Pages

Wednesday, October 29, 2008

KELEBIHAN WUDUK YANG SEMPURNA

Bismillahirrahmanirrahim..petikan dari Himpunan Kitab-Kitab Fadhail Amal, Fadhilat Solah Hadith 6, m.s 17 )
Diriwayatkan daripada Hazrat Abu Muslim Taghlabi r.a katanya, 'Saya menemui Hazrat Abu Umamah r.a semasa beliau berada di dalam masjid. Saya bertanya kepadanya, 'Wahai Abu Umamah, sesungguhnya seorang lelaki telah memberitahu kepada saya bahawa tuan telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,Sesiapa yang mengambil wuduk yang sempurna, membasuh kedua-dua tangannya dan mukanya serta menyapu kepala dan kedua-dua telinganya. Kemudian dia mendirikan solat fardhu maka Allat S.W.T akan mengampunkan segala dosa-dosanya yang telah dilakukan oleh kedua-dua kakinya yang bergerak ke arah melakukan maksiat, kedua-dua tangannya yang digunakan untuk berbuat maksiat, kedua-dua telinganya yang mendengar berita-berita maksiat, kedua-dua matanya yang melihat maksiat dan maksiat yang dilakukan oleh hatinya pada hari itu. Hazrat Abu Umamah R.A menjawab, 'Demi Allah, saya telah mendengar sabdaan ini berkali-kali daripada Rasulullah S.A.W.' (Hadith Riwayat Imam Ahmad).
Keterangan,
Perkara yang sama juga diriwayatkan oleh ramai Sahabat R.A yang lain. Hazrat 'Uthman r.a, Hazrat Abu Hurairah, Hazrat Anas r.a, Hazrat Abdullah Sunabihi r.a, Hazrat Amru Ibnu 'Abasah dan lain-lain sahabat r.a juga telah meriwayatkan dengan lafaz yang berbeza. Mereka yang dikurniakan dengan 'kasyaf' dapat melihat dosa-dosa yang sedang gugur. Kisah yang paling masyhur adalah tentang Imam Abu Hanifah rah. Beliau melihat dosa yang sedang gugur dari titisan air wuduk. Selanjutnya ada sedikit penambahan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Hazrat 'Uthman r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, 'Seseorang itu tidak seharusnya tertipu dengan keadaan yang sedemikian itu. Maksudnya ialah seseorang itu jangan berbangga bahawa dosanya terampun melalui solah yang dikerjakannya itu lalu memberanikan diri melakukan dosa lain pula. Sekiranya Allah s.w.t menerima solah dan amal ibadat kita maka itu semata-mata kerana kemurahan, ehsan dan kerahimanNya Sebenarnya kita sendiri telah mengetahui tahap mutu amal ibadat kita.Memang tidak dapat dinafikan bahawa solah berkesan menghapuskan dosa. Namun hanya Allah s.w.t yang mengetahui samada solah kita juga layak untuk perkara tersebut.Satu perkara lagi ialah sekiranya seseorang itu melakukan dosa dengan anggapan bahawa Allah s.w.t bersifat Maha Pemurah dan Maha Pengampun, maka sebenarnya itu adalah sikap seseorang yang langsung tidak mempunyai peraan malu, Keadaan ini samalah seperti seseorang ayah yang memberi jaminan bahawa dia akan memaafkan kesalahan-sesalahan anaknya. Namun anak-anaknya pula mengambil kesempatan, lalu dengan sengaja melanggar perintah-perintah ayah mereka dengan anggapan bahawa ayah akan memaafkan kesalahan mereka.

