Pages

Friday, October 19, 2012

Diari seorang jururawat : Belajar untuk menghargai

Bismillahirahmanirahim


SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar

Menjadi seorang jururawat di hospital swasta bukan semudah yang disangkakan. Selalunya persepsi masyarakat bahawa pekerjaan seorang jururawat ini mudah. Hanya memberi ubat kepada pesakit dan mengikut arahan doktor. Namun hakikatnya tanggungjawab seorang jururawat sebenarnya lebih daripada itu.  Dalam masa yang sama jururawat perlu menjadi seorang doktor, jururawat perlu menjadi seorang ibu, jururawat perlu menjadi seorang anak, jururawat perlu menjadi seorang juruteknik malahan seorang jurutelevisyen!

Malam itu, sekali lagi saya ditakdirkan ALLAH untuk bertugas sebagai staff nurse in charged. Biarpun saya bertugas bersama seorang rakan sekerja yang lebih senior tetapi dia lebih selesa untuk mengamanahkan saya sebagai 'staff nurse in charged'. Sedikit penerangan berkaitan 'staff nurse in charged', selalunya sebagai seorang yang diamanahkan untuk mengetuai wad pada ketika itu. Sekiranya berlaku sebarang masalah sewaktu bekerja, 'staff nurse in charged' adalah orang yang pertama dicari. Semua maklumat pesakit perlu berada di hujung jari kerana doktor pada bila bila masa sahaja bisa menelefon untuk mengetahui perkembangan pesakit. Apabila berlaku hal kecemasan, 'staff nurse in charged' juga perlu bertanggungjawab mengetuai 'resuscitation team' sebelum menunggu ketibaan doktor dan memberi arahan yang sewajarnya. 

Menjadi seorang 'staff nurse in charged' di sebuah hospital yang kecil tetapi mempunyai ramai pesakit apatahlagi pada waktu malam sungguh mencabar. Menjaga 26 hingga 30 orang pesakit dalam pelbagai bidang termasuk paediatrik (kanak kanak), pembedahan, perubatan, ortopedik (tulang) , dan sebagainya memerlukan ilmu yang meluas. Apatahlagi tanpa kehadiran doktor di hospital, seorang jururawat perlu mengambil risiko untuk menjadi seorang doktor!. Biarpun pada hari itu saya berat hati untuk bekerja 'double shift' , (saya sepatutnya bertugas pada waktu pagi namun saya perlu menyambung kembali bekerja di sebelah malam kerana kekurangan kakitangan) kerana buat masa ini saya sukar sekali untuk meninggalkan ibu di rumah menjaga nenek saya yang sakit. Apatahlagi ibu saya alhamdulillah, diamanahkan ALLAH untuk menjaga anak jiran kami yang masih bayi dua beradik yang bermalam di rumah. Ibu mengalami kesukaran untuk membantu nenek untuk ke tandas dan memenuhi keperluan lain. 


Namun, saya redha dan bersangka baik dengan ALLAH. Saya mahu saya ikhlas dalam pekerjaan saya dan yakin jika saya membantu orang lain, ALLAH pasti mempermudahkan urusan keluarga saya. Pada malam yang sunyi itu, saya meneruskan kerja kerja saya setelah selesai memberi ubat kepada pesakit pada waktu malam. Saya membiarkan rakan rakan saya yang lain (team member) untuk berehat di sebuah bilik yang disediakan kerana saya mengetahui mereka ada anak anak yang perlu dirisaukan di rumah. Cuma, saya tidak berani meninggalkan kaunter jururawat sepanjang malam kerana risau keadaan pesakit yang tidak diduga.

Ketika saya membelek belek nota pesakit pesakit saya, saya mendengar sayup sayup suara tangisan. Dalam hati segera diserbu seribu ketakutan namun saya beristighfar kepada ALLAH. Bukankah takut itu hanya pada ALLAH, bukannya pada manusia? Semakin lama suara tangisan itu semakin kuat, saya gagahkan diri saya untuk memeriksa biarpun hati saya dilanda seribu keresahan. Saya berlindung kepada ALLAH atas kejahatan makhluk ciptaanNYA. Saya terkejut ketika melihat pesakit di bilik 5 menangis teresak esak. Keadaannya begitu merisaukan saya, saya tidak mahu dia terlalu stess kerana saya tahu dia mengalami masalah jantung yang serius. Jantungnya terlalu lemah dan tidak boleh menerima tekanan!. Saya segera mendekatinya.

Saya: Uncle, ada apa apa yang boleh saya bantu?

Uncle: Girls, saya rasa sakit leher, susah tidur

Saya: Uncle, saya sudah berikan ubat tahan sakit kepada ALLAH, insyaALLAH ubat tersebut berkesan namun Uncle perlu berehat seketika

Lantas saya menyelimutkan pesakit tersebut, dalam lubuk hati saya berdoa agar dia dapat tidur dengan lena.

