Pages

Saturday, April 17, 2010

Palestinku!

Dunia Palestin tidak pernah sunyi daripada disebut-sebut dari dahulu hinggalah ke saat ini. Lipatan sejarah dan apa yang kelak berlaku di bumi Palestin telah pun dirakamkan oleh Allah SWT di dalam kalam-Nya yang benar lagi membenarkan. Kaum kuffar tidak jemu-jemu melancarkan fitnah terhadap dunia Islam, kononnya umat Islam adalah pengganas. Label pengganas tersebut menjadi lesen bagi mereka untuk menghalalkan darah kaum muslim terutamanya di bumi Palestin di mana kaum muslim telah lama menanggung penderitaan sejak 1948.

Kaum Yahudi tanpa jemu, giat melenyapkan Palestin sebagai bumi umat Islam di peta dunia. Lihatlah dunia hari ini, adakah nama Palestin ditulis di atas atlas-atlas yang dijual di kedai-kedai? Sebaliknya, negara haram Israel yang tertera di atlas-atlas tersebut. Apa yang menyedihkan, negara pengganas Israel hanyalah sebesar gelang yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 7.5 juta orang sahaja. Namun tiada satu negara Arab pun yang menghantar bala tentera mereka untuk mencabut kekuasaan pengganas Israel di bumi suci Palestin. Sebaliknya, menghantar wakil-wakil mereka untuk melakukan rundingan antara pemuka-pemuka Islam yang bacul dengan pemuka-pemuka Yahudi yang terang-terang pendusta.



Dari dahulu hingga kini, apakah natijah rundingan-rundingan ini? Natijahnya tidak lebih daripada menghabiskan wang ke sana ke mari, membuang air liur, dan menjadi panggung wayang bagi kaum kuffar sedunia untuk bergelak ketawa melihat gelagat pemuka Islam yang pengecut. Mengapakah masalah ini berlarutan dari tahun 1948 sehingga kini? Masih tidak cukupkah masa untuk mencabut kekuasaan haram itu? Tidak tahukah kalian, wahai pemimpin, Khalifah Mu'tasim Billah hanya mengambil masa beberapa jam untuk menggerakkan bala tentera untuk menyerang kota Rom terkuat setelah seorang mukminah dipersenda oleh lelaki kafir? Inilah budaya yang diterapkan oleh penjajah imperialis. Mereka sedaya-upaya menerapkan semangat nasionalisme.

Lihat, semangat nasionalis telah memisahkan tali silaturrahim kita bersama saudara kita di Palestin. Negara-negara Arab hanya mementingkan negara mereka sendiri sahaja. Apatah lagi negara-negara yang dipisahkan dengan ribuan kilometer jauh dari Palestin. Inilah dia semangat nasionalisme! Semangat nasionalisme menjadi nadi kehancuran perpaduan kaum muslim! Sungguh, para pejuang nasionalis sudahpun tersesat dengan idea kapitalis yang rosak lagi merosakkan ini. Apa yang lebih menyedihkan lagi, ada juga pihak yang memandang masalah ini hanyalah masalah kaum Arab.



Tidak cukup dengan itu, umat Islam di Palestin yang sememangnya terpisah dengan kaum muslim lain di serata dunia, dipisahkan lagi dengan sempadan Gaza dan Tebing Barat. Justeru, ramai pihak memandang bahawa Gaza-lah yang perlu diselamatkan kerana kawasan tersebut dikuasai oleh Hamas. Sungguh, mereka tertipu dengan semangat asobiyyah yang sesat lagi menyesatkan. Ketahuilah, setiap inci dan penjuru Palestin wajib dibebaskan daripada genggaman Yahudi mahupun pihak berhaluan sekular (Fatah). Tiada hak bagi kaum kafir harbi Yahudi di bumi Palestin walaupun sejengkal!



Hanya dengan pengerahan bala tentera ke kawasan sebesar gelang itu barulah kekuasaan Yahudi dapat dicabut dari bumi Palestin dan ia merupakan tanggungjawab pemerintah! Wahai pemerintah yang mempunyai kuasa, apakah jawapan kalian untuk dakwaan-dakwaan umat Islam yang menderita ketika mereka mendakwa kalian di hadapan Allah kelak?! Sesungguhnya bumi Gaza, seluruh Palestin, dan bumi Islam yang lain sedang menunggu pembelaan daripada seorang Khalifah yang merupakan junnah (perisai) kepada ummat!


