Pages

Wednesday, October 29, 2008

KELEBIHAN WUDUK YANG SEMPURNA

Bismillahirrahmanirrahim..petikan dari Himpunan Kitab-Kitab Fadhail Amal, Fadhilat Solah Hadith 6, m.s 17 )
Diriwayatkan daripada Hazrat Abu Muslim Taghlabi r.a katanya, 'Saya menemui Hazrat Abu Umamah r.a semasa beliau berada di dalam masjid. Saya bertanya kepadanya, 'Wahai Abu Umamah, sesungguhnya seorang lelaki telah memberitahu kepada saya bahawa tuan telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,Sesiapa yang mengambil wuduk yang sempurna, membasuh kedua-dua tangannya dan mukanya serta menyapu kepala dan kedua-dua telinganya. Kemudian dia mendirikan solat fardhu maka Allat S.W.T akan mengampunkan segala dosa-dosanya yang telah dilakukan oleh kedua-dua kakinya yang bergerak ke arah melakukan maksiat, kedua-dua tangannya yang digunakan untuk berbuat maksiat, kedua-dua telinganya yang mendengar berita-berita maksiat, kedua-dua matanya yang melihat maksiat dan maksiat yang dilakukan oleh hatinya pada hari itu. Hazrat Abu Umamah R.A menjawab, 'Demi Allah, saya telah mendengar sabdaan ini berkali-kali daripada Rasulullah S.A.W.' (Hadith Riwayat Imam Ahmad).
Keterangan,
Perkara yang sama juga diriwayatkan oleh ramai Sahabat R.A yang lain. Hazrat 'Uthman r.a, Hazrat Abu Hurairah, Hazrat Anas r.a, Hazrat Abdullah Sunabihi r.a, Hazrat Amru Ibnu 'Abasah dan lain-lain sahabat r.a juga telah meriwayatkan dengan lafaz yang berbeza. Mereka yang dikurniakan dengan 'kasyaf' dapat melihat dosa-dosa yang sedang gugur. Kisah yang paling masyhur adalah tentang Imam Abu Hanifah rah. Beliau melihat dosa yang sedang gugur dari titisan air wuduk. Selanjutnya ada sedikit penambahan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Hazrat 'Uthman r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, 'Seseorang itu tidak seharusnya tertipu dengan keadaan yang sedemikian itu. Maksudnya ialah seseorang itu jangan berbangga bahawa dosanya terampun melalui solah yang dikerjakannya itu lalu memberanikan diri melakukan dosa lain pula. Sekiranya Allah s.w.t menerima solah dan amal ibadat kita maka itu semata-mata kerana kemurahan, ehsan dan kerahimanNya Sebenarnya kita sendiri telah mengetahui tahap mutu amal ibadat kita.Memang tidak dapat dinafikan bahawa solah berkesan menghapuskan dosa. Namun hanya Allah s.w.t yang mengetahui samada solah kita juga layak untuk perkara tersebut.Satu perkara lagi ialah sekiranya seseorang itu melakukan dosa dengan anggapan bahawa Allah s.w.t bersifat Maha Pemurah dan Maha Pengampun, maka sebenarnya itu adalah sikap seseorang yang langsung tidak mempunyai peraan malu, Keadaan ini samalah seperti seseorang ayah yang memberi jaminan bahawa dia akan memaafkan kesalahan-sesalahan anaknya. Namun anak-anaknya pula mengambil kesempatan, lalu dengan sengaja melanggar perintah-perintah ayah mereka dengan anggapan bahawa ayah akan memaafkan kesalahan mereka.