15 minit kemudian.

Saya mendengar suara orang berjalan. Saya perhatikan pesakit dari bilik 5 tadi berusaha untuk keluar dari bilik dengan menggunakan tongkat. Saya segera mendekatinya.

Saya: Uncle, kenapa Uncle tak tidur lagi, tadi nurse kat suruh Uncle tidur.

Uncle: Girls, boleh saya tidur sini sahaja, saya tidak dapat tidur di bilik, saya nak tidur atas kerusi sini sahaja.

Pesakit itu meminta untuk tidur di atas kerusi plastik berhadapan kaunter jururawat. Saya berusaha untuk memujuknya untuk kembali ke biliknya. Namun dia menangis dan esakannya semakin kuat. Saya berfikir saya tidak mahu memberi tekanan kepada pesakit ini maka saya turuti kehendaknya. Saya membiarkan dia duduk di hadapan kaunter jururawat. Saya tersenyum kerana sekurang kurangnya pesakit ini menemankan saya untuk menyelesaikan tugas tugas saya memeriksa nota pesakit.

15 minit kemudian.

Dia menangis lagi, dan kini dia cuba berjalan ke hujung wad. Hati saya mula risau, saya terfikir dengan keadaanya sebegini, mempunyai pelbagai masalah, mustahil doktor memberikan ubat untuk merehatkannya. Saya cuba memujuknya untuk kembali duduk ataupun masuk ke bilik. Namun dia masih berkeras untuk berjalan ke hujung wad. Rakan saya yang lain tersedar kerana mendengar bunyi esakan pesakit tersebut. Lantas mereka cuba memujuknya dengan memberikan milo panas supaya dia dapat tidur lena.


Rakan saya 1: Kasihan Uncle ini, saya rasa dia rindukan keluarganya.

Rakan saya 2: Jika saya tidak silap, ahli keluarganya iaitu anak isteri berada di luar negara. Dia seorang sahaja yang berada di Malaysia, yang menghantarnya ke hospital pun adalah rakan rakannya sahaja.

Rakan saya 1: Mungkin dia rindukan keluarganya, maka dia pun menangis teresak esak. Dia rasa kesunyian.

Rakan saya 2: Mungkin sebab itu dia suka dipujuk, dia teringatkan anak anaknya di sana. Kehidupan tanpa keluarga sangat menyedihkan.

Saya hanya mendiamkan diri. Namun di hati kecil saya, saya mengiyakan kebenaran kata kata rakan saya itu. Ya ALLAH, saya terfikir bagaimana boleh meninggalkan ayah kita yang sedang sakit berada di negara yang lain dengan kita. Segera saya usir sangkaan buruk itu. Siapalah saya untuk mengada adakan cerita.

Namun, ibrah yang saya dapati daripada pengalaman saya ini. Saya sentiasa menghargai dan bersyukur kurniaan ALLAH kepada saya.  Segala yang saya hadapi, saya bersyukur kerana keluarga saya tidak pernah membuang saya. 

Kadang kadang sebagai manusia, kita tidak belajar untuk menghargai, namun apabila kita sudah kehilangan barulah kita tahu betapa pentingnya kepada kita. Sesungguhnya ALLAH tidak pernah menciptakan sesuatu dengan sia sia, namun kita sendiri yang tidak pernah melihat dengan mata hikmah.Maka hargailah apa yang kita miliki, segalanya pemberian ALLAH, bukalah mata dan bukalah minda. Namun ingatlah semuanya hanya pinjaman. Pada bila bila masa sahaja ALLAH boleh mengambilnya kembali.


Kadang kadang saya juga rasa lemah untuk mengharungi hidup ini. Saya hanyalah orang biasa pasti ada perasaan sedih, tertekan dan sebagainya. Namun saya gagahi untuk melangkah kerana saya menganggap inilah didikan istimewa ALLAH untuk saya dalam menjadikan saya seorang daie yang berkualiti. Jika sahabat sahabat lain dilatih dalam program, usrah dan sebagainya. Saya cukup bersyukur apabila ALLAH melatih saya dengan segala ujian dalam kehidupan. Saya tahu bahawa ALLAH Maha Mengetahui segala ini sangat susah untuk saya tetapi ALLAH juga tahu sejauh mana saya boleh menghadapi semua ini. Semoga saya sentiasa redha dalam mengharungi hidup ini. Semoga Uncle juga disatukan semula dengan keluarganya. 

Jom dengar lagu ini, pengubat hati :)

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Apakah kita ?kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari tuhan

Inteam feat Nazrey; Kehidupan

0 comments:

Post a Comment