Ya rabbi, izinkanlah kami berjihad di Palestin Mu, Ya ALLAH, masukkanlah kami tercatat sebagai syuhadahMU!
Terima Kasih ILUVISLAM.com





Tuesday, April 13, 2010

Sabarlah duhai hati...


"Nenda sedang sakit, mohon doa sahabat sahabat sekalian agar diberi kesembuhan"


Luka hati mendengar kata kata ibuku. Nenda yang dikasihi sedang bertarung dengan kesakitan. Kerinduaan pada rumah begitu menggigit pangkal hati. Rasanya ingin segera terbang pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Nenda adalah insan yang paling rapat dengan diri. Selama hidup ini, diriku dibesarkan disisi nenda. Apatah lagi sebagai anak tunggal yang takut untuk tidur bersendirian, nenda terpaksa mengambil jawatan sebagai peneman tidur. Namun, nenda tetap tersenyum melihat tingkah laku cucunya, tidak pernah merungut. Rindu menjelma mengingatkan saat istimewa itu.

Aduh, air mata ini menitis lagi. Sesungguhnya diri ini tidak punya saudara kandung. Hidup sebagai anak tunggal kadang kadang ku lihat sebagai tarbiyah istimewa dari ALLAH untukku. Tetapi nenda begitu baik sekali, menjadi peneman di kala susah dan senang. Apabila daku pulang ke kampung halaman, sudah tentu nenda dengan senang hati berkunjung ke rumah kami. Sebut sahaja jenis lauk kegemaranku, nenda berusaha menyediakan untuk diriku. Nenda juga membantu ibu menjaga putera putera kecil di "taska mini" milik ibuku.Bayangkan kepeningan yang dialami oleh nenda dan ibuku untuk menjaga lima orang putera nakal yang dihantar ke rumah, namun itulah indahnya kesabaran. Ayahku pernah berkata bahawa kanak kanak itu pembuka rezeki, biar mereka tidak ada rezeki untuk memiliki anak lagi namun ibu dan bapaku berasa puas dapat membantu mendidik dan menjaga anak insan lain.

Aduh.. rindunya pada rumah. Seorang kawan mengatakan bahawa diriku seolah olah kelihatan tidak begitu bergantung kepada keluarga. Sudah tentu tidak, keluargaku adalah nyawaku. Betapa aku terlalu rindu untuk pulang ke rumah, syurgaku di dunia ini, apatahlagi memikirkan keadaan nenda namun ibubapa ku mendidik ku menjadi seorang yang boleh "survive". Ini kerana aku berseorangan, maka mereka melatih diriku untuk punya semangat kental, untuk punya ketegasan dan merantau ke negeri orang agar bertemu dengan tarbiyah dan jalan hidup sebenar. Alhamdulillah, itulah keberkatan doa ibu bapa, anaknya yang dihantar ke bumi kenyalang ini, telah terjumpa dengan tarbiyah..

Dua minggu lagi diri ini akan berhadapan dengan peperiksaan penting dalam empat tahun pembelajaran. Ya ALLAH, diri ini mengakui sedikit lemah dalam pelajaran. Mungkin kerana kurangnya usaha atau kegagalan itu sebenarnya tarbiyah yang indah. Rasa patah sebelah bahuku menerima perkhabaran tentan nenda, namun ibu berpesan agar aku sentiasa sabar, ini kerana sabar itu indah. Apatah lagi dengan keadaan ku juga yang sedang berubat, membuatkan diriku selalu lemah, ujian itu datang bertimpa timpa.

Namun apalah sedikitnya ujian yang ku hadapi ini, jika dibandingkan beratnya ujian sumayyah untuk mendapat kasihNYA. Malah daku bersyukur atas segala ujian ini kerana itu tanda ALLAH memerhatikanku.