Thursday, October 9, 2008

Sembahyang Tahajjud

Bismillahirrahmanirrahim...
Munajat tengah malam
SATU daripada cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah s.w.t ialah dengan bangun daripada tidur mengerjakan ibadat, khususnya sembahyang tahajud atau sembahyang di tengah malam.Tetapi satu persoalan boleh ditimbulkan ialah mengapa Allah meletakkan masa untuk sembahyang tahajud pada tengah malam ketika suasana sunyi penuh kesejukan?Jawapannya kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang hamba yang mengaku dirinya bertuhankan Allah. Sesungguhnya bukan perkara mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak waktu dinihari sedang orang lain asyik dibuai mimpi. Juga bukan perkara mudah untuk berwuduk dalam suasana dingin malam yang mencengkam atau untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata masih terkebil-kebil.Dengan kata lain, amalan bertahajud adalah perbuatan amat berat untuk dikerjakan seseorang. Keadaan tubuh letih dan lesu kerana bekerja kuat pada siang hari menyebabkan sesetengah orang tidur seperti mati. Ia amat susah untuk disedarkan walaupun puas dikejutkan.Mata akan menjadi bertambah mengantuk dan tubuh bertambah penat apabila tidur lewat malam kerana asyik menonton televisyen atau kerja tambahan lain.Keadaan sejuk dan suasana sunyi di tengah malam juga menjadi faktor membuatkan seseorang nyenyak tidur dan berasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah pada waktu berkenaan. Iman yang kurang kental akan membuat seseorang yang tidur nyenyak menarik selimut dengan lebih kemas dan rapi lagi. Sesungguhnya ketika itu masa paling sedap untuk tidur.Namun, di atas segala kesukaran inilah tersembunyi rahsia Allah yang hanya sedikit sekali diketahui hamba-Nya.Sekalipun sembahyang tahajud hanya sunat, tetapi kelebihannya amat besar di sisi Allah dan tinggi nilainya. Firman Allah bermaksud:Dan daripada malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk sembahyang) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji" (Surah Al-Israk: Ayat 79)Ayat itu menjelaskan betapa pentingnya sembahyang tahajud. Ia satu peluang keemasan ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan Penciptanya.Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan berkenaan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, namun bagi yang sudah biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula.Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan terasa kerugian besar jika meninggalkan sembahyang tahajud.Di waktu inilah, iaitu sepertiga malam, pintu langit terbuka luas untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti. Sabda Rasulullah yang bermaksud:Allah sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.(Hadis riwayat Abu Daud)Sesungguhnya untuk mendapatkan kasih daripada Allah bukan perkara mudah. Allah mengasihi orang beriman dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang. Sembahyang tahajud satu suruhan Allah dan oleh itu, Allah menyayangi mereka yang mengerjakannya.Namun, bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan untuk bangun bertahajud di tengah malam.Sebaliknya, orang yang lemah iman berasa berat untuk menolak selimutnya walaupun berat selimutnya tidak pun sampai setengah kilogram.Sembahyang tahajud sesungguhnya satu daripada sembahyang sunat yang mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding sembahyang sunat lain.Sembahyang ini adalah amalan orang yang soleh yang sentiasa mahu mendekatkan diri kepada Allah.Amalan sembahyang tahajud bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad dan umatnya, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya.Ini bererti perintah tahajud tidak dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad saja.Sayidinna Umar Al Khattab menyatakan mengenai fadilat sembahyang malam dengan berkata:Sesiapa mengerjakan sembahyang malam (tahajud) dengan khusyuk, nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:
1. Jauh daripada segala penyakit.
2. Lahir kesan takwa pada wajahnya.
3. Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia.
4. Percakapannya mengandungi hikmat.
5. Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati).
Sementara empat perkara di akhirat ialah:
1. Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
2. Dipermudahkan hisab
3. Cepat melalui Sirat al Mustaqim, bagaikan kilat.
4. Diserahkan catatan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.
Walaupun manusia sedar mengenai betapa tingginya nilai dan kedudukan sembahyang tahajud, namun sedikit sekali umat manusia mengaku dirinya beragama Islam yang sanggup dan bersedia melakukan sembahyang itu.Bagi mereka, tidur lebih nikmat dan lebih utama daripada bersembahyang. Sesungguhnya, manusia akan berlumba-lumba bersembahyang tahajud sekiranya mereka dapat merasakan betapa nikmatnya melakukan amalan itu.Keheningan dan kedinginan malam pula seolah-olah memberi kesempatan kepada seseorang untuk merapatkan lagi hubungan antara makhluk dan Khaliq. Apa yang dibaca seseorang ketika bersembahyang tahajud seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Orang yang khusyuk dalam sembahyang akan merasai hubungannya dengan Allah adalah sangat hampir.Biasanya, permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat mendapat layanan apabila tidak ramai orang yang memohonnya. Oleh itu, mohonlah keampunan dan limpahan rahmat Allah ketika orang lain sedang tidur nyenyak.Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda, tenaga masih kuat dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada Allah.Sebaik-baik permohonan dan masa untuk berhubung dengan Allah ialah pada waktu malam.

