhlas dan kita menunggu balasan dengan apa yang kita mahukan sedangkan takdir ALLAH begitu misteri. Mungkin bagi wanita tersebut, pembalasan untuk ikhlas bukan di tempat dia bekerja tetapi pembalasan kebaikan kepada keluarganya. Bukankah itu lebih lumayan? Contoh ini juga bisa diaplikasikan dalam bidang dakwah .

Kita bermati matian mencari mad'u ( mereka yang diseru di jalan dakwah), dengan penuh keikhlasan agar mereka dapat menyertai kita dalam menegakkan daulah islamiyah. Namun, sekiranya apa yang kita serukan tidak kesampaian, tetapi keikhlasan kita itu diganti dengan sesuatu yang lebih baik oleh ALLAH iaitu sama ada di dunia ini kita terus mendapat hidayah dan taufiqnya atau memperoleh rahmat naunganNYA di akhirat nanti

Mengambil contoh wanita tadi, keluarga yang bahagia, hati yang tenang dan anak anak yang soleh adalah pembalasan yang cukup indah berbanding kenaikan pangkat atau gaji yang boleh menjadi faktor risiko kepada penyakit cinta dunia.

Mengambil kata kata daripada penulis "Beduk diketuk" dalam Majalah Solusi isu no 19, ikhlas sebenarnya tidak minta dibalas. Tetapi ALLAH Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya.

Janganlah kita mengharapkan ucapan terima kasih dari manusia kerana sesungguhnya manusia ini "sakit jiwa'. Manusia tidak pandai berterima kasih kerana dengan ALLAH pun manusia tidak pernah bersyukur, apatah lagi sesama manusia.

Namun sesungguhnya, ALLAH tidak pernah berhenti memberi, biar manusia tidak berterima kasih kepadaNYA, malah derhaka kepadaNYA tetapi ALLAH masih memberi. Jadi siapakah kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?

Inilah kita manusia, mengapa kita perlu mendustakan segala nikmat yang diberikan. Mengapa perlu berkita tentang keikhlasan dan persoalannya adakah benar mereka yang ikhlas ini tertindas atau soalan yang paling perlu dijawab adalah adakah mereka yang benar benar ikhlas sempat berasa tertindas ketika membuat kebaikan yang tidak dibalas?



Monologku: Ingin mengajak para pengunjung Salju Sakinah untuk sama sama membaca Majalah Solusi, majalah ini banyak sekali memberi input dan info, Tak salah sekiranya berkorban wang ringgit untuk ilmu yang bernilai bukan?


Rujukan: Majalah Solusi
Gambar: Google

0 comments:

Post a Comment