"Adakah manusia menyangka bahawa mereka telah dibiarkan sahaja mengatakan kami telah beriman tanpa mereka mendapat ujian" (Al ankabut, 2)

Di antara manusia itu ada yang menyangka bahawa cukup dengan mengatakan saya telah beriman, tanpa di uji ALLAH s.w.t imannya itu. Sangkaannya salah sama sekali. Melainkan orang yang beriman itu ketika didatangkan ALLAH s.w.t ujian maka keimanannya tidak goncang, malah dia menerima dengan hati yang lapang dan sabar serta mengucapkan

"Innalillahi wainna ilaihi rajiun"


Ku bermohon agar diberi kesabaran hati menempuh segala kesulitan yang menerpa. Sememangnya diri ini lemah dan ratu air mata. Mudah sekali mengalirkan air mata namun hatiku terubat dengan:
"Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang sangat, dan mereka gementar (ketakutan), sehingga berkata Rasul dan orang orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan ALLAH? Ingatlah bahawa pertolongan ALLAH itu hampir tiba" (Al baqarah, 214)


Yakinlah dengan janji ALLAH, malah titiskanlah air mata ketika sujud kepadaNYA. Nescaya, itulah ada terapi paling indah buat mereka yang bersedih. Ujian itu tarbiyah.. Doakan nenda sembuh dan dapat tersenyum seperti biasa dan diri ini berjaya menghadapi peperiksaan akhir.

Takbir: Allahuakhbar!!







Monday, April 12, 2010

Bidadari itu ada di dunia


Wahai Muslimah ku tahukah dikau….

Bidadari itu jelitawan yang sangat mekar,
Riasnya indah lagi memukau,
Lentuknya tertib lembut gemalai,
Nur kasihnya terang cemerlang terpancar,
Serba sempurna akhlak gemilang.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…

Sesungguhnya bidadari itu mempunyai Ratu,
Yang sangat sempurna dari yang sempurna,
Yang sangat dicemburui oleh sekaliannya,
Yang menjadi peneman paling utama,
Yang sangat memukau melebihi segalanya.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…

Ratu bidadari pada dunia fana ini,
Isteri solehah gelaran di beri,
Tiada tertanding akhlak dan pekerti,
Tiada terbilang kesetiaan dan ketaatan diberi,
Tiada ternilai budi dan pengorbanan pada Allah dan suami,
Itulah Ratu bidadari di alam syurgawi.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…

aku mengidam bertemu dengannya,
Hanya mengharap pada Ilahi,
Agar niat, amalan dan ikhlas ku di perhalusi,
Dalam merafakkan kesyukuran kepadaNya,
Agar syurga menjadi imbalannya,
Supaya hajatku menjadi terlaksana.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau..

Sesungguhnya Ratu bidadari menjadi idamanku,
Bukan sahaja membawaku ke syurga Allah,
Malah menjadi Ratu penemanku di alam sana,
Dan menjadi harapan dan doaku selama ini ……
Agar Ratu bidadari itu adalah kamu….……

InsyaAllah….


Syukran ILUVISLAM.COM

Sunday, April 11, 2010

Hukum "Lia'an"

Bismillahirrahmanirrahim... (Rujukan Tafsir Ibnu Katsier, Jilid 5 m/s 447-448)

Terjemahan Surah An-Nur, ayat 6-10
(6) Dan orang yang menuduh isterinya (berzina) padahal tidak ada saksi-saksi selain dari mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar.
(7) Dan (sumpah) yang kelima, bahawa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.
(8) Isterinya itu dihindarkan oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang berdusta.
(9) Dan (sumpah) yang kelima bahawa murka Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.
(10) Dan andaikata tidak ada kurnia Allah dan rahmatNya atas dirimu dan (andaikata) tidak penerima taubat lagi Maha Bijaksana (nescaya kamu akan mengalami kesulitan-kesulitan).