Tuesday, April 8, 2008

FADHILAT ZIKIR- hadith 6

Bismillahirrahmanirrahim, sekadar untuk peringatan, dipetik dari kitab Fadhilat Amal [fadhilat zikir m/s 34].
Hazrat Abu musa r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Sekiranya seseorang di sisinya terdapat wang yang banyak lalu dia membahagikan wang tersebut (pada jalan Allah S.W.T) dan seorang lagi sedang sibuk dengan berzikir maka yang berzikir itu lebih afdal.[Hadith riwayat Imam Tobarani.]
Keterangan
Sungguhpun membelanjakan harta pada jalan Allah S.W.T adalah satu amalan yang besar, namun jika dibandingkan dengan zikrullah maka zikrullah lebih afdal. Alangkah berbahagianya para hartawan yang membelanjakan harta kekayaannya pada jalan Allah S.W.T dan di samping itu mendapat taufik untuk berzikir kepada Allah S.W.T. Disebut dalam sebuah hadith bahawa Allah S.W.t juga menyedekahkan kepada hambaNya pada setiap hari dan mengurniakan sesuatu kepada mereka mengikut keadaan mereka itu. Namun begitu, tidak ada kekurniaan yang lebih besar daripada taufik untuk berzikir.Orang yang sibuk dengan perniagaan, perdagangan, pertanian dan pekerjaan-pekerjaan yang lain, jika mereka melapangkan sedikit masa untuk berzikir kepada Allah S.W.T maka sudah pasti mereka akan memperolehi keuntungan tanpa perlu bersusah payah. Melapangkan masa beberapa jam daripada dua puluh empat jam pada waktu malam atau siang untuk amalan zikir ini bukanlah satu perkara yang susah. Sedangkan masa yang banyak dipergunakan untuk perbuatan yang sia-sia. Bukanlah sukar untuk melapangkan sedikit masa untuk amalan yang akan membawa keuntungan ini. Dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W bersabda, "Sebaik-baik hamba ialah yang sentiasa mengambil berat tentang peredaran bulan, matahari, bintang dan bayang-bayang bagi menentukan waktu untuk berzikir." Yakni mengambil berat untuk menjaga masa. Sungguhpun pada zaman ini manusia menggunakan jam dengan begitu meluas sekali sehingga menyebabkan pengetahuan masa menerusi bulan dan matahari itu tidak perlu lagi, namun bulan dan matahari masih diperlukan ketika jam rosak atau waktu jam itu tidak tepat agar masa yang sangat berharga itu tidak disia-siakan. Disebutkan dalam sebuah hadith bahawa jika seseorang berzikir di suatu bahagian pada permukaan bumi ini, maka bahagian bumi itu sehinggalah ke tujuh petala bumi akan berbangga ke atas bahagian bumi yang lain.

