"Nenda sedang sakit, mohon doa sahabat sahabat sekalian agar diberi kesembuhan"
Luka hati mendengar kata kata ibuku. Nenda yang dikasihi sedang bertarung dengan kesakitan. Kerinduaan pada rumah begitu menggigit pangkal hati. Rasanya ingin segera terbang pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Nenda adalah insan yang paling rapat dengan diri. Selama hidup ini, diriku dibesarkan disisi nenda. Apatah lagi sebagai anak tunggal yang takut untuk tidur bersendirian, nenda terpaksa mengambil jawatan sebagai peneman tidur. Namun, nenda tetap tersenyum melihat tingkah laku cucunya, tidak pernah merungut. Rindu menjelma mengingatkan saat istimewa itu.
Aduh, air mata ini menitis lagi. Sesungguhnya diri ini tidak punya saudara kandung. Hidup sebagai anak tunggal kadang kadang ku lihat sebagai tarbiyah istimewa dari ALLAH untukku. Tetapi nenda begitu baik sekali, menjadi peneman di kala susah dan senang. Apabila daku pulang ke kampung halaman, sudah tentu nenda dengan senang hati berkunjung ke rumah kami. Sebut sahaja jenis lauk kegemaranku, nenda berusaha menyediakan untuk diriku. Nenda juga membantu ibu menjaga putera putera kecil di "taska mini" milik ibuku.Bayangkan kepeningan yang dialami oleh nenda dan ibuku untuk menjaga lima orang putera nakal yang dihantar ke rumah, namun itulah indahnya kesabaran. Ayahku pernah berkata bahawa kanak kanak itu pembuka rezeki, biar mereka tidak ada rezeki untuk memiliki anak lagi namun ibu dan bapaku berasa puas dapat membantu mendidik dan menjaga anak insan lain.
Aduh.. rindunya pada rumah. Seorang kawan mengatakan bahawa diriku seolah olah kelihatan tidak begitu bergantung kepada keluarga. Sudah tentu tidak, keluargaku adalah nyawaku. Betapa aku terlalu rindu untuk pulang ke rumah, syurgaku di dunia ini, apatahlagi memikirkan keadaan nenda namun ibubapa ku mendidik ku menjadi seorang yang boleh "survive". Ini kerana aku berseorangan, maka mereka melatih diriku untuk punya semangat kental, untuk punya ketegasan dan merantau ke negeri orang agar bertemu dengan tarbiyah dan jalan hidup sebenar. Alhamdulillah, itulah keberkatan doa ibu bapa, anaknya yang dihantar ke bumi kenyalang ini, telah terjumpa dengan tarbiyah..
Dua minggu lagi diri ini akan berhadapan dengan peperiksaan penting dalam empat tahun pembelajaran. Ya ALLAH, diri ini mengakui sedikit lemah dalam pelajaran. Mungkin kerana kurangnya usaha atau kegagalan itu sebenarnya tarbiyah yang indah. Rasa patah sebelah bahuku menerima perkhabaran tentan nenda, namun ibu berpesan agar aku sentiasa sabar, ini kerana sabar itu indah. Apatah lagi dengan keadaan ku juga yang sedang berubat, membuatkan diriku selalu lemah, ujian itu datang bertimpa timpa.
Namun apalah sedikitnya ujian yang ku hadapi ini, jika dibandingkan beratnya ujian sumayyah untuk mendapat kasihNYA. Malah daku bersyukur atas segala ujian ini kerana itu tanda ALLAH memerhatikanku.
"Adakah manusia menyangka bahawa mereka telah dibiarkan sahaja mengatakan kami telah beriman tanpa mereka mendapat ujian" (Al ankabut, 2)
Di antara manusia itu ada yang menyangka bahawa cukup dengan mengatakan saya telah beriman, tanpa di uji ALLAH s.w.t imannya itu. Sangkaannya salah sama sekali. Melainkan orang yang beriman itu ketika didatangkan ALLAH s.w.t ujian maka keimanannya tidak goncang, malah dia menerima dengan hati yang lapang dan sabar serta mengucapkan
"Innalillahi wainna ilaihi rajiun"
Ku bermohon agar diberi kesabaran hati menempuh segala kesulitan yang menerpa. Sememangnya diri ini lemah dan ratu air mata. Mudah sekali mengalirkan air mata namun hatiku terubat dengan:
"Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang sangat, dan mereka gementar (ketakutan), sehingga berkata Rasul dan orang orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan ALLAH? Ingatlah bahawa pertolongan ALLAH itu hampir tiba" (Al baqarah, 214)
Yakinlah dengan janji ALLAH, malah titiskanlah air mata ketika sujud kepadaNYA. Nescaya, itulah ada terapi paling indah buat mereka yang bersedih. Ujian itu tarbiyah.. Doakan nenda sembuh dan dapat tersenyum seperti biasa dan diri ini berjaya menghadapi peperiksaan akhir.
Takbir: Allahuakhbar!!
0 comments:
Post a Comment