Tafsirnya
Ayat-ayat 6-9 adalah mengatur penyelesaian persengketaan antara suami isteri yang timbul kerana adanya tuduhan berzina dari pihak suami terhadap isteri, tanpa dapat membawa empat orang saksi untuk membenarkan tuduhannya itu, sebagaimana mestinya berlaku dalam perkara yang seberat dan sepeka ini. Maka jika suami tetap menuduh, kerana ia menyaksikan sendiri, sedangkan isteri tetap menolak tuduhan itu dan tidak dapat diadakan empat orang saksi, maka ditempuhlah cara penyelesaian menurut yang diajarkan oleh ayat-ayat tersebut di atas yang dalam fiqh disebut hukum "Li'an".
Adapun cara perlaksanaan hukum "Li'an" bermaksud, ialah pihak penguasa mendatangkan kedua suami istri yang bersangkutan, dan bersumpahlah sang suami dengan nama Allah empat kali bahawa dia adalah benar (tidak berdusta) dalam tuduhannya itu, kemudian bersumpah lagi kali kelima dengan tambahan kata-kata, bahawa laknat Allah lah akan menimpanya jika ia dalam tuduhan itu berdusta.
Pihak istri pun harus melakukan hal yang sama, jika ia hendak menghindari hukum rajam, yakni bersumpah dengan nama Allah empat kali bahwa suaminya berdusta dalam tuduhannya itu dan dalam sumpahnya yang kelima hendaklah ditambah dengan kata-kata, bahwa murka Allah akan menimpanya jika suaminya benar (tidak berdusta) dalam tuduhannya.
Dengan dilaksanakannya hukum "Li'an" termaksud, maka putuslah dengan sendirinya tali pernikahan antara kedua suami istri bersangkutan menurut pendapat Imam Syafi'i dengan banyak ulama, dan dengan sendirinya maskawin harus diterima makan kepada sang istri kalau masih terhutang.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Sahl bin Sa'ad bahwa ada seorang pria datang kepada Rasulullah saw. bertanya,"Ya Rasulullah, bagaimanakah jika ada seorang pria melihat seorang pria lain bersama-sama istrinya, apakah ia harus membunuhnya, lalu kamu membunuh dia sebagai qishash?" Kemudian turunlah ayat-ayat "Li'an" ini dan bersabdalah Rasulullah kepada pria yang bertanya itu:
Artinya: "Telah ada putusan mengenai urusanmu dengan istrimu".

Monday, April 5, 2010

Al Quran Dihatiku



Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah, terasa ringan sekali tangan ini untuk menari di "salju Sakinah"
Mungkin tangan ini ingin melepaskan rasa kerinduan kerana sebelum ini, tangan ini kaku sebentar, kerana ketandusan idea.
As saff?
Ya surah As Saff... Mas'ul mewajibkan diriku dan cermin ajaibku untuk menghafal surah as saff dan terjemahannya sekali
Ya ALLAH, megapa kurasakan berat?
Sahabiyah sekalian,
diriku ini bukanlah sempurna, diri ini baru sahaja khatam al quran buat kali pertama pada tahun lalu, sebelum ini ana sememangnya buta AL QURAN!
Ingin memohon maaf kepada para pengikut salju sakinah, kekadang ku rasa tulisan ku ini hanya lebih berbentuk luahan peribadi tetapi ku berharap agar antuna dapat mengambil ibrah dari kegelapan masa silam itu.
Daku mengalami kesukaran sedikit menghafal surah as saff, kerananya penbacaan Quran ku tidaklah begitu baik, malah sukar sekali mengingat setiap baris ayat.
Pernah juga ketika surau kolej membuat keputusan untuk membaca surah Kahfi setiap malam jumaat, ana ini mengalami kesukaran. Ana sedar kekurangan dan kelemahan diri ini dari segi bacaan Al Quran. Ana bukanlah muslimah yang hebat dalam tajwid dan taranum. Alhamdulillah, ana dapat membaca Al Quran tetapi berbandingnya diri ini dengan sahabiyah yang lain, terasa diri ini terlalu kerdil.
Layakkah diri ini yang serba kekurangan berada di jalan tarbiyah?
Tujuan ku menulis sebegini bukan untuk meraih simpati dan membuka aib sendiri, ingin ana tekankan kepentingan mempelajari Al QURAN, jangan seperti diriku.. yang masih terkapai dalam pembacaan surat cinta itu.
Latihlah diri untuk sentiasa membaca Al Quran, simpankanlah Al quran didalam hati nescaya akan menerangi hidup dan kehidupan alam barzakh nanti