Thursday, October 9, 2008

Sembahyang Tahajjud

Bismillahirrahmanirrahim...
Munajat tengah malam
SATU daripada cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah s.w.t ialah dengan bangun daripada tidur mengerjakan ibadat, khususnya sembahyang tahajud atau sembahyang di tengah malam.Tetapi satu persoalan boleh ditimbulkan ialah mengapa Allah meletakkan masa untuk sembahyang tahajud pada tengah malam ketika suasana sunyi penuh kesejukan?Jawapannya kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang hamba yang mengaku dirinya bertuhankan Allah. Sesungguhnya bukan perkara mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak waktu dinihari sedang orang lain asyik dibuai mimpi. Juga bukan perkara mudah untuk berwuduk dalam suasana dingin malam yang mencengkam atau untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata masih terkebil-kebil.Dengan kata lain, amalan bertahajud adalah perbuatan amat berat untuk dikerjakan seseorang. Keadaan tubuh letih dan lesu kerana bekerja kuat pada siang hari menyebabkan sesetengah orang tidur seperti mati. Ia amat susah untuk disedarkan walaupun puas dikejutkan.Mata akan menjadi bertambah mengantuk dan tubuh bertambah penat apabila tidur lewat malam kerana asyik menonton televisyen atau kerja tambahan lain.Keadaan sejuk dan suasana sunyi di tengah malam juga menjadi faktor membuatkan seseorang nyenyak tidur dan berasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah pada waktu berkenaan. Iman yang kurang kental akan membuat seseorang yang tidur nyenyak menarik selimut dengan lebih kemas dan rapi lagi. Sesungguhnya ketika itu masa paling sedap untuk tidur.Namun, di atas segala kesukaran inilah tersembunyi rahsia Allah yang hanya sedikit sekali diketahui hamba-Nya.Sekalipun sembahyang tahajud hanya sunat, tetapi kelebihannya amat besar di sisi Allah dan tinggi nilainya. Firman Allah bermaksud:Dan daripada malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk sembahyang) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji" (Surah Al-Israk: Ayat 79)Ayat itu menjelaskan betapa pentingnya sembahyang tahajud. Ia satu peluang keemasan ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan Penciptanya.Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan berkenaan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, namun bagi yang sudah biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula.Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan terasa kerugian besar jika meninggalkan sembahyang tahajud.Di waktu inilah, iaitu sepertiga malam, pintu langit terbuka luas untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti. Sabda Rasulullah yang bermaksud:Allah sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.(Hadis riwayat Abu Daud)Sesungguhnya untuk mendapatkan kasih daripada Allah bukan perkara mudah. Allah mengasihi orang beriman dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang. Sembahyang tahajud satu suruhan Allah dan oleh itu, Allah menyayangi mereka yang mengerjakannya.Namun, bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan untuk bangun bertahajud di tengah malam.Sebaliknya, orang yang lemah iman berasa berat untuk menolak selimutnya walaupun berat selimutnya tidak pun sampai setengah kilogram.Sembahyang tahajud sesungguhnya satu daripada sembahyang sunat yang mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding sembahyang sunat lain.Sembahyang ini adalah amalan orang yang soleh yang sentiasa mahu mendekatkan diri kepada Allah.Amalan sembahyang tahajud bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad dan umatnya, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya.Ini bererti perintah tahajud tidak dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad saja.Sayidinna Umar Al Khattab menyatakan mengenai fadilat sembahyang malam dengan berkata:Sesiapa mengerjakan sembahyang malam (tahajud) dengan khusyuk, nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:
1. Jauh daripada segala penyakit.
2. Lahir kesan takwa pada wajahnya.
3. Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia.
4. Percakapannya mengandungi hikmat.
5. Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati).
Sementara empat perkara di akhirat ialah:
1. Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
2. Dipermudahkan hisab
3. Cepat melalui Sirat al Mustaqim, bagaikan kilat.
4. Diserahkan catatan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.
Walaupun manusia sedar mengenai betapa tingginya nilai dan kedudukan sembahyang tahajud, namun sedikit sekali umat manusia mengaku dirinya beragama Islam yang sanggup dan bersedia melakukan sembahyang itu.Bagi mereka, tidur lebih nikmat dan lebih utama daripada bersembahyang. Sesungguhnya, manusia akan berlumba-lumba bersembahyang tahajud sekiranya mereka dapat merasakan betapa nikmatnya melakukan amalan itu.Keheningan dan kedinginan malam pula seolah-olah memberi kesempatan kepada seseorang untuk merapatkan lagi hubungan antara makhluk dan Khaliq. Apa yang dibaca seseorang ketika bersembahyang tahajud seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Orang yang khusyuk dalam sembahyang akan merasai hubungannya dengan Allah adalah sangat hampir.Biasanya, permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat mendapat layanan apabila tidak ramai orang yang memohonnya. Oleh itu, mohonlah keampunan dan limpahan rahmat Allah ketika orang lain sedang tidur nyenyak.Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda, tenaga masih kuat dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada Allah.Sebaik-baik permohonan dan masa untuk berhubung dengan Allah ialah pada waktu malam.