Thursday, January 24, 2008

MUZAKARAH MENGHIDUPKAN TAKLIM DI RUMAH

Bismillahirrahmanirrahim,
Taklim dan taklum merupakan perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW, di mana Allah menyampaikan wahyunya kepada kepada Rasulullah SAW menerusi Jibrail untuk disampaikan kepada manusia. Taklim dan taklum merupakan amalan Masjid Nabawi. Ia merupakan pusaka Rasulullah SAW. Roh agama jika tidak ada taklim dan taklum maka agama akan mati, manusia tidak mengenal Allah SWT dan tidak taat perintah Allah SWT. Maka apabila ini berlaku, maka Allah SWT akan hantar azab. Rumah-rumah yang mengadakan taklim bermakna mewarisi pusaka Rasulullah SWT. Sesiapa yang mewarisi pusaka Rasulullah SWT maka rahmat dan berkat akan datang, ketenteraman (sakinah) dan ketenangan (inayah) akan wujud.Rumah-rumah yang ada taklim terpelihara, diziarahi para malaikat dan diturunkan taufiq dan hidayah serta rahmat. Segala amal-amal buruk, kegelapan dan ketegangan akan keluar dari rumah-rumah kita. Amalan taklim membawa cahaya dan kesannya, kehidupan sekeluarga dalam aman damai.
Adab-adab Taklim di Rumah
(1) Mesyuarat suami/isteri dan keluarga supaya semua ambil fikir tentang penting dan mulianya majlis ini (utamakan fikir orang yang lebih tua).
(2) Tetapkan masa, sebaik-baiknya masa bila semua ahli keluarga dapat berkumpul.
(3) Istiqamah tempat yang sesuai.
(4) Bawa adab-adab majlis dengan sempurna, duduk rapat-rapat, tutup aurat dll.
(5) Baca kitab Fadhail Amal.
(6) Masa taklim istiqomah 30 minit dan azam 2 kali atau 1 kali dalam sebulan lakukan taklim penuh seperti taklim kita keluar ke jalan Allah SWT.
Jika kita dapat hidupkan taklim di rumah maknanya rumah kita telah ada ciri-ciri rumah Rasulullah SAW dan para sahabat. InsyaAllah bagaimana Allah SWT mendidik (tarbiyah) mereka, begitu juga Allah SWT akan mendidik kita. Apa-apa jua sifat-sifat yang mulia yang ada dalam diri mereka, insyaAllah Allah SWT akan beri sedikit-sedikit pada diri kita.
Tujuan Majlis Taklim
(1) Tujuan kita mengadakan majlis taklim ini ialah semata-mata untuk mengingati dan mendapat keredhaan Allah SWT.
(2) Untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, dimana melalui sunnah yang mana kita mesti amalkan bukan sekadar belajar atau mendengar sahaja tetapi untuk mengamalkan dalam kehidupan kita seharian. Di zaman fasha dan mungkar ini satu sunnah yang dapat kita hidupkan, Allah SWT akan kurniakan ganjaran 100 pahala syahid.
(3) Apabila diadakan majlis taklim ini, maka datanglah keghairahan atau semangat untuk beramal.
(4) Untuk menghubungkan ilmu kita yang sedikit dengan ilmu Allah SWT yang sangat luas.
(5) Supaya kita dapat korbankan sedikit masa kita untuk menghayati agama Allah SWT.
(6) Supaya kita dapat wujudkan fikir dan kerisauan tentang agama seperti mana suami-suami kita. Dengan ini suami isteri akan ada risau fikir yang sama dan sehaluan.
(7) Unyuk mengetahui segala perintah-perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW dan juga tentang hari akhirat.
(8) Untuk menghubungkan ilmu dan amal.
(9) Untuk masukkan Nur Hadith dan Al-Quran dalam hati kita.
Kelebihan Majlis Taklim.
Ada banyak sekali kelebihan yang kita dapati apabila kita adakan majlis seperti ini atau kita hadirkan diri kita di dalam majlis seperti ini. Diantaranya majlis seperti ini merupakan majlis magfirah iaitu majlis keampunan, di mana Allah SWT akan ampunkan dosa para peserta majlis ini dan digantikan dengan pahala. Walaupun kita kebetulan sahaja, Allah SWT tetap akan mengampunkan dosa-dosa kita sepertimana mereka yang lain. Allah SWT akan turunkan Rahmatnya untuk tiap-tiap orang di majlis ini. Ada 4 di muka bumi ini di mana Allah SWT turunkan Rahmatnya;
(1) Di Masjidil Haram
(2) Di Makam Rasulullah SAW
(3) Di bulan Ramadhan
(4) Di majlis-majlis mengingati Allah seperti majlis taklim dan taklum ini.Kalau kita sentiasa dapat hadirkan diri kita di majlis ini maka kita dapat meningkatkan 5 perkara di dalam diri kita;
(1) Iman
(2) Ibadat
(3) Muamalat
(4) Muasyarah
(5) Akhlak
Kita juga mendapat sakinah atau ketenangan jiwa. Satu majlis taklim dapat menghapuskan 100 majlis lalai iaitu majlis yang tidak mengingati Allah SWT. Tempat-tempat di mana majlis ini diadakan, maka para malaikat melihat tempat itu bercahaya seperti bintang-bintang di langit. Seketika di majlis taklim ganjarannya lebih baik kita menziarahi 100 orang sakit. Majlis ini juga lebih mulia dari kita menghantar 1000 orang jenazah ke kubur. Apabila kita keluar dengan niat menuntut ilmu atau mengajar ilmu kerana Allah SWT 70,000 para malaikat akan menghamparkan sayapnya masing-masing di bawah kaki kita kita dan semua makhluk Allah di bumi, di darat dan di udara akan memohon keampunan untuk kita.