Sesungguhnya kekadang hari yang dilalui terasa payah apatahlagi dalam tempoh berubat ini, ana tidak mengerti mengapa kesan ubat begitu kuat sekali dalam diri ini. Malah, kekadang terasa penat melayan pertanyaan demi pertanyaan dari insan lain tentang keadaan diriku yang terusik sedikit akibat kesan ubat. Namun, Al Quran itu pengubat hatiku. Sejak ana mula mengenali Al Quran lah, ana mengenali apa itu menutup aurat, sejak ana mengenali Al Quran lah, ana mengenali jalan tarbiyah, dan sejak ana mengenali AL Quranlah, ana terasa lebih dekat denganNYA

Al Quran juga mengajar setiap sakit itu adalah ujian dan ujian itu adalah peluang untuk kita mendapat keampunanNYA.. Ana berharap diri ana dapat redha menerima segala ujian daripadaNYA.

Kekadang melihat sahabiyah lain yang bakal melangkah ke alam rumah tangga, diriku berasa mereka sudah siap. Ini kerana bekalan Al Quran di hati. Namun, diri ini berdoa agar mencukupkan diri dengan pengetahuan Al Quran kerana tidak ku sanggup melihat bakal mujahid dan mujahidah yang kulahirkan nanti di didik oleh orang lain kerana ibunya buta Al QURAN.. malah ku berasakan mungkin tidak ada mujahid yang sudi memandang diri ini yang kurang pengetahuan tentang Al QURAN kerana itulah syarat utama solehahnya seorang wanita.

Moga diriku terus tsabat dalam mempelajari Al Quran
Al Quran dihatiku
Wallahualam





Saturday, April 3, 2010

Serahkan hatimu pada ALLAH, nescaya akan diserahkanNYA kepada pemilik terbaik =)


Bismillahirrahmanirrahim...
" Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara : Kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkanmu." (Riwayat Muslim)
Assalamualaikum wbt...

Aku bukanlah seorang wanita yang memiliki harta bertimbun, bukan juga seorang yang mempunyai paras wajah yang anggun jelita bak bidadari, jauh sekali bersusur galurkan keturunan yang dihormati dan disegani. Apa yang ada pada diriku hanyalah agama yang menjadi pegangan dan panduan hidup untuk aku terus gah berdiri di muka bumi Allah ini. Maka milikilah hatiku dengan izin Allah, milikilah cintaku keranaNya, milikilah diriku kerana agamaNya dan milikilah jiwaku keranaNya.

Tidak pernah dan tidak sekali pun aku kisah siapa sahaja yang mahu berkawan dengan ku baik perempuan mahupun lelaki. Apa yang penting bagiku asalkan dia tahu batasnya ikhtilat terutama jika dia seorang lelaki. Tetapi aku kisah jika dia seorang lelaki yang terus-terusan meluahkan perasaan cintanya kepadaku tanpa melalui orang perantaraan yang aku percayai. Kerana aku tidak yakin lelaki sebegini mampu menjadi pemimpinku dalam perjalanan panjang mencari dan meraih redhaNya. Cintaku tidak semurah itu! Biarlah dia sehebat mana sekalipun tetapi aku tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal ini. Bagi aku lelaki sebegini kurang mujahadahnya dalam mengawal perasaan cintanya walaupun dia seorang yang hebat dari segi dakwah. Dimana hilangnya sensitivitinya terhadap agama dalam hal sebegini yang berkait rapat dengan kerajaan diri iaitu hati? sedangkan hati perlu dijaga kerana disitu letaknya segala kemuliaan. Cukuplah sekadar berkawan denganku sehingga tiba masa yang ditetapkanNya. Saat itu pasti tiba!

Kerap sekali soalan siapa mujahid pilihanku dilontarkan oleh sahabat2 seperjuangan ku dulu. Usahlah ditanya kerana itu menjadi asrar qalbi. Cuma ingin aku tegaskan aku tidak menginginkan lelaki yang hebat di pentas dunia, bukan juga yang namanya sering meniti di setiap bibir gadis-gadis kerana ketampanan dan kepimpinannya yang menyerlah tetapi, aku lebih memilih dia yang penuh dengan kerendahan hati, yang bangunnya disepertiga malam menemui Sang Kekasih dengan hati yang sarat dengan kerinduan dan kecintaan kepadaNya. Hidupnya sentiasa dalam halaqah, yang ditarbiyah dan istiqamah dalam perjuangan dakwahnya. Biarlah dia tidak dikenali oleh sesiapapun asalkan namanya menjadi sebutan di langit Ilahi dan dirindui para bidadari syurga. Yang ku harapkan bukanlah putera berharta tapi yang diimpi biarlah putera agama. Bukanlah aku mengharapkan yang sempurna kerana aku juga serikandi dengan silam yang kelam.

Walaupun adakalanya hati ini terasa lelah dan penat kerana kerap teruji dengan cinta lelaki, ku cuba juga sedaya upaya mungkin menepis cinta yang tak halal buatku. Ku hargai perasaan setiap insan yang datang padaku tetapi aku tetap dengan prinsipku cinta untuk seorang suami takkan ku kongsi!. Kalian lebih mulia berbanding diriku yang hanya insan hina yang cuba meraih redha dimataNya. Tetapi aku tidak boleh menerima kalian memandangkan hati ini tidak bersedia untuk menerima sesiapa. Bukanlah niatku untuk menyakiti hati sesiapapun, malah aku cukup merasa serba salah bila orang kecewa dan patah hati keranaku. Ketahuilah aku cuma kasihankan kaummu wahai adam kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda
"Tidak ada fitnah terbesar buat seorang lelaki di akhir zaman melainkan seorang wanita"
Aku takut tergolong dalam golongan yang menjadi fitnah kepada lelaki. Aku tidak mahu melalaikan seorang lelaki yang bakal menjadi mujahid agama. Betapa berdosanya diriku jika aku menjadi punca kejatuhan mereka.

Kepada insan yang pernah ku katakan diriku sudah bertunang dan mempunyai pilihan sendiri, ya memang benar. Aku mempunyai pilihan ku sendiri, dan sudah pun bertunang. Aku bertunang dengan study dan gerak kerja ku dan pilihan ku adalah "dia" yang Allah takdirkan buatku. Dalam usiaku ini aku tidak mahu tertipu dengan cinta palsu yang boleh mengundang padah pada keberkatan rumah tanggaku kelak. Ku petik sedikit kata2 Dr Nazri yang bercinta sebelum kahwin dan sering keluar bersama dengan teman wanitanya dalam buku Dr Farhan Hadi-Denyut Kasih Medik :
" Kena jaga hubungan dengan tunang. Saya rasa macam tak berkat aje lepas kahwin. Hati jadi susah. Rasa selalu curiga. Bila dia keluar aje terus rasa tak sedap hati. Kalau sebelum kahwin dah berani keluar dengan saya, sekarang ni pun mestilah berani keluar dengan lelaki lain. Curiga ni susah nak hilang. Rasa menyesal pula tak pilih yang baik dan solehah,"
Inilah yang cukup aku takuti. Benarlah, dosa semalam menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya!
Sememangnya jatuh cinta itu bukanlah sesuatu yang salah kerana ianya fitrah dan merupakan hadiah dari Sang Pencipta. Tetapi manusia sering kali terlupa dan leka, mereka terlalu taksub dengan hadiah yang diberi sehingga terlupa untuk berterima kasih pada Sang Pemberi Hadiah itu. Oleh itu hati ini kuserahkan padaNya, biarlah Dia yang menentukan kepada siapa yang layak memilikinya..wallahualam..



Monologku: Syukran ya ukhti tercinta Surianah Yahya.. penulisan yang cukup dekat dengan diri ana.. luahanmu sama seperti luahanku..

Serahkan hati mu pada ALLAH, nescaya akan diserahkanNYA kepada pemilik yang terbaik

Milikilah hatiku dengan izin ALLAH, milikilah cintaku kerana cintaNYA, milikilah diriku kerana agamaNYA, milikilah jiwaku keranaNYA

Friday, April 2, 2010

Nurse Muslimah


Bismillahirahmanirahim
SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHhuakhbar!