Hadith Rasulullah SAW bersabda majlis ini merupakan kebun-kebun Syurga. Majlis taklim juga bermakna kita mewarisi pusaka Rasulullah SAW dengan itu rumah-rumah yang ada taklim, rahmat dan berkat akan datang (sakinah, ketenangan dan ketenteraman akan wujud).

Friday, January 18, 2008

MUZAKARAH UNTUK MENGHIDUPKAN 24 JAM AMALAN SUNNAH DI RUMAH

Bismillahirrahmanirrahim...
Rumah adalah Bait. Rumah yang mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT ialah rumah yang ada amalan masjid. Rumah kita perlu dijadikan rumah taqwa dan bukannya rumah tempat pecah belah. Masjid taqwa ialah masjid yang hidup 4 amal iaitu:
(1) Dakwah
(2) Takleem Taklum
(3) Zikir dan Ibadat
(4) Khidmat
Untuk menjadikan rumah kita menjadi rumah taqwa, perlu dihidupkan 4 amalan masjid di rumah. Rumah kita jangan hanya dijadikan tempat tidur, makan minum dan memuaskan syahwat tetapi di rumah kita perlu diwujudkan satu sudut yang suci yang kita jadikan tempat kita bersembahyang, zikir dan membaca Al-Quran. Disudut itu jika ibu-ibu beramal, Allah SWT dengan fazal, karim Nya akan memberi banyak pahala. Seterusnya amal di rumah kita perlu buat dengan mensyuarat,
(1) Perlu wujudkan waktu mesyuarat harian di rumah.
(2) Waktu pembacaan takleem.
(3) Waktu persiapan sembahyang dan sembahyang.
(4) Waktu membaca Al-Quran dan berzikir.
(5) Waktu bangun malam dan bersembahyang tahajjud.
(6) Waktu solat-solat sunat seperti Israq, Dhuha, Awwabin, Kabliah dan Bahdiah.
(7) Waktu khidmat seperti membasuh kain, memasak, melayan anak-anak dan suami.
(8) Sekali sekala dalam 1 minggu tetapkan waktu muzakarah 6 prinsip pada semua ahli keluarga.
(9) Sekali sekala dalam 1 minggu tetapkan untuk membuat halaqah Al-Quran dan pengajian fardhu ain bersama ahli keluarga.
Seterusnya setiap saat kehidupan kita perlu dilakukan secara sunnah,
(1) makan minum termasuk kaedah masak secara sunnah
(2) masuk rumah dan keluar rumah secara sunnah
(3) masuk tandas dan keluar tandas secara sunnah
(4) tidur secara sunnah
(5) berpakaian secara sunnah
(6) berkenderaan secara sunnah
(7) tempat tinggal disesuaikan secara sunnah