Ana telah kembali.. kembali ke kolej.. setelah sebulan berjuang di medan posting terakhir. Posting sudah berakhir, tinggal kini hanya debaran menanti FINAL PROFESIONAL EXAM.. YA ALLAH, ENGKAU permudahkanlah segala urusan kami. Usaha, Doa, dan tawakal.. itulah senjata rahsia kepada sebuah kejayaan
Menjadi nurse atau seorang jururawat sememangnya cita cita ana dari kecil. Jika di tanya oleh guruku, sudah pasti ana begitu cepat menjawab, "Saya nak jadi nurse, cikgu"

Kenapa ana bercita cita hendak menjadi seorang jururawat. Jika waktu kecil dahulu, mudah sahaja jawapan yang diberikan"Nurse semua cantik cantik dan baik serta lemah lembut cikgu, saya nak jadi macam itu"

Lucu rasanya mengimbau kembali telatah diri ini. Namun kini ana punya jawapan yang amat pasti. ALLAH ITU MAHA BERKEHENDAK.. setiap individu mempunyai peranannya sendiri di bumi ALLAH ini, maka sekiranya sudah kehendakNYA, ASIAH YUSRO menjadi seorang NURSE, maka walau apapun halangannya.. insyaALLAH.. ana akan jadi nurse =)

Namun kekadang rasa sedih di hati, melihat senario bidang kejururawatan di Malaysia. Terutama dari segi pakaian seorang jururawat itu sendiri. Penutupan aurat yang tidak sempurna. Malah, ada yang mengharamkan pemakaian tudung dan juga handsock!
Alasan yang diberi, takut menjadi punca jangkitan. Adakah hanya tudung dan handsock sahaja yang menjadi sumber jangkitan, sedangkan jangkitan kuman lebih banyak disebabkan oleh punca lain.


Jururawat merupakan tugas yang amat mulia. Apatahlagi sekiranya dilakukan dengan hati yang benar benar ikhlas. Namun, pekerjaan itu akan lebih berkat sekiranya dilengkapi dengan penutupan aurat yang sempurna. Kenapa kita perlu melanggar hukum ALLAH kerana takut pada jangkitan kuman? Sedangkan kuman itu sendiri adalah milik ALLAH...

Penutupan aurat yang sempurna memuliakan wanita. Kerana didalam ISLAM, wanita itu adalah perhiasan dunia yang paling berharga. Maka, sudah semestinya sentiasa dijaga dengan rapi. Ana mengakui bahawa diri ini adalah terlalu terlambat untuk memahami tentang aurat. Namun, ana yakin bahawa ALLAH itu MAHA PENGAMPUN, pintu taubat sentiasa terbuka..

Tentu lebih indah lagi apabila "nurse muslimah" ini jika sudah mempunyai uniform yang menutup aurat sepenuhnya, ditambah lagi dengan kesolehan diri. Sudah tentu,"Nurse Muslimah" ini tidak lagho untuk menghias diri dengan bermake up tebal, cuma cukup air wudhu' sebagai penyeri wajah. "Nurse muslimah" juga ikhlas dalam memberi penjagaan kepada pesakit pesakitnya. Selain itu, dia juga sentiasa istiqomah dalam mentarbiyah pesakit sekaligus meneruskan dirinya ditarbiyah. Apatah lagi "nurse muslimah" ini tidak akan membuang masa untuk ghibah atau berborak perkara yang tidak berfaedah. Di hatinya, menjadi seorang jururawat itu adalah untuk mendapat keredhaanNYA sekaligus menjadi ruang medan dakwah kerana jururawat itu paling dekat dengan masyarakat ;)

MasyaALLAH.. baru terasa ada kepuasan dalam penulisan kali ini, kerana apa yang tertaip di skrin ini, sememangnya datang dari hati ana. Moga ana sentiasa diberi hidayah dan taufiq untuk menulis.

Terima kasih pada sahabiyah yang sudi memberi "award" kepada blog ini. Namun, apa yang penting, biarlah kita mendapat "award" yang sebenar iaitu blog ini menjadi saksi perjuangan kita sebagai muslimat tarbiyah di padang masyar nanti

Kepada jururawat jururawat muslimah, mari kita sama sama berjuang.. memperjuangkan uniform jururawat yang menutup aurat sepenuhnya.. Jadilah jururawat dan bakal jururawat yang disayangi ALLAH =)

Amin